Kamis, 03 Juli 2008

MENYIRAM AIR ATAS KUBUR DAN MENANAM POKOK

Soalan; Adakah tindakan menyiram kubur dengan air merupakan suatu perbuatan bidah atau yang ditegah? Bagaimana pula yang menanam pokok rendang dan menaburkan batu2 sungai di atas kubur kerana dipercayai ahli kubur akan berasa sejuk dengan bacaan zikir dari pokok dan batu2 tersebut?

Jawapan;

Terdapat hadis dari Ja’far bin Muhammad yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menyiram air ke atas kubur anaknya Ibrahim” (HR Imam as-Syafi’ie dan al-Baihaqi). Berdasarkan hadis ini sebahagian ulamak –termasuk Imam Syafi’ie dan Imam Abu Hanifah- berpandangan; disunatkan menyiram air ke atas kubur setelah mengkebumikan jenazah. Namun menurut ulamak-ulamak hadis; hadis di atas adalah dhaif dan juga mursal.[1] Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’; “Adapun hadis kubur Ibrahim (anak Nabi s.a.w.) dan siraman air ke atasnya (oleh Nabi s.a.w.), hadis itu diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’ie dan al-Baihaqi dengan isnad (yakni jalan periwayatan) yang dhaif” (al-Majmu’, 5/258).

Adapun menanam pokok rendang di atas kubur, saya ada terbaca ulasan Syeikh Sa’id Hawa tatkala memperkatakan tentang hadis yang menceritakan Nabi s.a.w. memacak pelepah tamar basah di atas dua kubur agar penghuninya diringankan dari azab. Kata beliau (yakni Syeikh Sa’id Hawa); “Di dalam hadis tersebut terdapat petunjuk bahawa pentingnya kedapatan tumbuh-tumbuhan/pokok-pokok di atas kubur. Dari kenyataan ini, dapat kita simpulkan bahawa di antara adab-adab kaum muslimin bersama tanah-tanah perkuburan ialah dengan mereka menjadikannya menghijau (dengan pokok-pokok), malah jika dapat mereka menjadikannya seperti taman-taman”. (al-Asas Fi as-Sunnah Wa Fiqhuha, 3/1175).

Hadis yang dimaksudkan itu ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari Nabi bersama beberapa orang sahabatnya berjalan melintasi dua kubur, lalu baginda berkata; “Sesungguhnya penghuni dua kubur ini sedang disiksa dan tidaklah mereka disiksa kerana perkara yang dianggap besar oleh manusia. Adapun salah seorang darinya disiksa kerana ia tidak menjaga dari kencingnya. Sementara seorang lagi kerana ia suka mengadu domba (yakni memperlaga-lagakan orang lain)”. Nabi meminta satu pelepah tamar, kemudian baginda membelahnya menjadi dua dan dipacakkan setiap satunya di atas dua kubur itu dan baginda bersabda; “Semoga akan diringankan azab dari kedua-duanya selama pelepah ini tidak kering” (HR Imam al-Bukhari)

Sebenarnya perbuatan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas menjadi pertikaian di kalangan Ulamak; adakah perbuatan itu khusus bagi Nabi s.a.w. sahaja atau ia disyari’atkan juga kepada umatnya? Para ulamak terbahagi kepada dua pandangan;

Pertama; Perbuatan itu khusus bagi Nabi s.a.w. sahaja, yakni tidak disyari’atkan untuk umatnya. Diantara ulamak yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Bukhari, al-Khattabi, Qadhi ‘Iyadh dan sebagainya.

Kedua; Perbuatan tersebut tidak khusus bagi baginda, akan tetapi umum bagi sekelian kaum muslimin. Ini kerana tidak ada dalil yang menegaskan bahawa perbuatan tersebut hanya khusus untuk Nabi sahaja, maka ia harus diikuti oleh umatnya. Selain itu, terdapat contoh amali dari sahabat iaitu Buraidah bin al-Khasib al-Aslami r.a. yang telah mewasiatkan supaya diletakkan di atas kuburnya dua pelepah tamar apabila ia mati kelak (Riwayat Imam al-Bukhari). Tidak ada sahabat-sahabat lain yang masih hidup yang membantahnya. Di antara yang menyokong pandangan kedua ini ialah Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari (1/33 dan 2/466).

Berdasar kepada pandangan kedua di atas, harus kita memacak kayu atau pokok hidup di atas kubur dengan doa dan harapan agar Allah meringankan azab penghuni kubur sebagai beramal sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w..

Berkata Syeikh ‘Atiyah Saqar; “Aku melihat tidak ada dalil yang menegah amalan tersebut (beliau merujuk kepada soalan yang ditanya iaitu; “Menabur bunga dan memacak pelepah/batang pokok di atas kubur; adakah ia disyari’atkan?”). Selama diimani bahawa yang memberi manfaat dan mendatangkan mudarat ialah Allah sahaja dan apa yang kita lakukan untuk si mati sama ada doa, sedekah atau lain-lainnya tidak lebih dari sebab-sebab untuk memohon turunnya rahmat Allah (kepada si mati), maka tidak ada factor untuk diingkari amalan tersebut”. (al-Fatawa, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 1/370).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu', Imam an-Nawawi, 5/258.
2. al-Fatawa, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 1/370
3. al-Asas Fi as-Sunnah Wa Fiqhuha, 3/1175.
4. Syarah Soheh Muslim, juz. 3, kitab at-Toharah, bab ad-Dalil ‘ala Najasatil-Baul
5. Ahkam al-Mayyit Wa ‘Adatul-Maatim, as-Sodiq bin ‘Abdurrahman al-Ghiryani, hlm. 41-42.

Nota kaki;

[1] Hadis mursal bermaksud hadis yang terputus sanadnya di antara Tabi’in dan Nabi s.a.w., yakni diriwayatkan terus oleh Tabi’in dari Nabi s.a.w. tanpa melalui sahabat.

HADIAH PERTANDINGAN MEMANCING

Soalan : Pertandingan memancing dengan menawarkan hadiah sebagai contohnya tempat pertama RM10 000, adakah harus?
Jawapan :
Jika hadiah di ambil dari wang yang dibayar oleh setiap peserta -contohnya; setiap peserta dikenakan yuran RM50 setiap seorang, kemudian dari yuran itu diberikan hadiah kepada peserta yang menang-, maka amalan tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (a-Qimar) yang diharamkan. Adapun jika hadiah diambil dari pihak luar tanpa membabitkan wang dari peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam ertikata hibah dari penganjur atau penyumbang.

Berkata Imam Ibnu Qudamah; “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-Qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-Maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah, 14/154). Firman Allah (bermaksud);

“Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

Menurut ulamak Tafsir, al-Maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-Qimar). Telah sepakat semua ulamak (yakni ijmak) bahawa semua jenis pertaruhan (al-Qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-Qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang/harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperolehi wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (yakni tidak memperolehi semula wangnya).

Dalam pertandingan atau perlawanan seperti memancing atau sebagainya, kemungkinan berlakunya pertaruhan atau judi adalah jika membabitkan hadiah atau pemberian. Tanpa adanya hadiah atau pemberian, tidak dapat digambarkan akan berlakunya pertaruhan atau perjudian. Namun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah yang dihalalkan oleh Syarak. Untuk mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah berada dalam salah satu dari dua keadaan berikut;

1. Hadiah itu diambil dari pihak luar yang tidak berlibat dalam pertandingan (yakni dari kerajaan, individu, persatuan atau sebagainya).
2.Atau hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja dari pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya; “Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50.00. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku”.

Dalam dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding –sama ada dalam bentuk yuran kemasukan, bayaran penyertaan atau sebagainya-, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan Syarak mengharamkannya melalui ayat di atas.

Secara amnya, bagi apa-apa pertandingan yang dianjurkan, hendaklah diperhatikan perkara-perkara berikut;
1. Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
2. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
3. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat Arak , Judi atau sebagainya.
4. Tidak melalaikan dari kewajipan Syarak; solat dan sebagainya.
5. Tidak melibatkan larangan-larangan Syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram dan sebagainya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan (2004).
2. Anda Bertanya Saya Menjawab, Syed Abdillah Ahmad al-Jufri, hlm. 11 (ter. Pustaka Nasional).