Sabtu, 12 Juli 2008

BONUS/KOMISYEN TAJAAN

Soalan; salam wbr..ustz, sy ingin bertanya..apakah peniagaan yg sy sertai ini mengandungi unsur-unsur haram..Perniagaan yg sy maksudkan ialah, MLM Mobile Money dimana ianya berkaitan penuh dgn servis (topup SMS / perkhidmatan byr bil SMS..termasuk juga barangan sampingan lain utk dibeli.. http://mmwalletsms4u.blogspot.com 2) MLM, perlu menaja atau mencari ahli baru utk kembangkan perniagaan..Adakah bonus tajaan yg sy perolehi dari Syarikat, ada unsur-unsur haram?dimana, jika sy taja seorg cth, yuran keahlian RM10 dan sy akan perolehi dr sykrt RM5..dan adakah bonus yg sy perolehi dr pembelian dwnline (sehingga 7 level) cth 1% share, 1sen setiap pembelian topup adalah haram di sisi islam?diharap, ustz dpt membantu...terima kasih..wslm wbr

Jawapan;

1. Jika suatu perniagaan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Syari'at dan tidak ada di dalamnya sebarang unsur yang dilarang oleh Syari'at sama ada penipuan, gharar, riba atau sebagainya, haruslah perniagaan itu dan keuntungan yang diperolehi darinya adalah halal.

2. Jika saudara ingin terlibat dengan perniagaan secara MLM, pilihlah MLM yang berteraskan penjualan barang/produk, bukan yang berteraskan permainan duit. Pastikan bonus yang saudara akan perolehi adalah kerana sumbangan saudara dalam penjualan produk syarikat atau mempromosikannya, bukan kerana persen dari wang yang dikutip dari orang lain tanpa produk/barangan (atau produk hanya gimik sahaja). Produk/Barangan yang terbabit hendaklah dipastikan halal dan harganya juga adalah berpatutan (yakni tidak terlalu tinggi jika dinisbah kepada harga pasaran atau nilai sebenarnya). Biasanya MLM yang menjual barang/produk dengan harga yang terlalu tinggi (yang jauh berbeza dari nilai sebenarnya), biasanya MLM tersebut terlibat dengan Sistem Piramid yang diragui kehalalannya pada pandangan Syarak. Sila rujuk kembali jawapan saya; "MLM; Yang halal dan yang haram".

3. Syarat-syarat yuran keahlian juga telah saya kemukakan dalam jawapan tersebut. Apa yang dapat saya simpulkan; komisyen/bonus yang diperolehi hasil dari persen dari yuran keahlian adalah tidak harus. Adapun komisyen/bonus dari hasil jualan barang atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah harus jika harga barang atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah berpatutan, tidak menipu pengguna dan barang dan perkhidmatan itu dihalalkan Syarak.

Wallahu a'lam.

KENCING TAK LAWAS

Soalan; Salam, Masalah kencing tak lawas. Kadangkala selepas kencing akan ada titisan air kencing yg masih keluar dan terkena pakaian kita utk sembahyang. Kalau dirumah kita boleh tukarkan dengan pakaian bersih tetapi sekiranya dimasjid atau dalam perjalanan misalnya, sekiranya perkara ini berlaku dan tiada pakaian spare yg dibawa, perlukah saya kembali kerumah dan tidak berjemaah? Harap penjelasan ustaz. Terima kasih.

Jawapan;

Orang yang mempunyai masalah seperti saudara –iaitu kencing tak lawas, wanita istihadhah dan sebagainya- ia hendaklah melakukan perkara-perkara berikut untuk mengerjakan solat;
1. Hendaklah ia menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. (Orang yang mengidap kencing tak lawas, istihadhah atau sebagainya tidak harus mengambil wudhuk kecuali apabila waktu telah masuk kerana toharahnya adalah toharah darurat)
2. Mulai dengan membasuh kemaluan dengan sempurna
3. Setelah itu hendaklah ia membalut kemaluannya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung air kencing dari keluar sekadar terdaya).[1]
4. Kemudian hendaklah ia segera mengambil wudhuk
5. Ketika mengambil wudhuk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhuk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama air kencing sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.
6. Setelah selesai wudhuk hendaklah ia segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.
7. Jika semasa solat itu air kencing keluar dari kemaluannya, tidak perlulah ia berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang ia alami.
8. Sekiranya ia mengetahui bahawa penyakit kencing tidak lawasnya ada waktu tertentu ia hilang, hendaklah ia menunggu waktu tersebut, kemudian barulah ia bersuci dan menunaikan solat.
9. Sebahagian ulamak mengharuskan orang yang menghadapi masalah sedemikian menjamakkan dua solat dengan sekali wudhuk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.

Mengenai pakaian yang terkena air kencingnya, perlukah ia membasuhnya atau menukar dengan pakaian lain sebelum mengerjakan solat? Persoalan ini menjadi khilaf ulamak;

Pertama; Ada ulamak menegaskan; harus ia menunaikan solat dengan pakaian itu kerana dimaafkan baginya dengan sebab keuzuran yang dialaminya yang sudah tentu menyukarkannya jika perlu ditukar atau dibasuh sentiasa. Pandangan inilah yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh at-Toharahnya (hlm. 80).

Kedua; Pandangan mazhab Malik dan Abu Hanifah; dimaafkan jika najis yang terkena pakaian adalah sedikit iaitu kurang dari kadar keluasan satu dirham (duit 10 sen). Jika melebihi satu dirham tidak haruslah dipakai kecuali setelah membasuhnya terlebih dahulu.

Ketiga; Pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Hanbali; tidak dimaafkan walaupun sedikit. Berdasarkan pandangan ini, wajiblah ia membasuh pakaiannya yang terkena air kencing itu sebelum memakainya untuk solat atau ia menukarnya dengan pakaian yang lain.

Merujuk kepada situasi saudara, saya syorkan saudara sentiasa membawa bersama kain sarung (pelikat) setiap kali saudara bermusafir. Apabila hendak solat, saudara tukarkan pakaian saudara dengan kain tersebut. Namun jika saudara tidak dapat berbuat demikian atau berasa sukar melakukanya –khususnya pada ketika tertentu-, haruslah saudara mengikuti pandangan lain dari mazhab Syafi’ie di atas. Telah menjadi prinsip yang disepakati oleh sekelian ulamak bahawa “Orang yang ditimpa kepayahan, harus ia mengambil kemudahan”.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail (1/66).
2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili (1/43)
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 303, Ahkam at-Toharah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 64.
4. Fatawa Syeikh Abu Zahrah.

Nota kaki;

[1] Jika ia tidak mampu membalutnya, tunaikanlah solat mengikut keadaannya (yakni tanpa berbalut) kerana Saidina ‘Umar r.a. menunaikan solat sedang lukanya memancar darah. (Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 303).