Jumat, 01 Agustus 2008

MANDI TELANJANG

Soalan; assalamualaikum..ustaz saya nak tanya satu soalan.Apa hukum seseorang yang sudah baligh mandi dalam keadaan telanjang?

Jawapan;

Mandi telanjang jika di khalayak ramai hukumnya haram. Adapun di tempat tersembunyi atau tertutup, diharuskan.[1] Menurut Qadhi ‘Iyadh; hukum harus ini adalah pandangan jumhur (majority) ulamak. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.). Jika mandi bertelanjang di tempat tertutup itu haram hukumnya, sudah tentu Nabi s.a.w. akan menjelaskannya dalam hadis di atas. Maka tanpa penjelasan dari baginda, menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah harus. Menurut ulamak; berhujjah dengan hadis tersebut adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Walaupun harus, namun yang terbaik ialah mandi dengan menutup aurat dengan kain basahan atau sebagainya. Ini kerana terdapat hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, Kitab al-Haidh, Bab Jawaz Ightisal Uryanan Fi al-Khalwah.

Nota kaki;

[1] Secara amnya, harus bertelanjang ketika bersendirian jika ada keperluan seperti ketika mandi, ketika buang air, ketika bergaul dengan isteri dan sebagainya. Jika tiada keperluan, para ulamak berbeza pandangan. Menurut mazhab Syafi’ie (berdasarkan pandangan yang rajah); haram bertelanjang tanpa ada keperluan, yakni; hukum menutup aurat ketika bersendirian adalah wajib kecuali ketika perlu membukanya seperti dalam beberapa keadaan di atas.

URUTAN WANITA DAN DOKTOR LELAKI SAMBUT KELAHIRAN

Soalan; saya ingin mengetahui apakah hukum seorng wanita yg mengurut lelaki seperti urut batin?dimana wanita tersebut perlu bersentuhan kulit malahan alat sulit lelaki tersebut...dan bagaimana pula dengan hukum doktor lelaki yg menyambut kelahiran bayi?

Jawapan;

Diharamkan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram saling bersentuhan antara satu sama lain sama ada bersalaman, mengurut atau sebagainya kecuali ketika-ketika terdesak (darurat) sahaja. Sabda Nabi s.a.w.; “Jika salah seorang dari kamu menusuk kepalanya dengan jarum besi lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya” (HR Imam at-Tabrani dan al-Baihaqi dari Ma’qal bin Yasar r.a.). Adapun ketika terdesak (darurat), harus melanggar larangan sebagaimana kaedah Fiqh; “Darurat (terdesak) mengharuskan yang dilarang”. Namun larangan yang diharuskan kerana darurat hendaklah dilakukan setakat keperluan sahaja, tidak boleh berlebihan atau melampau.

Merujuk kepada soalan saudara; dalam suasana hari ini, kita merasakan tidak ada desakan untuk lelaki diurut oleh wanita memandangkan terdapat ramai tukang urut lelaki, malah lebih ramai dari wanita. Maka perbuatan tersebut adalah haram. Apatahlagi jika membabitkan aurat (lebih-lebih lagi kemaluan atau alat sulit). Para ulamak sepakat menegaskan; kawasan aurat pada badan lelaki atau wanita lain, haram kita melihatnya sekalipun tanpa syahwat, apatahlagi hendak menyentuhnya. Jika melihat sudah dianggap haram, maka menyentuhnya lebih-lebih lagilah haram. Nabi s.a.w.; bersabda; “Janganlah seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan janganlah seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Janganlah seorang lelaki berada bersama lelaki lain dalam satu pakaian/kain dan janganlah seorang perempuan berada bersama perempuan lain dalam satu pakaian/kain”. (Riwayat Imam Muslim)

Adapun doctor lelaki menyambut kelahiran bayi, ia juga diharuskan ketika terdesak (darurat) sahaja dengan syarat-syarat berikut;
1. Tidak ada doctor perempuan yang dapat menggantinya. Jika ada doctor perempuan, haram membenarkan doctor lelaki melakukannya.
2. Doktor lelaki itu hanya melihat dan menyentuh kawasan yang diperlukan sahaja, yakni hendaklah ditutup bahagian lain yang tidak perlu dilihat dan disentuh.
3. Hendaklah dengan kehadiran mahram, yakni ada bersama wanita yang melahirkan itu bapa, suami atau saudara lelakinya.
4. Situasi tersebut tidak harus dibiarkan berterusan berlaku. Menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam menyediakan pusat bersalin yang ditangani oleh doctor-doktor wanita supaya keadaan darurat ini tidak berterusan tanpa penyelesaian, yang mengambarkan seolah-olah masyarakat kita ialah masyarakat yang tidak menghiraukan hukum Syarak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Dar al-Iftak Mesir