Rabu, 10 September 2008

ZIKIR

Soalan; ustaz, adakah terdapat di dalam hadis zikir ini yang disarankan supaya dibaca 7 kali pagi & petang? Apakah maknanya & fadhilatnya?; "Hasbiallahu la ilahailla hu, 'alai hi tawakkaltu, wa hua rabbul 'arsyil 'azim". Terima kasih. Jazakallahukhairan.

Jawapan;

Diriwayatkan dari Abu Darda’ r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bersabda; “Sesiapa membaca pada setiap hari di waktu pagi dan waktu petang sebanyak tujuh kali;

حَسْبِيَ اللّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
“Cukuplah Allah bagiku (untuk menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya aku berserah diri, dan Dia lah pemilik Arasy yang agung”.

nescaya Allah akan membantu/menjaganya dari perkara yang mendukacitakannya dalam urusan dunia dan akhirat”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ibnu Sunni dan Ibnu Asakir).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Lihat hadis ini dalam al-Azkar, Imam an-Nawawi, bab Ma Yuqali ‘Inda as-Sobah Wa al-Masa’

KAFFARAH

Soalan; ustaz, tolong ustaz jelaskan, adakah anak yatim sama dengan orang miskin jika saya ingin membayar kifarat kpd 60 orang miskin. wassalam.

Jawapan;

Maksud fakir atau miskin ialah orang yang tidak mempunyai harta/pendapatan untuk menyara diri dan keluarga di bawah tanggungannya (sama ada kerana sakit, kurang upaya, belum mendapat pekerjaan atau sebagainya) atau ia mempunyai pendapatan tetapi tidak mencukupi (seperti memiliki gaji bulanan tetapi gaji itu tidak mampu menampung keperluan diri dan keluarganya). Anak yatim tidak semuanya miskin kerana ada di kalangan mereka yang kaya atau berada, cuma tidak mempunyai bapa. Oleh kerana orang yang berhak menerima fidyah atau kaffarah hanyalah orang fakir/miskin sahaja, maka membayarnya kepada anak yatim tidak harus atas dasar keyatimannya semata-mata, tetapi hendaklah atas dasar kemiskinan/kefakirannya jika benar ia fakir/miskin.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 386.

KAFFARAH

Soalan; Ustaz, saya ingin bertanya apa hukum berjimak di bulan ramadhan dan kalau dikenakan kifarat macam mana saya hendak membayarnya. Contohnya memberi makan kepada 60 fakir miskin, macam mana hendak bagi makan.atau boleh kah saya kirim kan pada orang untuk beri makan pada orang miskin.

Jawapan;

Berjimak di siang hari di bulan Ramadhan adalah berdosa besar kerana ia akan merosakkan puasa yang diwajibkan Allah. Pelakunya bukan sahaja wajib menggantikan puasanya, tetapi dikenakan pula kaffarah di samping wajib bertaubat. Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Tatkala kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datang seorang lelaki lalu berkata kepada baginda; ‘Ya Rasulullah! Aku telah musnah’. Rasulullah bertanya kepadanya; ‘Apa yang telah berlaku padamu?’. Jawabnya; ‘Aku telah mensetubuhi isteriku semasa aku sedang berpuasa (Ramadhan)’. Lalu Rasulullah bertanya; ‘Adakah kamu memiliki seorang hamba untuk dibebaskan?’. Jawabnya; ‘Tidak ada’. Baginda bertanya lagi; ‘Mampukah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?’. Jawabnya; ‘Tidak’. Baginda bertanya lagi; ‘Adakah kamu boleh memberi makan 60 orang miskin?’. Jawabnya; ‘Tidak’. Lalu Rasulullah mengambil satu bekas berisi kurma dan memberi kepadanya sambil berkata; ‘Ambillah kurma ini dan sedekahkannya kepada fakir miskin’. Lelaki tersebut menjawab; ‘Apakah ada orang yang lebih fakir dariku, ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada di Madinah ini ahli rumah yang lebih fakir dari ahli rumahku’. Rasulullah tersenyum hingga nampak jelas giginya. Kemudian baginda berkata; ‘Berilah makan kurma itu kepada ahli rumahmu’. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Merujuk kepada hadis di atas, kaffarah yang dikenakan ke atas orang yang sengaja melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan terdiri dari;
1. Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita.
2. Berpuasa dua bulan berturut-turut.
3. Memberi makan 60 orang miskin.

Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Hanafi Syafi’ie dan Hanbali); kaffarah di atas bukanlah pilihan, akan tetapi ia wajib mengikut urutan, yakni jika seseorang itu mampu melakukan yang pertama (membebaskan hamba) maka itulah yang wajib atasnya. Jika tidak mampu yang pertama, barulah pergi kepada yang kedua dan seterusnya ketiga. Oleh kerana di zaman hari ini hamba sudah tidak ada lagi, maka yang tinggal hanyalah dua; puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin (jika tidak mampu berpuasa). Adapun menurut mazhab Imam Malik; kaffarah tersebut adalah pilihan, yakni tidak wajib mengikut urutan. Yang wajib ialah melakukan salah satu dari tiga tersebut. Jumhur ulamak berdalilkan hadis di atas. Adapun Imam Malik berdalilkan hadis yang lain dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; “Nabi s.a.w. telah memerintahkan seorang lelaki yang membatalkan puasanya di bulan Ramadhan agar membebaskan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin” (HR Imam Ahmad, Malik, Muslim dan Abu Daud). Dalam hadis ini, Abu Hurairah r.a. menggunakan kalimah “….atau...” dan kalimah ini memberi makna pilihan.

Menyentuh tentang memberi makan, ia sama seperti yang ditetapkan dalam fidyah, iaitu; menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki, Syafi’ie dan Ahmad); bagi seorang miskin kadar yang wajib diberikan ialah satu cupak makanan asasi tempatan. Di negara kita, makanan asasi itu tentunya beras. Mengikut ukuran hari ini, kadar satu cupak beras lebih kurang 650 gram. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah; kadar yang wajib diberikan ialah satu gantang (iaitu 2.6 KG beras) setiap seorang. Selain itu, Imam Abu Hanifah juga mengharuskan kaffarah dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu.

Adakah harus memberi makan 60 orang miskin itu diganti dengan memberi makan kepada seorang miskin sahaja selama 60 hari? Mazhab Imam Abu Hanifah mengharuskan. Namun jumhur ulamak tidak mengharuskannya, yakni menurut mereka; wajib merangkumi 60 orang miskin kerana itu yang termaktub di dalam hadis.

Sebagaimana harus kita mewakilkan kepada orang lain untuk mengagihkan zakat kita, maka sama juga dengan kaffarah; harus kita mewakilkan orang kepercayaan kita untuk menyampaikan kaffarah kita kepada orang miskin. Yang penting wang/harta untuk kaffarah itu datang dari kita.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 443-445.

CARA MANDI HADAS YANG SEMPURNA DAN MUDAH

Soalan; macam mana mandi hadas besar dgn betul, mudah dan mengikut sunnah nabi. blhkah kita menyentuh kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi? Saya was-was dal hal ini.

Jawapan;

Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya” (HR Imam Muslim).

Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;

1. Setelah membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.
2. Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3. Setelah itu ambil wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4. Kemudian mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala termasuk di celah-celah rambut.
5. Selesai bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.
6. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.
7. Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.
8. Ketika mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.

Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan membatalkan wudhuk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wudhuk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh kemaluan.

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.

PINTU TAUBAT SENTIASA TERBUKA

Soalan; saya ada seorang kawan. Dia pernah bercerita pada saya tentang masa silamnya yang mana dia penah dengan melakukan maksiat dengan teman wanitanya.Akan tetapi dia sudah bertaubat dan berjanji pada Allah yag dia tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.Akan tetapi apa yang saya dapat tahu dia kebelakangan ini dia melakukan kembali perbuatan itu.Apakah hukumnya ustaz? Dan bagaimana untuk menebus kembali janji yang dibuatnya itu?Adakah azab Allah akan menimpanya?Dan bagaimana untuk menebus kembali janji yang dibuatnya itu?Adakah ada peluang untuk dia kembali bertaubat?

Jawapan;

Pintu taubat sentiasa terbuka dan tidak pernah ditutup oleh Allah buat hamba-hambaNya hingga saat nyawa berada di kerongkong atau matahari terbit dari sebelah barat (kiamat). Jadi, jangan berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah. Sabda Nabi s.a.w.;

إن الله تعالى يبسط يده بالليل ليتوب مسيء النهار، ويبسط يده بالنهار ليتوب مسيء الليل، حتى تطلع الشمس من مغربها
“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya di waktu malam untuk orang yang melakukan kejahatan di siang hari bertaubat dan Dia membentangkan tanganNya di waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan di malam hari bertaubat, hinggalah munculnya matahari dari sebelah baratnya” (HR Imam Ahmad dan Imam Muslim dari Abu Musa r.a.).

Menurut ulamak; maksud membentang tanganNya dalam hadis di atas ialah; Allah meluaskan kurniaanNya dan memberi nikmatNya untuk hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Jadi, tangan di sini adalah simbolik kepada kurniaan dan pemberian, bukan tangan dengan makna yang biasa kita fahami. Kerana itu, setiap hamba Allah yang pernah melakukan dosa mesti merebut peluang ini untuk segera bertaubat kepada Allah, bukan menjadikannya alas an untuk menangguh-nangguhkan taubat. Dosa jika berterusan dilakukan –tanpa dibersihkan- akan mematikan hati, menjatuhkan maruah, menjauhkan diri dari Allah, mengundang bala di dunia dan azab di akhirat. Untuk mengetahui lebih lanjut kesan dari dosa, sila baca di; (http://nasihah-addin.blogspot.com/2008/07/19-akibat-dosa.html).

Sila baca "Bagaimana untuk istiqamah selepas taubat" (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/bagaimana-untuk-istiqamah-selepas.html).

Wallahu a’lam.