Sabtu, 30 Agustus 2008

ADAKAH DARAH NAJIS?

Soalan; Ustaz, adakah darah itu najis...? Adakah sah ibadat seseorang apabila ada setitik darah pada baju yang dipakainya ketika melakukan ibadat...? Saya berharap ustaz dapat jelaskan kemusykilan saya ini...Sekian

Jawapan;

Jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafi’ie dan Hanbali) berpandangan; darah adalah najis. Mereka berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor -……”. (al-An’am; 145)

Menurut jumhur ulamak; ungkapan “sesungguhnya ia adalah kotor” adalah merujuk kepada semua benda-benda yang disebut sebelumya iaitulah bangkai, darah yang mengalir dan daging babi.

Namun Imam as-Syaukani menyanggahi pendapat jumhur, di mana menurut beliau; darah tidaklah najis kecuali darah haid sahaja. Najisnya darah haid adalah berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh agar dicuci darah haid. Asma’ binti Abu Bakar r.a. menceritakan; Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya; “Ya Rasulullah s.a.w.. Jika salah seorang dari kami pakaiannya terkena darah haid, apa yang perlu ia lakukan?”. Nabi menjawab; “Keriklah, gosok dengan air dan basuhlah/cucilah, kemudian pakailah ia untuk mengerjakan solat” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Darah-darah lain tidak ada dalil yang menunjukkan kenajisannya, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu suci. Adapun ayat di atas, Imam Syaukani berpendapat; ungkapan “..sesungguhnya ia adalah kotor..” hanya merujuk kepada daging babi sahaja, bukan merujuk kepada semua benda haram yang disebut sebelumnya. Ini kerana dhamir (gantinama) yang digunakan ialah dhamir mufrad (satu) bukan jama’ (banyak). Sekalipun benda-benda yang disebut dalam ayat di atas haram dimakan, tetapi –menurut beliau- yang haram tidak semestinya najis. Haram atau halal sesuatu adalah berdasarkan nas. Begitu juga, najis atau tidaknya sesuatu juga perlu berdasarkan nas. Jika tidak ada nas, ia kekal atas sifat asalnya iaitu suci. Yang disebut oleh nas (ayat) di atas sebagai najis (kotor) secara jelas ialah daging babi sahaja berpandukan dhamir mufrad tersebut.[1]

Mengenai soalan kedua, -iaitu adakah sah ibadah (solat) seseorang jika di pakaiannya terdapat setitik darah-, para ulamak juga ada perbezaan pandangan;

1. Ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Hanbali menegaskan; batal solatnya dan wajib diulangi kerana ia menunaikan solat dalam keadaan tidak memenuhi syarat sahnya iaitu bersuci. Adapun sangkaannya semasa sedang solat –bahawa ia bersih dari najis-, maka sangkaan itu tidak dikira kerana telah terbukti salah. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil kira sangkaan yag telah ternyata salahnya”.

2. Menurut mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah; tidak batal solatnya jika najis (darah) itu sedikit iaitu kurang dari kadar keluasan satu dirham (duit 10 sen). Jika najis itu banyak (iaitu melebihi keluasan satu dirham), batallah solat dan wajib diulangi semula.

3. Ada ulamak berpandangan; tidak batal solatnya secara keseluruhannya sama ada najis itu sedikit atau banyak jika kewujudan najis (darah) pada pakaian itu tanpa disedari. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari kami mengerjakan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Di tengah solat, Nabi menanggalkan dua kasutnya dan meletaknya di sebelah kirinya. Melihat berbuatan Nabi itu, kami pun turut melakukannya. Selesai solat, Nabi bertanya; “Kenapa kamu semua menanggalkan kasut?”. Kami menjawab; “Kami melihat kamu melakukannya, maka kami pun turut melakukannya”. Nabi berkata; “Di tengah solat tadi, Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat najis/kekotoran, maka kerana itulah aku menanggalkannya. Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua kasutnya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian bolehlah ia menunaikan solat dengan memakai kasutnya itu” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Berkata Imam al-Khattabi; hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa menunaikan solat sedang di pakaiannya terdapat najis yang tidak diketahuinya, maka solatnya adalah sah dan tidak perlu ia mengulanginya”. Selain Imam al-Khattabi, ulamak yang berpandangan serupa ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Di dalam al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat dengan ada najis (di pakainnya) kerana lupa atau tidak tahu, tidak perlu ia ulangi solatnya”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, halaman 18.
2. Bidayatul-Mujtahid, Imam Ibnu Rusyd, 1/100.
3. Al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah, 5/327.
4. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 20.

Nota Kaki;

[1] Menurut Imam as-Syaukani, perkara-perkara yang ada dalil Syarak menyebutnya sebagai najis ialah;
1. Tahi dan air kencing manusia
2. Air liur anjing
3. Tahi binatang (khusus kepada tahi kuda, baghal dan kaldai sahaja menurut beliau)
4. Darah haid (lain dari darah haid (iaitu darah biasa) tidak najis menurut beliau).
5. Daging babi
Hanya lima di atas sahaja –menurut Imam Syaukani- yang mempunyai dalil yang jelas dari Syarak tentang kenajisannya. Selain darinya adalah khilaf di kalangan ulamak” (Ad-Darari al-Madhiyyah, halaman 18).

MANDI JUNUB SELEPAS IMSAK

Soalan; Berkenaan dgn mandi junub, di dalam bln ramadhan ini adakah kita perlu mandi junub sebelum imsak ataupun blh mandi junub selepas imsak?

Jawapan;

Tidak menjadi masalah mandi junub selepas imsak, malah selepas masuk waktu subuh. Ia tidak memberi sebarang kesan kepada puasa. Yang perlu dijaga ialah jangan bersetubuh selepas masuk waktu subuh kerana ia membatalkan puasa. Adapun bersetubuh sebelum masuknya subuh, ia tidak membatalkan puasa sekalipun mandi junub dilakukan selepas subuh. Saidatinia ‘Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. pernah menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Jadi bagi orang yang bersetubuh dengan isterinya, harus melewatkan mandi junub sehingga selepas masuk waktu subuh. Begitu juga, bagi wanita yang terputus haidnya pada sebelah malamnya, tidak batal puasanya jika ia menangguh mandinya hingga selepas subuh. Namun demikian, menyegerakan mandi dalam semua keadaan ini adalah disunatkan.

Wallahu a’lam.

TEMPOH AQIQAH

Soalan; saya ada soalan mengenai aqiqah; Saya belum lagi melakukan aqiqah utk anak yg kedua. Bolehkan aqiqah tersebut dilakukan serentak bg anak yg ke-2 dan ke-3? Sampai umur berapakah anak tersebut masih layak dibuat aqiqah ke atasnya?

Jawapan

Bermula masa/waktu melakukan aqiqah ialah apabila bayi telah sempurna lahir dari perut ibunya. Maka jika dilakukan sembelihan sebelum bayi lahir dengan sempurna, tidak dikira sebagai aqiqah. Ia hanya menjadi sembelihan biasa dan tidak akan mendapat pahala aqiqah. Waktu aqiqah berterusan hingga bayi baligh. Apabila ia telah baligh, gugur tuntutan aqiqah ke atas bapa atau wali/penjaganya jika belum melaksanakannya. Namun digalakkan orang yang tidak diaqiqahkan sebelum balighnya melakukan sendiri aqiqahnya. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya (Syeikh Taqiyuddin al-Husaini) menjelaskan dengan lebih terperinci; “Sebaik-baiknya aqiqah dilakukan pada hari yang ke tujuh.[1] Jika tidak dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa nanti)” (Halaman 534).

Menyentuh soalan; adakah harus melakukan aqiqah bersama bagi anak kedua dan anak ketiga, jawapannya adalah harus dengan syarat bagi setiap anak sekurang-kurangnya seekor kambing dan disunatkan dua ekor jika anak lelaki. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (Riwayat Imam Abu Daud). Ummu Kurzin r.a. menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah); “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (Riwayat Abu Daud).

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 8, hlm. 323.
2. Kifayatul-Akhyar, hlm. 534

Nota Kaki;

[1] Iaitu bersama dengan mencukur rambut dan memberi nama bayi. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni mencukur kepala mereka berdua)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi).

JARAK DUA MARHALAH

Soalan; Saya ingin bertanya; salah satu syarat melakukan solat jamak dan qasar ialah perjalanan melebihi 2 marhalah. Boleh ustaz terangkan berapakh jauhnya dlm km dan adakah 2 marhalah itu dikira utk perjalanan pergi-balik @ satu hala sahaja?

Jawapan;

Dua marhalah bersamaan empat Barid. Satu Barid bersamaan empat Farsakh. Satu Farsakh pula bersamaan tiga Mil. Jadi, dua marhalah bersamaan 48 Mil. Itu adalah ukuran lama. Adapun mengikut ukuran baru (yakni KM), menurut Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam kitabnya al-Fiqh al-Wadhih; dua marhalah menyamai kira-kira 89 KM. Jarak dua marhalah itu di hitung secara sehala iaitu jarak perjalanan pergi dari rumah/kediaman ke tempat musafir, bukan berdasarkan jarak pergi dan balik (yakni dua hala).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

al-Fiqh al-Wadhih, jil. 1, hlm. 221.