Senin, 22 September 2008

CIRI TETAP DAN ANJAL DALAM ISLAM

Soalan; ustaz. Saya mempunyai satu soalan. apakah yang dimaksudkan dengan tetap dan anjal dalam Islam. Aspek manakah yang mempunyai ciri tersebut?boleh ustaz terangkan secara terperinci mengenai persoalan ini.sekian terima kasih.

Jawapan;

Islam dijadikan Allah dengan sifat kukuh dan dinamik. Kukuh kerana ia bertunjang di atas asas-asas yang tetap, kekal dan tidak berubah bila-bila pun, iaitu yang menyentuh tentang;
a) Matlamat dan tujuannya
b) Usul-usul dan prinsip-prinsip amnya
c) Nilai-nilai keagamaan dan akhlaknya

Dinamik kerana di samping bersifat tsabat (tetap dan kekal) tadi, Islam juga bersifat anjal (murunah), iaitu dalam hal yang berkait dengan;
a) Cara dan jalan untuk mencapai matlamat dan tujuannya
b) Cabang-cabang dan ranting-ranting bagi usul-usul dan prinsip-prinsip amnya
c) Urusan-urusan keduniaan, ‘uruf dan adapt

Untuk huraian lebih lanjut sila baca di Blog Koleksi al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/islam-kukuh-dan-dinamik.html). Blog ini tidak sesuai untuk dimuatkan artikel panjang.

Wallahu a’lam.

ZAKAT FITRAH ORANG BERADA DI LUAR NEGARA

Soalan; Ustaz. Persoalan saya adalah : Skrg saya sekeluarga berada di Perth Australia, semenjak 23hb Feb 2008 dan insya Allah akan berada disini selama 3-4 tahun sehingga isteri saya menamatkan pengajian.
Berkenaan dengan pembayaran Zakat Fitrah ini, bolehkah saya membayar melalui internet ( ie Pusat Zakat, MBB2u etc ) dan berapakah kadar yg sepatutnya saya bayar? Adakah bergantung kepada kadar yg ditetapkan oleh Islamic Organization / Center di Perth ini atau boleh dibayar kadar seperti di Malaysia atau mungkin kena dikira secara 'pro-rata'kan bergantung kepada jumlah hari/bulan saya menetap di Malaysia dan di Perth ini?
Bagaimanakah situasinya dan kadarnya sekiranya saya bercadang utk berada & beraya di Malaysia (dan pada ketika itu saya belum lagi menbayar Zakat Fitrah).
Harap Ustaz tidak keberatan utk memperjelaskan dan terima-kasih. Wassalam.

Jawapan;

Zakat fitrah adalah zakat diri. Oleh ia hendaklah dikeluarkan di tempat di mana diri kita akan berada semasa terbenam matahari hari terakhir Ramadhan (yakni bermula malam pertama Syawal) iaitulah waktu sebenar bagi kewajipan mengeluarkan zakat fitrah menurut mazhab Syafi’ie, Ahmad dan beberapa ulamak yang lain.[1] Jadi, jika saudara bercadang untuk berhari raya di Malaysia di mana sebelum atau semasa terbenam matahari itu saudara jangka akan berada di Malaysia, maka hendaklah saudara membayar zakat fitrah di Malaysia. Dan jika saudara akan beraya di Australia, hendaklah saudara membayar zakat fitrah di sana. Dikecualikan jika saudara mendapati ada ahli keluarga yang miskin di Malaysia atau ada orang yang lebih berhajat di Malaysia yang lebih memerlukan zakat saudara, maka ketika itu haruslah saudara memindahkan zakat ke Malaysia sekalipun saudara berada di Australia. Begitu juga, harus saudara memindahkan zakat dari Malaysia ke tempat lain jika ada orang yang lebih berhajat di tempat itu walaupun saudara berada di Malaysia. Kadar zakat pula hendaklah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama di tempat saudara mengeluarkan zakat.

Mengenai hukum membayar zakat secara online (internet banking) telah saya jelaskan sebelum ini. Sila baca di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/zakat-secara-online-internet-banking.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Mu’asharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1/135.
2. az-Zakah, Syeikh Abdullah ‘Ali al-Abhar, hlm. 72.
3. Fiqh az-Zakah, Syeikh Abdur-Razzaq Nasir Muhammad, hlm 212.

Nota Kaki;

[1] Walaupun waktu wajib adalah di penghujung Ramadhan (iaitu apabila terbenam matahari di hari terakhir Ramadhan), namun zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut. Ketetapan waktu bagi mengeluarkan zakat fitrah mengikut menurut mazhab Syafi’ie adalah seperti berikut;
1. Waktu wajib : iaitu dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.
2. Waktu harus : iaitu sebaik sahaja masuknya bulan Ramadhan dan berterusan hingga ke hari raya (sebelum terbenamnya matahari). Jadi, sepanjang bulan Ramadhan –menurut mazhab Syafi’ie- adalah waktu yang diharuskan untuk kita membayar zakat fitrah.
3. Waktu sunat ; iaitu pada pagi hari raya sesudah sembahyang subuh dan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya atau sebelum solat hari raya didirikan.
4. Waktu makruh; iaitu mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat aidil-fitri tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.
5. Waktu haram; iaitu melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

BAITIL-MAQDIS

Soalan; ustaz, saya ada kemusykilan iaitu seorang rakan non muslim saya bertanya mengapa Baitul Muqaddis (Jerusalem) di anggap bandar suci bagi umat Islam? Harap ustaz dapat memberi penjelasan lanjut agar saya dapat menjelaskan dengan kawan tersebut.
sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Ia adalah Kiblat pertama kaum muslimin. Sebelum di arah mengadap ke Kaabah, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menunaikan solat lima waktu di Madinah dengan mengadap ke arah Baitil-Maqdis. Menurut cerita al-Barra’ (salah seorang sahabat Nabi s.a.w.); “Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya menunaikan solat mengadap ke arah Baitil-Maqdis selama lebih kurang 16 atau 17 bulan” (Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 142)

2. Kemudian, setelah tidak lagi mengadap ke arah Baitil-Maqdis, Rasulullah s.a.w. tetap menganggapnya sebagai masjid utama, iaitu yang kedua utama selepas Masidil-Haram. Ini dapat diperhatikan pada kelebihan solat di situ di mana baginda bersabda;

صلاة في المسجد الحرام مائة ألف صلاة، وصلاة في مسجدي ألف صلاة، وفي بيت المقدس خمسمائة صلاة
“Menunaikan solat di Masjidil-Haram menyamai 100 ribu solat (di masjid yang lain). Solat di masjidku menyamai 1 ribu solat. Solat di Baitil-Maqdis menyamai 500 ribu solat” (HR al-Baihaqi dari Jabir r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanad hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5109)

3. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda;

لا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: مسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا، وَمسْجِدِ الأَقصَى
“Janganlah mengembara (semata-mata untuk menunaikan solat di suatu masjid) melainkan ke tiga masjid sahaja; Masjidil-Haram, Masjid ku ini (yakni masjid Nabawi di Madinah) dan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita mengembara bukan sahaja ke Masjidil-Haram dan Masjidnya, tetapi juga ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Namun pengembaraan ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) tidak dapat kaum muslimin lakukan hari ini kerana dikuasai Yahudi.

Menurut ulamak; kelebihan Masjidil-Haram adalah kerana di situ dilakukan ibadah haji dan di situ juga terletak qiblat. Kelebihan masjid Nabi ialah kerana ia di atas atas takwa dan kelebihan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) kerana ia adalah qiblat umat-umat terdahulu. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9802).

4. Ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi s.a.w. tidak terus naik ke langit dari Mekah, akan tetapi baginda di bawa terlebih dahulu ke Palestin dan memasuki Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Perjalanan dari Mekah ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) ini bukan hanya diceritakan oleh sejarah, tetapi direkodkan oleh Allah di dalam al-Quran. Sila baca; surah al-Isra’, ayat 1. Ini menunjukkan bahawa Palestin (termasuk Baitil-Maqdis) adalah milik umat Islam. Bumi ini adalah warisan dari para Nabi yang diamanahkan kepada Nabi Muhammad dan umat baginda.

5. Dakwaan orang Yahudi bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin adalah bohong dan palsu. Penduduk asal Palestin ialah bangsa pribumi Palstin sendiri yang berketurunan Kan’an yang mendiami di situ sejak 4500 tahun lalu. Bangsa Palestin ini terus tinggal di situ hinggalah apabila datangnya Islam, majoriti mereka telah memeluk Islam dan menjadi Bahasa Arab sebagai bahasa utama kerana pengaruh Islam.

6. Bangsa Yahudi hanya pernah memerintah bumi Palestin iaitu selama 4 kurun; dari tahun 1000 hinga 586 S.M.. Setelah itu, kerajaan mereka dihancurkan empayar Assyria, Fir’aun, Greek dan Roman. Mereka lari keluar dari Palestin. Adapun penduduk asal palestin terus tinggal di situ. Kemudian, bermula tahun 636M pemerintahan Palestin dipegang oleh umat Islam secara terus menerus (selama lebih kurang 1200 tahun, iaitu hingga 1917). Hakikatnya, dari segi sejarah hubungan Yahudi dan Palestin telah sekian lama terputus iaitu lebih 2000 tahun. Hinggalah pada pertengahan kurun ke 20 (tahun 1946), mereka merampas Palestin dari penduduk Palestin dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu dan mengasaskan Negara Haram Israel.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir.
2. Faidhul-Qadier; syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam al-Minawi.
3. Konflik Palestin & Israel, Maszlee Malik.

BEKERJA DI SYARIKAT PERCETAKAN

Soalan; saya .....,kerja di kilang percetakan di pj, selangor.kilang ini mencetak dan menghasilkan karton dan kotak rokok. selain itu kilang ni juga cetak dan buat label untuk tin susu F&N,dan lain2 lagi. Ia juga mencetak dan membuat label untuk tin atau botol arak Tiger.apa hukum saya bekerja di sana?

Jawapan;

Jika saudara dapat mencari kerja yang lain yang bersih dari sebarang syubhah, itulah yang lebih baik. Jika tidak ada, kerjalah di situ sementara mendapat kerja lain. Pendapatan saudara tidaklah haram kerana saudara tidaklah memperoleh pendapatan dengan melakukan yang haram. Cuma, terdapat syubhah kerana syarikat saudara terlibat membantu yang haram. Seorang muslim, antara sifatnya ialah membenci perkara yang diharamkan Allah sama maksiat, dosa atau munkar. Firman Allah; "Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertaqwalah kepada Allah…” (al-Maidah; 2)

Wallahu a’lam.