Kamis, 04 September 2008

CARA SOLAT TERAWIH SENDIRIAN

Soalan; saya ada dua soalan;
1 ) Bagaimana nak buat solat taraweh bersendirian?
2 ) Adakah selawat selepas setiap 2 rakaat solat taraweh itu perlu dan macamana kalau tidak buat dan cara melakukanya (tidak berselawat)

Jawapan;

1. Solat terawih sama seperti solat-solat sunat yang lain yang biasa kita lakukan, iaitu ditunaikan dua-dua rakaat dengan bermula dari takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat terawih atau qiyam Ramadhan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Bacaan-bacaan di dalam solat juga sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Kesimpulannya, yang berbeza dalam solat terawih ini ialah niatnya sahaja. Adapun rukun-rukun dan sunat-sunat di dalam solat, ia sama seperti dalam solat-solat yang lain. Oleh kerana solat terawih dilakukan dua-dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, dua puluh atau sebagainya).

2. Adapun berselawat selepas setiap dua rakaat, ia tidaklah wajib dan tidak mencacatkan solat terawih jika tidak melakukannya. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan sesuai dengan nama solat itu “Solat Terawih”. Ia bukanlah sabit dari amalan Nabi s.a.w. secara khusus. Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bertazkirah dan sebagainya. Dan harus juga kita meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lengkap tentang solat terawih, sila baca di blog Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).

Wallahu a’lam.

TEMPOH NIFAS

Soalan; Ustaz, aaya ada satu kemusykilan berkaitan dengan tempoh nifas, saya terbaca di dalam kitab fiqh sunnah-syed sabiq(terjemahan) mengatakan maksimum 40 hari (berdasarkan hadis), sekiranya selepas tempoh tersebut jika masih ada darah maka wajib solat, tetapi ada juga yang mengatakan 60 hari..Mohon penjelasan ustaz, terima kasih..

Jawapan;

Darah nifas bermakna darah kelahiran, iaitu darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas melahirkan anak. Berapa lama darah nifas ini boleh berlanjutan? Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

1. Jumhur ulamak –merangkumi ulamak-ulamak sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi s.a.w. menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi).

Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan orang yang sulasul-baul (yakni orang yang menghadapi penyakit kencing tak putus) dan tertakluk dengan hukum-hakam mereka sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini (sila rujuk; http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/kencing-tak-lawas.html).

2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/251.
2. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/482-484.
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 292.
4. Al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Quran al-‘Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 58.

BERBUKA; ADAKAH PERLU MENUNGGU HABIS AZAN?

Soalan; Ustaz, saya ingin minta penjelasan Ustaz berkenaan menyegerakan berbuka puasa. Saudara saya kata berbuka hendaklah selepas selesai azan berkumandang manakala sepengetahuan saya, waktu berbuka adalah waktu terbenam matahari iaitu masuk sahaja waktu maghrib dimana sebaik sahaja azan bermula sudah boleh berbuka. Apa pendapat Ustaz atas perkara ini? Jazakumullahu khairan kathira

Jawapan;

Ukuran waktu berbuka puasa bukanlah dengan azan, tetapi dengan terbenamnya matahari. Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila malam telah tiba dari sana (yakni dari sebelah timur) dan siang telah berlalu dari sana (yakni dari sebelah barat) dan matahari telah terbenam, maka orang berpuasa sudah benar-benar (boleh) berbuka” (HR al-Bukhari dan Muslim dari Umar r.a.). Oleh demikian, tidak perlu kita menunggu hingga azan habis untuk berbuka puasa. Malah tidak perlu menunggu azan jika kita telah yakin matahari telah terbenam. Kadang-kadang bilal yang bertugas melaungkan azan ia terlewat melaungkannya, maka menunggunya menyebabkan kita lewat berbuka sedangkan kita tahu matahari telah beberapa minit terbenam.

Disunatkan kita segera berbuka puasa iaitu sebaik sahaja diyakini terbenam matahari atau masuk waktu maghrib. Sabda Nabi s.a.w.; “Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.). Menjadi sunnah Nabi s.a.w. berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Anas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. berbuka dengan beberapa butir tamar basar sebelum baginda menunaikan solat maghrib. Jika tidak ada tamar basah, baginda berbuka dengan tamar kering. Jika tidak ada sebarang tamar, baginda berbuka dengan meminum beberapa teguk air” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh). Melambat-lambat berbuka puasa hukumnya adalah makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat dielakkan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 432.
2. Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami' as-Saghier), Imam al-Minawi, hadis no. 465.