Selasa, 12 Agustus 2008

ZAKAT FITRAH UNTUK GURU QURAN SUKARELA

Soalan; mak saya merupakan seorang guru quran sukarela yang mengajar anak kampung dan telah mengajar lebih kurang 40 tahun. Setiap tahun beliau menerima zakat fitrah atas asnaf fisabiliillah. Baru-baru ini saya terbaca ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan bahawa sesiapa yang membayar fitrah selain dari amil kerajaan yang dilantik dia berdosa tetapi sah zakatnya. Masalahnya ustaz adakah patut mak saya menerima zakat fitrah pada tahun ini sedangkan mungkin ramai yang tidak tahu ada fatwa ini. Adakah mak saya berdosa dalam hal ini ( sumber fatwa dari majalah al-Islam). Wassalam( jazakallah khairul jazak).

Jawapan;

Sila baca jawapan saya sebelum ini tentang "Mengagih sendiri zakat" (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/02/mengagih-sendiri-zakat.html). Begitu juga, baca penjelasan saya tentang makna "Fisabilillah"; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/makna-sabilillah.html). Jika benar seperti yang saudara katakan itu bahawa ibu saudara mengajar al-Quran secara sukarela (tanpa sebarang gaji atau peruntukan dari Baitul-Mal), ia layak menerima zakat atas sifatnya sebagai orang-orang yang berada di jalan Allah kerana sumbangannya untuk Islam dan umat Islam. Menurut mazhab Syafi’ie, zakat fitrah sama seperti zakat harta; hendaklah diagihkan mengikut lapan asnaf yang layak menerima zakat (salah satu darinya ialah asnaf Fisabilillah).[1] Tentang kedudukan orang-orang yang memberi zakat kepada ibu saudara (yakni mereka mengagih sendiri zakat mereka tanpa melalui amil yang dilantik), saudara boleh membaca pandangan ulamak tentangnya dalam jawapan saya itu. Saya tidak berniat menyanggah fatwa majlis fatwa kebangsaan itu. Namun selama ada kepelbagaian pandangan ulamak/fuqahak dalam sesuatu masalah, kita berhak untuk membaca kesemuanya dan beramal dengan yang mana paling kita yakini.

Wallahu a'lam.

Nota kaki;

[1] Ada ulamak mengkhususkan zakat fitrah untuk golongan fakir miskin sahaja.

HUBUNGAN ADIK IPAR DENGAN ISTERI

Soalan; Saya adalah seorang surirumah. Hubungan saya dengan suami amat akrab. Kami tinggal berdua dirumah bersama seorang anak berumur dua bulan. Namun sejak beberapa bulan yang lalu adik lelaki suami saya yang berusia lingkungan 20an datang tinggal bersama kami kerana bekerja. Suami saya bekerja jauh, keluar pada pukul 6.45 pagi dan tiba dirumah jam 9 malam. Jadi seringkali saya bersama dengan adik ipar di rumah tanpa suami bersama. Persoalan saya, bolehkah dan apakah hukumnya seorang isteri tinggal berduaan dengan adik ipar lelaki? Apakah hukumnya seorang suami yang membiarkan adik lelakinya tinggal berduaan dengan isterinya? Saya dan suami telah berbincang mengenai masalah ini, namun untuk mengelakkan pergaduhan keluarga, kami menemui jalan buntu dan suami tidak sampai hati untuk menyuruh adiknya berpindah daripada sini. Sekian terima kasih.

Jawapan;

Tidak harus seorang lelaki membiarkan isterinya berduaan di dalam rumah dengan adik lelaki atau abang lelakinya tanpa kehadirannya atau mahram isterinya (seperti bapa, saudara lelaki dan sebagainya). Hubungan mereka berdua (yakni isteri dan adik/abang suami) sama seperti hubungan antara seorang wanita dengan lelaki ajnabi (yakni yang bukan mahramnya), iaitu wajib ia menutup aurat di hadapannya dan haram mereka duduk berduaan di tempat yang tertutup tanpa kehadiran suami atau mahram. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak. Menjadi kewajipan suami menjaga isteri dan ahli keluarganya dari melakukan perkara-perkara yang dilarang agama. Perintah agama jika dipatuhi akan membawa keharmonian dan keberkatan hidup. Jika dilanggari pula akan membawa kecelakaan dan penyesalan di belakang hari. Lebih-lebih yang berkait dengan hubungan lelaki dan wanita, ia boleh membuka jalan kepada berlakunya penzinaan yang amat besar dosanya dalam Islam serta akibatnya amatlah buruk kepada keluarga dan nasab. Kerana itu jalan kepadanya perlu ditutup dari awal. Mengambil hati keluarga atau sesiapa saja tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hukum Syarak. Sabda Nabi s.a.w.; "Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Khaliq (yakni Tuhan yang menjadikan makhluk iaitulah Allah)". (al-Hadis). Oleh demikian, ketataan kepada perintah Allah perlu diutamakan dari perasaan malu atau takut kepada sesama makhluk. Di situlah letaknya bukti ubudiyah kita kepada Allah.

Wallahu a'lam.