Rabu, 06 Agustus 2008

LAYAKKAH KITA MENDAPAT PETUNJUK ALLAH MELALUI MIMPI?

Soalan; assalamualaikum ustaz...saya pernah solat istikharah bagi mohon petunjuk dari Allah. Saya tahu saya adalah manusia biasa yg tidak lepas dari melakukan pelbagai kesalahan. Soalan saya ialah sekiranya saya mendapat mimpi, adakah itu adalah petunjuk dari Allah. Ini kerana dengan keadaan saya yang naif ini adakah saya layak untuk mendapat petunjuk dari Allah melalui mimpi?

Jawapan;

Mengenai solat istikharah dan tanda-tanda atau petunjuk Allah selepas melakukannya, sila baca huraian saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/cara-melakukan-istikharah.html). Apa yang dapat saya simpulkan ialah; tidak semestinya petunjuk Allah selepas istikharah itu datang melalui mimpi. Memadai petunjuk itu dengan hati berasa tenang dengan keputusan yang diambil atau terhadap pilihan yang dibuat, ketenangan yang datang dari iman, bukan dari hawa nafsu.

Adapun mengenai mimpi, ia adalah adalah salah satu cara Allah memberi petunjuk kepada hamba-hamba yang dikehendakinya. Tetapi disyaratkan mimpi itu adalah mimpi yang baik (الرؤيا الصالحة) iaitu mimpi yang menepati Syari'at Allah dan berupa dorongan kepada mentaati Allah, bukan kepada munkar dan maksiat. Sabda Nabi s.a.w.; "Mimpi seorang mukmin adalah satu juzuk dari 45 juzuk kenabian" (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Baginda juga bersabda; 'Tidak akan tinggal lagi selepas kenabianku melainkan al-mubasysyirah (pemberi khabar gembira)". Baginda ditanya; 'Apa yang kamu maksudkan dengan al-mubasysyirah itu, ya Rasulullah?'. Jawab baginda; 'Mimpi yang baik yang dilihat oleh orang beriman atau diperlihatkan kepadanya'" (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.).

Mimpi bukan semuanya dari Allah. Para ulamak membahagikan mimpi kepada tiga jenis;
(1) Mimpi dari Allah,
(2) Mimpi diri jiwa sendiri dan,
(3) Mimpi dari Syaitan (syaitan sebagaimana ia dapat melontarkan bisikannya ke dalam hati manusia ketika sedang jaga, begitu ia dapat melakukannya ketika tidur).
Pembahagian ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.; “Mimpi ada tiga jenis; khabar gembira dari Allah, percakapan dalam diri sendiri dan ancaman ketakutan dari Syaitan. Jika seseorang dari kamu melihat mimpi yang menggembirakannya, ceritakanlah mimpi itu jika ia mahu. Jika ia melihat sesuatu yang dibencinya, janganlah ia menceritakannya kepada sesiapa, akan tetapi hendaklah ia bangun menunaikan solat” (HR Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)

Oleh kerana ada kemungkinan mimpi datang dari diri sendiri atau dari Syaitan, maka ia perlulah diujuk kepada Syari’at (yakni al-Quran dan as-Sunnah) terutamanya apabila timbul keraguan. Jika kita bermimpi dan di dalam mimpi itu kita diberi petua atau ilmu tertentu, hendaklah kita merujuk petua atau ilmu itu kepada al-Quran dan as-Sunnah. Jika selari, maka dapatlah mimpi itu dipakai, tetapi jika bersalahan, maka tidak haruslah mimpi itu dipakai kerana ia dari lontaran syaitan atau nafsu jahat sendiri. Jika kita mendengar orang lain bermimpi, terserahlah kepada kita untuk mempercayainya atau tidak. Tetapi jika kandungan mimpinya itu ternyata bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah, wajiblah kita menolaknya tanpa mengira siapa yang menceritakan mimpi itu. Hanya para Nabi sahaja yang maksum (terpelihara dari salah dosa) sama ada ketika jaga atau di dalam tidur. Kerana itu, mimpi para Nabi adalah wahyu atau ilham dari Allah. Adapun mimpi manusia lain, ia belum pasti kerana ada kemungkinan datang dari Syaitan atau nafsu sendiri. Kerana itu, ia perlu dirujuk kepada sumber ilmu yang muktamad iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Mengenai soalan saudara; “adakah orang biasa atau orang awam seperti kita layak mendapat petunjuk dari Allah melalui mimpi?”, jawapannya adalah ya. Allah berkuasa memberi mimpinya kepada siapa sahaja yang dikehendakinya termasuklah orang kafir atau orang fasiq. Jika kita merujuk kepada surah Yusuf, ada tiga mimpi yang diceritakan Allah dalam surah tersebut;
1. Mimpi Nabi Yusuf a.s. (ayat 5)
2. Mimpi dua orang pemuda yang bersama Nabi Yusuf dalam penjara (ayat 36)
3. Mimpi raja yang kafir (ayat 43)

Tatkala menghuraikan ayat tentang mimpi raja itu (yakni ayat 43 dari surah Yusuf), Imam Ibnu al-‘Arabi berkata; “Ayat ini menunjukkan sah (harus) mimpi orang kafir terutamanya jika berkait dengan urusan orang mukmin” (Ahkam al-Quran, Imam Ibnu al-‘Arabi). Jika harus -mengikut pandangan ulamak- Allah memberi mimpinya kepada orang kafir, maka lebih-lebih lagilah harus kepada orang mukmin sama ada yang taat atau yang fasiq. Cuma mimpi orang kafir dan orang fasiq tidaklah sentiasa dari Allah, tetapi banyak yang datang dari bisikan nafsu atau dari syaitan. Kerana itu, Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah menegaskan; “Sesiapa ingin agar mimpinya sentiasa benar, hendaklah ia sentiasa jujur/benar, memakan yang halal, menjaga perintah dan tegahan Allah, tidur dalam keadaan suci (yakni tidak berhadas) dan berzikir kepada Allah hinggalah terlelap matanya, nescaya mimpinya hampir tidak akan berdusta bila-bila pun” (Madarij as-Salikin, 1/52).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mauqif al-Islam Min al-Ilham Wa al-Kasyfi Wa ar-Ru-a…, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 115-136.
2. Ahkam al-Quran, Imam Ibnu al-‘Arabi, juz 3 (surah Yusuf).

TANDA-TANDA KELUAR MANI

Soalan; assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya adakah wajib seseorang itu mandi wajib jika seseorang terfikirkan benda yang mendatangkan syhawat, pada mulanya dia tidak rasa sesuatu keluar dari kemaluan, namun ketika buang air kecil dia dapati ada cecair keluar bersama air kencing tapi tidak rasa sedap macam air mani keluar?

Jawapan;

Terdapat kaedah Fiqh menyebutkan “اليقين لا يزول بالشك” (al-Yaqin La Yazulu Bi asy-Syakki) yang bermaksud sesuatu yang yakin tidak akan hilang semata-mata dengan syak (keraguan). Berdasarkan kaedah ini, seorang yang berada dalam keadaan suci, ia tidak berubah menjadi berhadas dengan semata-mata keraguan yang berlaku padanya. Sebagai contohnya, seorang yang yakin ia berada dalam keadaan wudhuk, kemudian timbul kesangsian/keraguan dalam dirinya apakah wudhuknya telah batal atau belum, tidak wajib ia mengambil wudhuk kerana dari segi hukum wudhuknya masih kekal. Kesangsian yang timbul itu tidak akan mengubah keyakinan yang sedia ada. Yang boleh mengubah suatu yang telah diyakini ialah suatu yang diyakini juga. Apabila benar-benar berlaku perkara yang membatalkan wudhuk seperti kentut, kencing, berak dan sebagainya, barulah wudhuk dianggap batal. Adapun hanya dengan keraguan atau kesangsian, belumlah dianggap batal. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. melarang seorang memberhentikan solatnya semata-mata kerana keraguan; adakah ia terkentut atau tidak? Ubbad bin Tamim meriwayatkan; bapa saudaranya telah bertanya Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar dari punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Merujuk kepada masalah saudara, jika air mani benar-benar keluar dari kemaluan saudara –melalui tanda-tandanya- barulah wajib saudara mandi. Semata-mata rasa keraguan atau kesangsian, tidaklah mewajibkan mandi. Tanda keluar mani dapat dilihat kesan basahan pada kemaluan saudara atau basahan pada kain/pakaian yang dipakai. Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’’ (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa sekalipun seseorang itu mimpi bersetubuh, ia tidak wajib mandi melainkan apabila melihat kesan air mani pada tubuh atau pakaiannya. Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.

Sifat air mani juga berbeza dari air-air lain yang biasa keluar dari kemaluan (iaitu air wadi atau madi). Menurut penjelasan ulamak; air mazi sifatnya adalah melekit dan keluar dari kemaluan (zakar atau faraj) biasanya tatkala naik syahwat. Air wadi pula sifatnya kental, berwarna putih dan keluar dari kemaluan sesudah buang air kecil. Sementara air mani pula berwarna putih dan kental, keluarnya dengan memancut, baunya seperti tepung diuli, dirasai kelazatan ketika keluarnya dan selepas keluarnya badan merasai keletihan. Menurut Imam an-Nawawi; ada tiga sifat air mani yang menjadi sandaran sama ada air yang keluar dari kemaluan itu mani atau bukan;
1. Keluar dengan disertai syahwah dan diikuti dengan keletihan selepasnya.
2. Baunya seperti bau mayang tamar, iaitu hampir-hampir kepada bau tepung diuli.
3. Keluarnya adalah dengan memancut.
Jika ada salah satu sifat di atas, maka mencukupi untuk air itu dianggap mani. Tidak menjadi syarat kesemua tiga-tiga sifat di atas ada baru boleh dianggap mani. Jika tidak nampak langsung satupun dari sifat-sifat di atas, maka air itu bukan air mani. (Syarah Soheh Muslim)

Apabila ada tanda-tanda di atas, barulah yang keluar dari kemaluan saudara itu adalah mani. Jika tidak ada, maka yang keluar itu bukan mani. Kemungkinan besar ia adalah mazi kerana keluarnya selepas saudara memikirkan tentang syahwat. Atau mungkin juga ia adalah air wadi kerana keluarnya mengiringi air kencing. Sama ada mazi atau wadi, kedua-duanya tidak mewajibkan mandi. Memadai dengan membasuhnya dan mengambil wudhuk (untuk mengerjakan solat). Saudara hanya wajib mandi jika saudara yakin yang keluar itu adalah mani.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 3, kitab al-Haidh.
2. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 2.