Minggu, 07 September 2008

KELUAR MANI KETIKA TIDUR

Soalan; Ustaz saya ingin bertanya; apabila saya bangun dari tidur selepas subuh saya dapati air mani saya telah keluar tanpa saya sedari,adakah batal puasa saya?

Jawapan;

Sesuatu perkara yang membatalkan puasa yang berlaku tanpa disengajakan dan di luar kawalan kita, tidaklah membatalkan puasa seperti makan tanpa sengaja, keluar mani kerana mimpi, muntah tanpa disengajakan dan sebagainya. Nabi s.a.w. bersabda tentang muntah; “Sesiapa yang terpaksa muntah, maka (tidaklah batal puasanya dan) ia tidak wajib mengqadha’ dan sesiapa yang sengaja muntah, maka (batallah puasanya dan) ia wajib mengqadhanya” (HR Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.). Baginda juga bersabda; "Diangkat pena (yakni tidak dihitung dosa) dari tiga orang; dari orang tidur hingga ia bangun, dari kanak-kanak hingga ia dewasa (yakni baligh) dan dari orang gila hingga ia siuman" (HR Imam at-Tirmizi dan Saidina 'Ali r.a.. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi, 4/337.

MENJAMAKKAN SOLAT KERANA TERDESAK

Soalan; ustaz, exam saya bermula pukul 3ptg. tetapi saya telah sampai pd pukul 330ptg.saya terpaksa memasuki dewan peperiksan dgn segera tetapi saya belum melakukan solat zohor lg. Bolehkah saya melakukan jamak takhir pd kes sebegini ?

Jawapan;

Tidak sepatutnya seorang muslim melewat-lewatkan solat sehingga akhirnya terpaksa melakukannya di luar waktu. Di dalam surah al-Mukminun, Allah menyebutkan antara ciri orang mukmin ialah “Orang-orang yang menjaga solat mereka”. Menurut ulamak-ulamak Tafsir; menjaga solat bermaksud; “Menjaga waktunya di samping menjaga perbuatan solat itu sendiri (yakni melakukannya dengan sempurna)”. Ibnu Mas’ud menceritakan; Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; Apakah amalan yang paling disukai Allah?. Jawab Rasulullah; “Solat di awal waktu” (HR Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak. Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Mukminun, ayat 9).

Namun dalam kes saudara, saya bersangka baik; kemungkinan saudara tidaklah sengaja ingin melewat-lewatkan solat. Saudara mungkin keluar awal dari rumah dan bercadang mengerjakan solat berhampiran Dewan Peperiksaan, namun berlaku situasi yang tidak dapat dielakkan –kesesakan jalan raya, kenderaan rosak dan sebagainya-, menyebabkan saudara tiba lewat dan terpaksa terus masuk ke dalam Dewan Peperiksaan untuk mengelak dari dihalang mengambil peperiksaan. Jika situasi terdesak serupa itu, tidaklah kita menanggung dosa jika berlaku kelewatan solat. Sebagai jalan keluar bagi situasi terdesak seumpama itu, saudara bolehlah berpegang dengan pandangan ulamak sebagaimana berikut;

1. Imam ‘Atho’, Imam Malik dan Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi’ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi’ie), ar-Ruyani (bermazhab Syafi’ie) dan al-Khattabi, mereka berpandangan; “Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzuran-keuzuran lain yang seumpamanya”.

2. Imam Ibnu Sirin, Asyhab (bermazhab Malik), Ibnu al-Munzir, al-Qaffal (bermazhab Syafi’ie), asy-Syasyi al-Kabir (bermazhab Syafi’ie) dan Ibnu Syabramah, mereka berpendapat; “Harus menjamakkan solat ketika dalam negeri (yakni tanpa bermusafir) jika ada suatu desakan atau keperluan asalkan tidak dijadikan kebiasaan”.

Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Zohor dan Asar dengan menjamakkan (kedua-duanya) di Madinah, tanpa sebab ketakutan dan juga tanpa sebab musafir” Dalam riwayat lain; “…tanpa sebab ketakutan dan tanpa sebab hujan”. Ibnu ‘Abbas ditanya; “Kenapakah baginda melakukan demikian?”. Beliau menjawab; “Baginda tidak mahu memberatkan umatnya” (HR Imam Muslim).

Jadi, bagi ulamak-ulamak di atas, menjamakkan solat diharuskan dengan tiga sebab;
1. Kerana musafir
2. Kerana hujan
3. Kerana suatu keperluan/desakan yang berlaku.
Adapun dalam mazhab Syafi’ie, menjamakkan solat tidak diharuskan kecuali kerana musafir dan hujan sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 5/221.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/176.
2. Dalail al-Ahkam, juz. 1, hlm. 419-420.
3. Kifayatul-Akhyar, hlm. 141-142.
4. Al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, Dr. Abdul-Aziem Badawi, hlm. 146.

JARAK UNTUK HARUS SOLAT QASAR DAN JAMAK

Soalan; ustaz, saya ingin bertanya; setiap bulan saya terpaksa ke Bandar M, bandar yg berhampiran yg jaraknya kira-kira 60 - 70 km sehala utk membuat pembayaran bil, bank dan sebagainya. Dan perjalanan pergi dan blk memakan masa lebih kurang 120 km ke atas. Soalannya ustaz, bolehkah saya melakukan solat jamak dan qasar?

Jawapan;

Masalah jarak perjalanan yang mengharuskan jamak dan qasar (begitu juga berbuka puasa), para ulamak berbeza pandangan;

a) Jumhur ulamak –termasuk Imam-Imam mazhab empat- telah menetapkan jarak tertentu bagi perjalanan (musafir) yang membolehkan seseorang menghimpun dan memendekkan solat. Menurut mazhab Malik, Syafi’ie dan Ahmad; jaraknya hendaklah tidak kurang dari dua marhalah, iaitu kira-kira 85-90KM mengikut ukuran hari ini. Jarak yang dimaksudkan ialah sehala, bukan dua hala. Menurut Imam Abu Hanifah pula; perjalanan yang mengharuskan solat jamak dan qasar ialah jarak yang ditempoh selama tiga hari tiga malam (mengikut perjalanan orang Arab zaman dahulu), iaitu tiga marhalah atau lebih kurang 86 KM mengikut ukuran hari ini. Jadi berdasarkan pandangan jumhur ini, tidak harus saudara/saudari melakukan solat jamak dan qasar kerana jarak perjalanan saudara/saudari –secara sehala- tidak mencapai jarak yang ditetapkan (iaitu dua atau tiga marhalah).

b) Segolongan ulamak tidak menetapkan jarak tertentu bagi musafir yang mengharuskan solat jamak dan qasar. Asalkan seseorang itu menempuh satu jarak yang dapat dinamakan musafir (perjalanan) pada bahasa manusia di mana ia keluar dari daerah atau negerinya menuju ke suatu tempat dengan menempuh satu perjalanan, maka haruslah ia mengqasar dan menjamakkan solatnya. Di antara ulamak yang memberi pandangan sebegini ialah Imam Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim dan asy-Syaukani. Berkata Imam as-Syaukani; “Sesiapa keluar dari negeri/daerahnya menuju ke satu tempat di mana ia dianggap dalam perjalanannya ke tempat tersebut sebagai musafir (yakni orang yang menempuh satu perjalanan), maka harus baginya menqasarkan solat sekalipun jaraknya kurang satu Barid”[1] (ad-Darari al-Madhiyyah, hlm. 167). Berdasarkan pandangan ini, haruslah bagi saudara/saudari melakukan solat jamak dan qasar dengan jarak perjalanan yang saudara/saudari sebutkan itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/265.
2. As-Solah ‘Ala Al-Mazahib al-Arba’ah, Abdul-Qadier ar-Rahbawi, hlm. 228.
3. al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Quran al-Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 144.
4. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, hlm. 167.
5. Fiqh as-Shiyam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 46.

Nota kaki;

[1] Iaitu lebih kurang 22 KM (Lihat; Mu’jam Lughatil-Fiqh, Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ah Ji, hlm. 87).

MENCERCA ISTERI

Soalan; apakah hukumnya kalau suami marah kepada isteri dengan meluahkan kata-kata seperti engkau ni bodoh,babi,bengap dan sebagainya? Adakah berhak suami berkata demikian kepada isteri?

Jawapan;

Seorang suami hendaklah sentiasa menunjukkan kasih-sayang kepada keluarganya di samping menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka. Tidak sepatutnya suami menzahirkan ucapan caci-maki kepada isteri sedemikian rupa sekalipun ketika marah. Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Mencerca orang Islam adalah fasiq dan membunuhnya adalah kufur/kafir” (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w. berkata kepada para suami; “Aku berpesan kepada kamu; berbuat baik lah kepada isteri kamu. Sesungguhnya perempuan dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Sesungguhnya yang paling bengkok pada tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu berusaha meluruskannya, pasti kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya, ia akan terus bengkok. Maka terimalah pesananku agar berbuat baiklah kepada isteri kamu”. (HR Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulamak, hadis ini memberi panduan kepada suami agar sentiasa berlemah-lembut dengan isteri, berbuat baik kepadanya, menerima kelemahannya dan menangani krisis rumah-tangga dengan sabar dan tolak-ansur.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 10, Kitab ar-Radha’, Bab al-Wasiyyah Bin-Nisa’.
2. Al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzil-Lisan, bab; Fi Alfaz Yukrahu Isti’maluhu.