Sabtu, 06 September 2008

BERPUASA TAPI TAK SOLAT

Soalan; ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan;

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.

PERSOALAN WALI (2)

Soalan; salam ramadhan ustaz. Soalan saya menyambung semula tentang wali tu (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/siapa-wali.html), namanya __________, saya nak sangat belajar dengan _____ tu, tapi saya ada sedikit kerisauan. Saya belum pernah jumpa, cuma mendengar cerita sahaja melalui rakan, sekarang banyak orang yang belajar silat ________ dengan ____ tu, dan banyak juga yang di baiƔh jadi murid untuk menyertai tarikat. Bila seseorang dirasuk jin, sebut je nama ______ tu, jin tersebut akan lari. Itu termasuk kelebihannya. Apa yang mesti saya buat ustaz? Di satu sisi saya nak sangat belajar dengan _____tu. Disatu sisi saya takut kalau tersilap. Tolong saya ustaz, beri penjelasan. Terima kasih.

Jawapan;

Menuntut ilmu hendak dengan niat yang bersih kerana Allah. Tujuan menuntut ilmu adalah untuk mengenali Allah, mengenali Agama, mengenali Sunnah Nabi dan mendapat petunjuk ke jalan yang benar. Jangan menuntut ilmu dengan niat untuk mendapat kehebatan itu dan ini, itu tidak ikhlas namanya dalam menuntut ilmu. Ulamak-ulamak dulu sanggup mengembara ratusan batu semata-mata untuk belajar satu hadis. Apa nilai satu hadis pada pandangan mata manusia? Memang manusia tidak rasa hebat. Tetapi itulah agama, itulah hidayah.

Saya nasihatkan saudara carilah guru yang alim, kuat berpegang dengan Syari'at, beramal, berjuang untuk agama dan diketahui latar-belakang pengajian agamanya (siapa gurunya atau di mana ia belajar) kerana itulah tradisi pengajian yang diwarisi dari Nabi s.a.w.. Rasulullah adalah guru kepada para sahabat. Para sahabat adalah guru kepada Tabi'in, Tabiin adalah guru kepada Tabi' Tabiin, begitulah susur-galurnya. Jangan nilai benar atau tidaknya seseorang dengan melihat kehebatan luar biasanya kerana Iblis dan Jin, ahli sihir dan ahli silap mata juga boleh menunjukkan kehebatan luar biasa. Orang yang jin takut kepadanya tidak semesti ia benar atau hebat dari sudut agama. Kemungkinan orang itu juga membela jin dan jin yang ada padanya lebih kuat dari jin yang masuk dalam tubuh orang sakit itu, maka timbullah ketakutan. Mungkin juga jin yang dibelanya banyak, maka perkara biasa seekor jin akan takut apabila berdepan dengan kumpulan ramai jin. Jadi, pelbagai andaian dapat kita buat dan andaian itu ada kemungkinan benar dan ada kemungkinan salah. Jalan selamat, jangan kita mengambil risiko yang tidak perlu. Biarkan dia dengan kehebatan peribadinya. Kalau kita tidak ada kehebatan itu pun kita akan hidup juga. Tetapi jika kita tersesat kerana tersalah pilih guru, itu adalah musibah besar bagi kita dunia dan akhirat.

Saya syorkan kepada saudara, carilah guru yang dapat mendidik saudara;
- Ilmu aqidah
- Ilmu Feqah
- Ilmu tentang hati
- Ilmu al-Quran
- Ilmu as-Sunnah
Di samping belajar (dan bekerja mencari rezki yang halal kerana itu juga wajib), saudara jaga solat berjamaah, banyakkan baca al-Quran, banyakkan solat sunat, banyakkan puasa sunat, rajin bersedekah (di samping zakat), amalkan zikir-zikir pagi dan petang, libatkan diri dalam perjuangan Islam (bersama-sama para ulamak dan orang soleh untuk menyebarkan Islam dan melaksanakan Syari'atnya). Ilmu dan amal, itulah kehebatan sebenar seorang muslim. Orang yang benar-benar hebat ialah orang yang hebat di sisi Allah. Ramai orang yang merasa diri hebat tetapi di sisi Allah ia sebenarnya rendah. Umpamanya Iblis, ia merasa dirinya hebat kerana bermacam kelebihan ada padanya, namun Allah berkata kepadanya; “Sesungguhnya engkau (Iblis) dari golongan yang hina/rendah” (Al-A’raf, ayat 13).

Wallahu a’lam.

PENGIRAAN FIDYAH DAN KADARNYA

Soalan; Saya kini berusia 29 tahun dan mendapat haid ketika berusia 9/10 tahun selama lebih kurang 7 hari sebulan dan sepanjang itu, saya tak pasti samada saya ada menqada puasa atau tidak dan saya mengagak saya mula menqada puasa ketika berumur 26 tahun. Oleh kerana tidak pasti, saya membuat pengiraan seperti berikut:-
9 - 27 = 19 tahun
19 tahun x 7hari sebulan = 133 hari
a) Adakah puasa yang saya qada akan berganda dan kalau berganda, berapakah jumlah hari yang harus saya qada?
b) Bagaimana untuk saya mengira fidyah dan jumlah fidyah yang dikenakan ke atas saya?
c) Bolehkan Ustaz menjelaskan secupak beras bersamaan berapa gram?

Jawapan;

1. Puasa yang perlu diganti tidak bertambah/berganda. Jadi, puan/saudari hanya perlu mengganti puasa sebanyak 133 hari sahaja (jika merujuk hitungan puan/saudari tersebut).

2. Mengenai fidyah, menurut jumhur ulamak (mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad); fidyah juga tidak berganda. Mengikut pandangan jumhur ulamak; puan/saudari hanya perlu mengeluarkan fidyah mengikut jumlah hari qadha (bagi puasa Ramadhan yang lalu) yang gagal puan/saudari laksanakan apabila masuk Ramadhan baru. Walaupun berkali-kali Ramadhan baru menjelang dan puasa lampau masih tidak diqadha, jumlah fidyah untuknya tidak bertambah sebagaimana juga puasa tadi. Merujuk kepada bilangan hari yang puan/saudari nyatakan itu, maka jumlah fidyah yang perlu puan/saudari keluarkan ialah 133 fidyah sahaja. Wallahu a’lam.

Namun menurut mazhab Imam Syafi’ie; jumlah fidyah menjadi berganda dengan bertambahnya Ramadhan yang dilampaui (tanpa melaksana qadha puasa untuk Ramadhan sebelumnya). Jadi berdasarkan pandangan mazhab Syafi’ie ini, mengikut perkiraan saya (wallahu a’lam); jumlah fidyah yang puan/saudari perlu keluarkan ialah 1330 fidyah. Wallahu a’lam.

Untuk tambahan, sila baca lebih lanjut tentang fidyah di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/fidyah-bagi-puasa-puasa-yang-lalu.html).

3. Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya. Memakai pandangan Imam Abu Hanifah ini, Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar) menyebutkan; satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan tengahari (ghada’) dan malam (asya’).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 449.
2. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.

NIAT SEKALI; QADHA DAN PUASA ENAM

Soalan; Bolehkah puasa qada dilakukan bersama puasa sunat iaitu, Qada Ramadhan dan juga puasa sunat, contohnya puasa sunat enam yang mana niat qada ramadhan dahulu diikuti dengan puasa enam, contohnya "Sahaja aku berpuasa esok hari, Qada Ramadhan and puasa sunat enam kerana Allah Taala"?

Jawapan;

Ya. Harus diniatkan sekali. Namun jika mampu memisahkannya –yakni melakukan puasa secara berasingan- itu yang sebaik-baiknya. Apabila berlaku pertembungan antara puasa Qadha dan puasa enam, kita boleh memilih seperti berikut;
a) Yang terbaik ialah kita menyelesaikan dahulu puasa qadha, kemudian diiikuti dengan puasa enam.
b) Jika kita tidak mampu puasa kedua-dua sekali dalam bulan Syawal, harus kita mendahulukan puasa enam di bulan Syawal, adapun puasa Qadha kita lakukan pada bulan-bulan lain.
c) Jika kita tidak mampu berpuasa kedua-duanya secara berasingan, harus kita meniatkan kedua-duanya dalam satu puasa. Malah sebahagian ulamak berkata; jika seseorang berpuasa dengan niat qadha dalam bulan Syawal, otomatik akan dapat untuknya pahala puasa enam sekalipun tanpa ia meniatnya kerana yang diperkira ialah wujudnya sebarang puasa dalam bulan Syawal itu.

Susunan di atas adalah mengikut keutamaan. Yang paling utama ialah pilihan (a), diikuti (b) dan seterusnya (c).

Untuk info tentang puasa enam, sila layari; (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-6-hari-syawal.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 2/22-23.
2. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 213-214.