Kamis, 17 Juli 2008

WUDHUK DAN MANDI ORANG BERPENYAKIT KULIT

Soalan; Assalamualaikum Uztaz. Saya ada penyakit kulit Eczema yang severe, area yang affected tu biasanya mengeluarkan cecair kekuningan jernih dan adakalanya berdarah. Saya juga tidak dapat terkena air terlalu kerap kerana ia akan menerukkan lagi kondisi kulit saya. Mandi pun kena sekali sehari. Masalah saya sekarang saya tak tahu bagaimana harus saya melakukan mandi wajib dan menunaikan solat kerana kulit terasa kotor berdarah dan bernanah. Saya harap Ustaz dapat membantu saya. Terima kasih.

Jawapan;

Firman Allah “Bertakwalah kepada Allah apa yang terdaya oleh kamu” (Surah at-Taghabun, ayat 16). FirmanNya juga; “Allah tidak memberati seseorang kecuali mengikut kemampuannya” (Surah al-Baqarah, ayat 284). Bersuci dari hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) pada asalnya wajib menggunakan air. Namun jika tidak mampu menggunakan air, diharuskan bertayammum iaitu menyapukan debu ke muka dan tangan bagi menggantikan wudhuk dan mandi wajib. Itu jika keseluruhan badan tidak mampu dikenai air. Jika sebahagiannya dapat dikenai air, maka hendaklah bahagian itu dibasuh sebagaimana biasa dengan air. Adakah bahagian yang tidak dapat dikenai air wajib diganti dengan tayammum? Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; Imam Ahmad dan Syafi’ie berpendapat; wajib diganti dengan tayammum. Jadi berdasarkan pandangan ini, orang yang luka atau sakit di badannya dan tidak dapat menggunakan air pada tempat luka atau sakit itu, ia perlu melakukan dua perkara semasa mengambil wudhuk dan mandi wajib;
1) Membasuh kawasan yang sihat dengan air sebagaimana biasa.
2) Melakukan tayammum bagi menggantikan kawasan yang luka atau sakit.

Kedua; Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat; tidak perlu bertayammum lagi. Memadai dengan menyampaikan air pada kawasan sihat sahaja. Adapun kawasan yang sakit dimaafkan oleh Syarak kerana ada keuzuran. Menurut pandangan ini; toharah (bersuci) adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak dituntut menggabungkan kedua-duanya. (*Baca lebih lanjut tentang toharah orang sakit dalam satu lagi blog saya; http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-cara-bersuci-orang-luka-dan.html)

Kesimpulannya, jika penyakit kulit saudara itu merangkumi seluruh badan, saudara boleh terus berpindah kepada tayammum pada ketika saudara tidak mampu menggunakan air atau penggunaan air akan membawa kesakitan atau melambatkan sembuh atau menambahkan kecederaan pada kulit. Tetapi jika ia melibatkan bahagian tertentu sahaja, saudara boleh memilih untuk beramal dengan mana-mana satu dari pandangan ulamak di atas.

Mengenai darah dan nanah yang keluar ketika sedang solat, ia dimaafkan kerana sukar dielakkan bagi orang yang menghadapi masalah seperti saudara. Jadi, tidak perlulah saudara menghentikan solat dan tidak perlu juga saudara risau tentangnya. Para ulamak menegaskan; harus mengerjakan solat dalam keadaan terdapat najis yang dimaafkan (di badan atau pakaian) (Lihat; Syarah Soheh Muslim (Imam an-Nawawi), jil. 3, kitab at-Toharah, bab al-Istinjak).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim (jil. 1), Imam an-Nawawi.
2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami (jil. 1), Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
4. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub.

MASALAH FARAID

Soalan; asalamualaikum ustaz. Saya ingin meminta nasihat ustaz tentang pembahagiaan harta. Si mati mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama tidak mempunyai zuriat kandung dan dia telah mengambil 2 orang anak angkat yang ber "bin" serta ber "binti" kan si mati. Manakala isteri kedua si mati mempunyai 5 orang anak kandung. Mengikut hukum faraid, isteri akan mendapat bahagian tersendiri, tetapi masalahnya dia merupakan warga asing yang hanya mempunyai visa dan tidak mempunyai mykad. Adakah isteri kedua si mati boleh menuntut harta peninggalan suaminya mengikut bahagian yang telah ditetapkan mengikut faraid? Dan adakah anak-anak angkat yang ber "bin/binti" si mati boleh menerima harta peningalan si mati? Adakah isteri pertama boleh menuntut harta sepencarian dari harta peninggalan suami? Sekian, saya dahului dengan ribuan terima kasih.

Jawapan;

1) Harta sepencarian layak diperolehi oleh isteri melihat kepada sejauhmana sumbangannya terhadap harta perolehan suami. Dalam hal ini tidak ada beza antara isteri pertama dan isteri kedua. Jika isteri pertama berhak menuntut harta sepencarian, maka isteri kedua juga berhak menuntutnya, namun hendaklah dibuktikan sumbangan dan peranan masing-masing. Biasanya, proses tuntutan harta sepencarian dibuat melalui Mahkamah Syari’ah.

2) Anak angkat tidak berhak memperolehi harta peninggalan si mati kecuali jika si mati ada meninggalkan wasiat untuk mereka sebelum ia mati. Anak angkat tidak boleh dimasukkan ke dalam senarai ahli-ahli waris kerana ia bercanggah dengan ketetapan Syari’at. Sekalipun ia berbin atau berbintikan kepada si mati, namun dari segi Syarak ia tetap bukan anak kandung dan tidak berhak mewarisi harta si mati. Malah perbuatan membin atau membintikan seseorang kepada bukan bapanya merupakan dosa besar dalam Islam. Di dalam surah al-Ahzab, Allah berfirman (bermaksud); “..Dan Dia juga (yakni Allah) tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja...." (ayat 4). Dia berfirman lagi; "....Panggil lah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah..." (ayat 5).

3) Orang yang telah disenaraikan oleh Syarak sebagai ahli waris tidak ada sesiapapun boleh menafikan haknya untuk mewarisi harta si mati. Walaupun ibu saudara warga asing, kedudukan beliau sebagai isteri si mati tetap diiktiraf oleh Syarak kerana Syarak tidak menilai berdasarkan jenis bangsa atau tempat tinggal, tetapi menilai berdasarkan hak dan hukum. Oleh demikian, bahagian untuk isteri iaitu 1/8 hendaklah dibahagi sama-rata oleh kedua-dua isteri si mati.

Wallahu a’lam.