Minggu, 21 September 2008

LAILATUL-QADAR

Soalan; ust, boleh tak berikan huraian tentang mlm lailatul qadar, masa berlaku mengikut qaul yg rajih dikalangan ulama termasuk ulama muasir, sekurang-kurang ibadah utk layak mdpt lailatulqadar, tanda-tanda dan pengalaman salafussoleh dlm bertemu mlm lailatulqadar.

Jawapan;

Allah menjelaskan di dalam al-Quran (bermaksud); "Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan" (al-Qadar: 3).

Menurut ulamak dan ahli-ahli Tafsir; maksud ayat ini ialah; beramal di malam al-Qadar (lailatul-Qadar) lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya (Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr). Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Imam Mujahid menceritakan; “Di kalangan Bani Israel zaman dahulu terdapat seorang lelaki yang beribadah di malam hari hingga ke subuh dan di siangnya ia berjihad melawan musuh Allah hingga ke petang. Terus-menerus amalan itu ia lakukan selama 1000 bulan. Lalu Allah menurutkan ayat (bermaksud); “Malam al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (surah al-Qadar). Ayat ini bermaksud; bangun beribadah pada malam tersebut (yakni Lailatul-Qadar) lebih baik dari amalan lelaki tersebut” (Riwayat Imam Ibnu Jarir. Lihat; Tafsir a-Tabari). Berkata Sufyan as-Sauri; “Telah sampai kepadaku dari Mujahid yang berkata; ‘Lailatul-Qadar lebih baik dari 1000 bulan’, maknanya ialah; beramal di dalamnya, yakni berpuasa pada siangnya dan bangun beribadah pada malamnya lebih baik dari seribu bulan” (Riwayat Ibnu Jarir)

Jadi, yang penting bagi kita untuk mendapat kelebihan Lailatul-Qadar ialah dengan beramal pada malam tersebut, bukan hanya menunggu untuk melihat tanda-tandanya sahaja (tanpa beramal). Untuk mendapat kelebihan malam al-Qadar tidaklah susah. Semua orang Islam berpeluang mendapatnya. Jika seorang muslim melakukan terawih setiap malam di sepanjang Ramadhan (dari malam pertama hingga malam ke 30), sudah pasti salah satu dari terawihnya akan jatuh pada malam al-Qadar.

Menurut ulama’, sekurang-kurangnya qiyam lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana malam di dalam Islam bermula dari maghrib dan berterusan hingga ke fajar (subuh). Malah khusus bagi Lailatul-Qadar , Allah berfirman (bermaksud); Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar” (al-Qadar, ayat 5). Selain itu, terdapat hadis dari Nabi s.a.w. menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam”. (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)

Namun yang paling sempurna ialah dengan kita beribadah di keseluruhan malam atau sebahagian besarnya sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.. Saidatina ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Mengenai soalan “masa berlakunya lailatu-Qadar”, bermacam-macam pandangan dari ulamak; sebahagian berkata; malam 17, sebahagian yang lain pula; malam 19, ada yang berkata; malam 23, ada yang malam 27 dan sebagainya. Tidak ada kesepakatan antara ulamak tentang harinya secara tepat. Namun yang pasti –berdasarkan hadis-hadis Nabi s..a.w- Lailatul-Qadar itu terdapat dalam lingkungan 10 malam terakhir Ramadhan khususnya pada malam-malam ganjilnya. Sabda Nabi s.a.w.;

“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.).

“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Saidina Umar r.a. telah menghimpunkan sahabat-sahabat Nabi r.a. dan bertanya mereka tentang Lailatul-Qadar. Mereka semua bersepakat bahawa malam itu berada dalam lingkangan 10 malam terakhir Ramadhan (HR Imam at-Thabrani).

Adapun tanda-tanda zahir yang dapat dilihat pada malam tersebut dan pada siangnya, sabda Nabi s.a.w; “Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan” (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Hadis ini menurut as-Suyuti; hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7728).

Berkata Imam al-Minawi; “Para ulamak menjelaskan; Tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda (Lailatul-Qadar) ia tidak mendapat malam tersebut. Barangkali seorang yang bangun pada malam Lailatul-Qadar itu ia tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah dari orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadah pada malam itu)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 7728).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. At-Tajul Jami’ Lil-Ushul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80.
2. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir, surah al-Qadar.
3. al-Asas Fi at-Tafasir, Syeikh Said Hawa, surah al-Qadar.
4. Faidhul-Qadier; syarh al-Jami' as-Saghier, Imam al-Minawi.

KHILAF ULAMAK DALAM MASALAH BERSENTUHAN LELAKI DAN PEREMPUAN

Soalan; Suami & isteri,adakah batal wudhu' apabila bersentuhan?Apa yg dipelajari dari sekolah hukumnya batal.Pendapat lain yg saya tahu,hukumnya tidak batal kerana terdapat sirah Nabi s.a.w yg menunjukkan baginda mencium isteri beliau tiap kali hendak keluar solat berjemaah di masjid & Nabi tidak mengambil wudhu' semula. Minta penjelasan.. Jazakallahu khair..

Jawapan;

Berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram (yakni yang harus dikahwini) membatalkan wudhuk berdalilkan firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”.

Menurut mazhab Syafi’ie, semata-mata berlakunya sentuhan dan tanpa berlapik, akan batallah wudhuk sama ada sentuhan dengan syahwat atau tidak. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, bersentuhan tidak membatalkan wudhuk kecuali yang membabitkan alat kemaluan (yakni zakar dan faraj) iaitulah bersetubuh. Adapun semata-mata bersentuhan tidaklah membatalkan wudhuk. Mengikut mazhab Imam Ahmad dan Malik pula; bersentuhan antara lelaki dan perempuan hanya membatalkan wudhuk jika dengan merasai kelazatan atau dengan maksud merasai kelazatan. Adapun bersentuhan semata-mata tidaklah membatalkan wudhuk.

Perbezaan pandangan ulamak di atas berlaku berpunca dari perbezaan mereka dalam mentafsirkan ungkapan “أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء” (atau kamu bersentuhan dengan perempuan) dalam ayat di atas. Menurut Imam Syafi’ie, ia bermaksud bersentuhan secara mutlaknya. Imam Abu Hanifah pula mentafsir ayat ini dengan pandangan Ibnu Abbas yang berkata; maksud ayat di atas ialah jimak (persetubuhan). Imam Malik dan Ahmad pula mentafsir ayat di atas dengan sentuhan yang disertai syahwat. Pandangan mereka disokong oleh hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mencium isteri-isterinya, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ahmad dan at-Tirmizi. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; Misykat al-Masabih, hadis no. 323). Hadis ini menunjukkan bahawa sentuhan biasa tidaklah membatalkan wudhuk. Jika tidak, sudah tentu Nabi akan mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat selepas mencium isteri-isterinya tadi.

Wallahu a’lam.