Minggu, 14 September 2008

WARNA KERUH DAN KUNING SEMASA HAID

Soalan; ust, Saya ada 1 kemusykilan berkaitan dengan kedudukan darah berwarna kuning dan keruh; Jika seseorang wanita yang kebiasanya datang haid dalam tempoh 5-6 hari. Selepas melahirkan anak beliau mendapati selepas hari ke-6 masih terdapat cecair berwarna kuning dan keruh, dan ianya berlarutan hinggalah hari ke-10. . . Persoalannya adakah warna keruh dan kuning keluar (diluar kebiasaan) itu masih dikira haid? apakah beliau boleh melaksanakan ibadah seperti wanita suci? Mohon penjelasan ustaz..Terima kasih.

Jawapan;

Warna kuning dan keruh yang dilihat dalam tempoh kebiasaan haid atau tempoh kemungkinan haid (iaitu 15 hari menurut mazhab Syafi’ie) adalah dikira haid. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab;

لا تَعْجَلَنَّ حتى ترين القَصَّة البيضاء
“Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari).

Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu
1. Hitam
2. Merah
3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
4. Kuning
5. Keruh
Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam). Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Saidatina Aisyah tadi) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Adapun jika warna kuning dan keruh itu dilihat setelah tempoh kemungkinan haid (iaitu dilihat setelah 15 hari), maka ia bukan lagi darah haid tetapi darah istihadhah. Ini kerana tempoh paling lama seorang wanita boleh kedatangan haid ialah 15 hari. Jika selepas 15 hari darahnya masih belum berhenti, maka darah yang selepas 15 hari itu bukan lagi darah haid tetapi darah istihadhah. Ia hendaklah mandi dan melakukan ibadah sepertimana wanita suci walaupun darah masih keluar dari farajnya dengan mematuhi hukum-hakam yang ditetapkan Syarak ke atas wanita istihadhah (sila baca di; http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/kencing-tak-lawas.html).

Begitu juga, bukan haid jika warna kuning atau keruh itu dilihat oleh seorang wanita dalam tempoh sucinya (yakni tempoh suci setelah habis haid, iaitu sekurang-kurangnya 15 hari). Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. (salah seorang wanita sahabat Nabi); “Kami (yakni wanita-wanita sahabat Nabi) tidak menghitung warna keruh dan juga kuning ketika suci sebagai suatu tanda haid” (HR Imam Bukhari dan Abu Daud). Kesimpulannya, warna kuning dan keruh hanya dianggap haid jika dilihat ketika dalam tempoh kebiasaan haid atau kemungkinan haid. Adapun dilihat semasa tempoh suci, ia bukanlah haid dan tidak harus meninggalkan solat atau puasa kerananya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab al-Haidh, bab al-Mustahadhah.
2. Bidayatul-Mujtahid, Imam Ibnu Ruysd, 1/73.
3. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 1/458.
4. Aunul-Ma’bud, Allamah Abi at-Tayyib, 1/331.
5. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/387-392.
5. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 77.
6. al-Haidh Wa an-Nifas, Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 34, 50-51.

AMALAN ORANG HIDUP UNTUK ORANG MATI

Soalan; ustaz, benarkah di bulan ramadhan , roh org muslim akan menziarahi sanak saudara mereka atau menziarahi tempat yg pernah mereka pergi? Adakah roh-roh sanak saudara yang meninggal dunia mengetahui jika kita menyedekahkan bacaan yassin atau surah al-fatihah kepada mereka? Sekian terima kasih.

Jawapan;

Menjadi prinsip di dalam Islam bahawa setiap perkara ghaib yang hendak diperkatakan (termasuk hal roh) wajib ada sandaran dari al-Quran atau hadis, tidak harus semata-mata anggapan atau cerita. Lebih bahaya lagi jika cerita itu diceduk dari kepecayaan agama lain. Oleh itu, benar atau tidak cerita tersebut (yakni roh-roh orang Islam pulang pada bulan Ramadhan) ia tertakluk kepada ada atau tidak ayat al-Quran atau al-Hadis yang memberitahunya. Jika ada wajib kita mempecayainya dan jika tidak ada, haram kita mempercayainya dan haram kita menyebarkannya. Jika ia datang dari hadis, wajib dipastikan hadis itu adalah soheh kerana para ulamak telah sepakat bahawa hadis dhaif/lemah tidak diterima hal-hal aqidah.

Mengenai persoalan “Adakah roh-roh sanak saudara yang meninggal dunia mengetahui jika kita menyedekahkan bacaan yassin atau surah al-fatihah kepada mereka”, perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

Pertama: pandangan dari ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Hambali dan golongan mutaakhirin dari mazhab Syafi’ie dan mazhab Maliki. Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir yang dibaca oleh orang hidup kepada si mati adalah sampai kepadanya dan memberi manfaat untuknya di dalam kubur.

Pandangan kedua: iaitulah padangan generasi awal (mutaqaddimin) ulamak-ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie (termasuk Imam Syafi'ie sendiri). Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir (serta semua ibadah-ibadah badaniyyah yang lain seperti sembahyang) tidak akan sampai kepada si mati. Pahalanya hanya untuk orang yang melakukannya sahaja, tidak akan sampai kepada si mati. Dalil mereka ialah firman Allah:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan terhadap apa yang diusahakannya”. (an-Najm: 38)

Untuk melihat dalil dan hujah kedua-dua pandangan, sila baca di blog Koleksi al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/amalan-orang-hidup-untuk-si-mati.html).

Wallahu a’lam.

WILADAH DAN NIFAS

Soalan; ustaz, saya ada beberapa pertanyaan yang memerlukan penjelasan.

1- Boleh tak ustaz jelaskan dengan terperinci perbezaan di antara darah wiladah dan darah nifas. Bagaimana pula jika seseorang itu melahirkan anak, dan semasa proses melahirkan anak, tidak ada darah yang keluar, 20 minit kemudian baru darah keluar. Adakah itu nifas atau wiladah.

2-Apakah hukum terhadap wanita hamil yang menanti saat kelahiran, keluar tanda lendir bercampur sedikit darah, ketika itu dia puasa, adakah batal puasanya? Adakah dia perlu solat? Sedangkan dia belum melahirkan anak lagi. Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Perkara ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Oleh itu, merujuk kepada soalan di atas; darah yang keluar setelah 20 minit kelahiran, tidak syak lagi darah itu adalah darah nifas.

Adapun darah yang keluar bersama dengan bayi (yakni semasa proses melahirkan anak), statusnya menjadi khilaf ulamak;
1. Menurut mazhab Syafi’ie; ia bukan darah nifas, akan tetapi darah penyakit. Mazhab Syafi’ie meletakkan syarat bagi darah nifas; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas.
2. Adapun bagi mazhab yang lain (Maliki dan Hanbali); ia telah dikira sebagai darah nifas, yakni bagi mereka apabila berlaku proses kelahiran, maka darah yang keluar telah dikira darah nifas sekalipun bayi belum sempurna keluar.

Mengenai darah yang keluar ketika saat-saat menanti kelahiran, ini juga menjadi khilaf di kalangan ulamak;
1. Menurut mazhab Syafi’ie; ia belum dikira sebagai darah nifas, akan tetapi dikira darah istihadhah (penyakit).[1] Oleh itu, wanita yang mengalaminya, puasanya masih sah (tidak batal) dan kewajipan solat juga tidak gugur darinya dengan dilakukan mengikut kemampuannya.
2. Menurut mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit adalah dikira darah nifas (yakni statusnya sama seperti darah yang keluar selepas bersalin). Maka mengikut mazhab Imam Ahmad ini; wanita yang terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya kerana wanita yang didatangi nifas tidak sah puasa dan solatnya.
3. Menurut mazhab Imam Malik; darah yang keluar sebelum bersalin, ia bukan darah nifas tetapi darah haid. Berdasarkan pandangan mazhab Imam Malik ini, wanita yang terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya bukan kerana nifas tetapi kerana haid.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Isami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/125.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 78.

Nota Kaki;

[1] Atau boleh juga dianggap darah haid jika ada tanda-tandanya. Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; wanita mengandung ada kemungkinan didatangi haid. Namun jumhur ulamak berpendapat; wanita mengandung tidak akan kedatangan haid dan darah yang keluar darinya secara mutlaknya adalah darah penyakit.