Rabu, 18 Juni 2008

KENCING BERDIRI DAN TIDAK BERSUCI

Soalan; Kebanyakan tandas awam lelaki di negara kita telah direka untuk pengguna yang kencing berdiri. Amat dikesali apabila adanya rakan2 sekerja saya yang berbangsa Melayu dan Islam turut menggunkan tandas tersebut dengan meniru gaya pekerja bukan Islam iaitu kencing berdiri dan tidak bersuci. Mangkuk tandas itu pun memang direka tiada paip air untuk memudahkan penyucian. Semakin ramai saya jumpa mereka ditandas, maka semakin saya menjauhi dari menjadi makmum kepada mereka bila bersolat di surau (di tempat kerja). Adakah tindakan saya itu betul dan apakah sebaik nasihat kepada mereka.

Jawapan;

Yang terbaik bagi seorang muslim ialah kencing sambil duduk kerana perbuatan tersebut adalah kebiasaan Nabi s.a.w.. Walaupun ada hadis menceritakan Nabi s.a.w pernah kencing sambil berdiri, namun kata ulamak itu bukanlah kebiasaan baginda. Kebiasaan baginda ialah kencing sambil duduk. Hukum kencing berdiri menurut ulamak adalah makruh kecuali jika ada keuzuran, maka hukumnya harus. (Untuk penjelasan lanjut tentang hukum kencing berdiri, sila layari blog saya; http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-istinjak.html). Selain factor tersebut, kencing sambil duduk juga dapat mengelak dari percikan air kencing terkena badan atau pakaian dan lebih menjaga aurat. Kerana itu, pada pandangan saya tandas yang dibuat untuk pengguna yang kencing berdiri itu tidaklah sesuai bagi seorang muslim. Seorang muslim wajib menjaga aurat dan kehormatan dirinya. Maka tempat paling sesuai untuk qadha hajat (iaitu kencing atau berak) ialah di dalam tandas yang tertutup. Diceritakan di dalam hadis bahawa Nabi s.a.w., apabila ingin buang air, beliau akan pergi ke tempat yang jauh. Tujuan baginda ialah untuk mengelak dari pandangan orang lain. Baginda s.a.w. bersabda (yang bermaksud); “Sesiapa ingin qadha hajat (berak), hendaklah dia melindungi diri dari pandangan manusia” (Riwayat Imam Abu Daud). Kita hari ini oleh kerana telah ada tandas yang tertutup maka memadailah kita menggunakan tandas itu supaya tidak dilihat oleh orang lain.
Adapun menyucikan kemaluan selepas qadha hajat (sama ada kencing atau berak), maka hukumnya adalah wajib. Ia dinamakan istinjak. Selain dengan air, Syarak memberi kelonggaran untuk beristinjak dengan benda-benda kesat seperti batu, kertas, tisu dan sebagainya, tetapi hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya. Salman r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai). Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

Wallahu a’lam.

JUDI BOLA

Soalan; Sekarang musim bola EURO. Amat memeranjatkan saya apabila ada rakan sekerja saya yang berbangsa Melayu dan Islam yang tiada segan silu bertaruh / bermain judi diatas sesuatu pertandingan bola tersebut. Malah mereka bertaruh pula dengan pekerja yang bukan beragama Islam dan kaladangkala mereka pula berbangga-bangga menceritakan kemenangan atau kekalahan perjudian mereka. Maka bagaimana dan apa nasihat yang boleh saya sampaikan kepada mereka agar mereka bertaubat? Amat kasihan kerana mereka juga bersembahyang bersama2 kita.

Jawapan;

Pertaruhan dan perjudian adalah perbuatan yang amat jelas pengharamannya di dalam Islam. Ia sabit dengan nas yang qat’ie dari al-Quran di mana sesiapa mengingkarinya ia akan terkeluar dari Islam. Firman Allah (yang bermaksud);

“Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

Perhatikan betapa tegasnya Allah terhadap perbuatan-perbuatan yang disenaraikan di dalam ayat di atas, salah satunya judi. Pertama, Allah menganggap ia adalah kotor (keji). Kedua, ia diistiharkan sebagai kerja/amalan Syaitan. Ketiga, Allah memerintahkan supaya ia dijauhi dan perintah menunjukkan kepada kewajipan. Keempat, Allah mengaitkannya dengan kejayaan, yakni orang yang menjauhi maksiat-maksiat di atas mereka akan berjaya. Menunjukkan bahawa orang yang terlibat dengan maksiat-maksiat di atas, hidup mereka –di dunia dan di akhirat- pasti akan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.

Oleh demikian, nasihatilah kawan-kawan saudara itu dengan membaca ayat di atas kepada mereka. Jika saudara tidak mampu menyampaikan nasihat dengan lisan, saudara boleh melakukannya melalui tulisan. Saudara tuliskan ayat tersebut berserta terjemahannya di atas satu kertas dan hadiahkan kepada kawan-kawan saudara itu. Insya Allah, jika masih ada iman di dalam hati mereka, pasti mereka akan terkesan dengan ayat tersebut dan meninggalkan perjudian/pertaruhan yang jelas dilarang oleh Allah itu. Selain itu, peringatkan juga kepada mereka bahawa orang yang berbangga-bangga serta menunjuk-nunjuk maksiat yang ia lakukan kepada Allah, orang itu sukar mendapat kemaafan dari Allah. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w.; “Setiap umat ku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang menunjuk-nunjuk (maksiatnya)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Wallahu a’lam.