Jumat, 13 Juni 2008

MENGGANTI PUASA LAMPAU

Soalan; Sebelum saya berkahwin saya tidak pernah mengqada' puasa ramadan saya. Ianya bermula dari saya berumur 11 tahun hinggalah saya berkahwin pada usia 23 tahun. Saya rasa berdosa kerana tidak mengqada' puasa terdahulu dan sejak tahun lepas saya telah mula mengqada' puasa-puasa saya itu dan saya hampir selesai mengqada'nya iaitu dengan mengira berapa tahun saya tertinggal di darabkan enam hari setiap tahun. Perlukah saya membayar fidyah?

Jawapan;

Puasa yang ditinggalkan pada masa lampau, wajib diqadha/diganti selagi seseorang itu mampu berpuasa. Satu hari yang ditinggalkan diganti dengan satu hari juga. Maka wajib dihitung jumlah hari yang tertinggal itu.

Jika ia tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah iaitu memberi makan seorang fakir miskin bagi sehari puasa yang ditinggalkan. Menurut mazhab Syafi'ie, kadar makanan itu ialah secupak beras untuk sehari puasa. Menurut Mufti Mesir sekarang (Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah); fidyah bagi sehari yang ditinggalkan ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin sebanyak dua hidangan; satu hidangan berbuka dan satu hidangan sahur dengan makanan yang paling baik yang dimakan. Menurut Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar); satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi (ghada’) dan malam (asya’).

Di samping berpuasa ganti atau membayar fidyah, ia wajib bertaubat kepada Allah dengan melahirkan penyesalan atas dosa meninggalkan ibadah yang wajib dan berazam tidak akan mengulanginya. Ia juga hendaklah banyak beristighfar dan mengerjakan amal soleh, moga-moga Allah mengampunkannya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa 'Asriyyah, Dr. 'Ali Jum'ah Muhammad, hlm. 75 dan 92.
2. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.

SUJUD SAHWI MAKMUM

Soalan; apabila imam terlupa di dalam solat dan ia melakukan sujud sahwi di hujung solatnya, adakah makmumnya perlu sujud sahwi bersamanya? Bagaimana jika mereka tidak turut sujud sahwi?

Jawapan;

Wajib makmum untuk turut sama sujud sahwi bersama imamnya. Berkata Imam Ibnu al-Munzir; telah ijmak sekelian ulamak pada menyatakan yang demikian. Ijmak tersebut berdalilkan hadis Nabi s.a.w. (bermaksud); “Sesungguh Imam itu dilantik untuk diikuti. Apabila ia bertakbir, hendaklah kamu turut bertakbir. Apabila ia sujud, hendaklah kamu turut sujud….”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)

Menurut Imam an-Nawawi; jika makmum tidak turut sujud bersama imam dengan sengaja, batallah solatnya sama ada makmum itu mengetahui imamnya telah lupa di dalam solat atau tidak mengetahuinya. (al-Majmu’, 4/141)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/29-30.
al-Majmu’, Imam an-Nawawi; 4/141-142.