Kamis, 31 Juli 2008

PENGERTIAN MAQASID SYARI'AH

Soalan; Saya membaca jawapan ustaz berkenaan "PENYUSUAN OLEH SEORANG GADIS". Saya tidak paham maksud ustaz, "bercanggah dengan maqasid Syari'ah"..boleh ustaz huraikan? terima kasih..

Jawapan;

Maqasid Syari'ah bermaksud perkara-perkara yang menjadi tujuan atau matlamat Syari'at Islam. Secara amnya, Syari'at Islam bertujuan menjaga maslahah manusia dan menolak mafsadah (kerosakan) dari mereka sama ada dalam kehidupan dunia atau di akhirat nanti. Adapun secara lebih terperinci, maqasid (matlamat/tujuan) Syari'at Islam merangkumi lima aspek;
a) Menjaga/memelihara agama
b) Menjaga nyawa
c) Menjaga akal
d) Menjaga harta
e) Menjaga nasab/keturunan

Demi menjaga maqasid di atas, maka Syari'at Islam secara prinsipnya menetapkan; segala perbuatan atau perlakuan manusia yang boleh menggugat lima maqasid di atas, maka ia dilarang atau diharamkan. Contohnya; diharamkan membiar diri dalam kejahilan kerana ia boleh merosakkan agama, diharamkan bunuh diri kerana ia boleh merosakkan nyawa, diharamkan arak kerana ia merosakkan akal, diharamkan mencuri kerana ia merosakkan harta dan diharamkan zina kerana ia merosakkan nasab/keturunan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul-Karim Zaidan.

MENGGANTUNG AYAT AL-QURAN

Soalan; Salam ustaz, saya ada kemusykilan berkaitan dengan penggunaan ayat khat Al-Quran di rumah. Saya merujuk kepada sebuah laman web http://emjayjb.multiply.com/journal/item/204 yang mengulas berkaitan penggunaan ayat-ayat khat Al-quran sebagai perhiasan di rumah seperti di kebanyakan rumah orang melayu islam di malaysia. Menurut ulasan laman web tersebut, penggunan perhiasan ayat khat di rumah tidak ubah seperti kita menggunakan tangkal dan adalah di larang di dalam Islam.Adakah benar dakwaan tersebut di sisi agama Islam. Sekian, salam.

Jawapan;

Ada dua perbezaan dalam masalah ini;

Pertama; Menggantung ayat al-Quran di dinding untuk tujuan perhiasan, untuk peringatan dan sebagainya; ia diharuskan. Ayat al-Quran ditulis di dinding-dinding masjid (termasuk Masjidil-Haram) dan tidak ada ulamak melarangnya. Malah di kain penutup Kaabah sendiri penuh dengan ayat-ayat al-Quran. Setakat ini kita tidak mendengar ada ulamak di dalam maupun di luar Arab Saudi membantahnya.

Kedua; Menggantung ayat al-Quran dengan niat sebagai tangkal, pendinding atau azimat; ini menjadi khilaf di kalangan ulamak. Ada ulamak membenarkannya, namun jumhur ulamak hari ini melarangnya kerana ia termasuk dalam pengertian umum tangkal yang dilarang oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya; "Sesiapa menggantungkan tangkal, sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah" (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari 'Uqbah bin 'Amir r.a.). Dalam masalah ini, pandangan jumhurlah yang perlu diambil sebagai pegangan kerana ia menepati saranan hadis Nabi s.a.w. dan menutup jalan yang mendorong kita kepada Syirik.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mauqif al-Islam Min al-Ilham Wa al-Kasyaf Wa ar-Rua ....., Dr. Yusuf al-Qaradhawi.