Selasa, 16 September 2008

MASALAH PUASA

Soalan; ustaz, berikut adalah persoalan saya mengenai puasa Ramadhan:
1. Bolehkah seseorang itu menitikkan ubat ke atas bibir mulutnya yang sakit(ulcer mulut) ketika berpuasa?
2. Bolehkah seseorang itu menggosok gigi menggunakan ubat (contoh ubat gigi mukmin) pada waktu pagi sebelum pergi bekerja?
3. Apakah batal puasa dan solat seseorang yang menelan air liurnya ketika menunaikan solat dalam waktu berpuasa?
4. Seorang yang mengidap gastrik sering meludah kerana katanya air liurnya kerap keluar dan rasanya agak masam/pahit. Apakah ia boleh menelannya dan air liur yang bagaimana tidak dibenarkan ditelan ketika berpuasa?
JazakAllah.

Jawapan;

1. Menitik ubat ke bibir adalah harus dengan syarat menjaganya jangan sampai tertelan. Jika tertelan, batallah puasa.

2. Menggunakan ubat gigi semasa sedang berpuasa adalah harus. Pada zaman Nabi s.a.w., kayu siwak yang digunakan juga mempunyai rasa dan jirim dan tidak ada ulamak melarangnya ke atas orang yang berpuasa. Namun, sebagaimana syarat di atas; hendaklah dijaga jangan sampai tertelan. Jika tertelah, batal puasa.

3. Menelan air liur tidaklah membatalkan puasa, begitu juga tidak membatalkan solat, kecualilah jika air liur itu bercampur dengan makanan. Jika air liur bercampur makanan, wajib lah diluahkan. Jika ditelan, batallah puasa.

4. Jika dirasai air liur ada bercampur dengan sesuatu sama ada yang datang dari luar atau datang dari dalam (seperti air/muntah yang terbit dari perut, kahak/gelema, darah dari gusi atau sebagainya), wajiblah diluahkan. Jika tidak bercampur sesuatu (yakni semata-mata air liur) tidak mengapa ditelan.

Wallahu a’lam.

HAID DATANG SEMULA SELEPAS 13 HARI

Soalan; ustaz, saya ada satu kemusykilan; sebelum ni saya telah datang haid selama 10 hari namun selepas 13hari saya dapati ada darah berwarna hitam dan sedikit...persoalannya mgikut kitaran haid yg normal adalah 28 hari..dalam hal saya kitaran haid baru 23 hari...adakah ia dikira darah haid? saya musykil untuk meneruskan puasa..mohon penjelasan ustaz..

Jawapan;

Tempoh suci paling pendek ialah 15 hari. Sekiranya setelah suci dari haid datang semula darah sebelum genap tempoh suci 15 hari, maka darah yang datang itu dikira istihadhah. Puan/saudari hendaklah menunaikan solat dan berpuasa sebagaimana biasa. Adapun jika darah itu berterusan hingga melepasi hari ke 15 (yakni masuk hari ke 16 dan seterusnya), maka yang melepasi hari ke 15 itu barulah boleh dianggap haid.

Wallahu a'lam.

CARA MEMERIKSA HABIS HAID

Soalan; ustaz, setelah diyakini haid sudah berhenti..sy trs mandi wajib..tetapi slps mandi...hari keesokannya haid msh keluar lagi...bagaimana status ibadah sy waktu itu? dan bagaimana menentukan waktu terbaik untuk mandi wajib..sebelum ini, sy memastikan selepas 2 waktu sembahyang haid tidak keluar..sy akan mandi wajib selepas itu..bantulah saya..

Jawapan;

Ibadah yang dilakukan ketika masih ada haid itu tidak sah. Walau bagaimanapun puan/saudari tidak lah berdosa kerana melakukan ibadah ketika haid kerana hal tersebut bukan disengajakan, tetapi kerana sangkaan bahawa haid telah habis. Jika puan/saudari berpuasa semasa masih ada darah haid itu, puasa puan/saudari terbatal dengan sendirinya sebaik menyedari darah haid masih ada.

Adapun bagaimana caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis; apabila puan/saudari merasakan darah haid puan/saudari habis; lakukan pemeriksaan terhadap faraj terlebih dahulu sebelum mandi, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah puan/saudari mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, janganlah puan mandi lagi kerana darah haid belum habis. Kaedah ini diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Haidh Wa an-Nifas, Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 39.