Soalan; ustaz, apakah perbezaan solat dalam kenderaan dan solat hormat waktu. Saya sering keluar negara dengan menaiki kapalterbang dan saya bersolat ketika saya yakin waktu solat telah masuk dengan cara duduk di atas tempat duduk penumpang (mengikut arah perjalanan kapal terbang). Selalunya saya buat secara jamak & qasar. Saya berpendapat yang saya dalam keuzuran dan tidak mampu melakukan solat secara sempurna. Tetapi saya terbaca dalam satu artikel bahawa sembahyang seperti itu cuma dikira sebagai solat menghormati waktu yang mana solat itu perlu dilakukan semula setelah perjalanan selesai. Jika demikian adakah saya perlu saya meng'qada' semua solat itu semua?Sekian, terima kasih.
Jawapan;
Orang berada di atas kapal laut, kapal terbang, keretapi dan sebagainya, jika ia dapat turun atau berhenti, wajiblah ia turun atau berhenti untuk menunaikan solat. Jika tidak, hendaklah ia menunaikan solat di atas kenderaan-kenderaan itu jika dibimbangi akan habis waktu jika ditunggu hingga sampai ke destinasi. Semasa mengerjakan solat itu, jika ia dapat/mampu berdiri wajiblah ia berdiri. Jika tidak mampu –kerana takut terjatuh, tenggelam, loya, tiada ruang untuk berdiri atau sebagainya, harus ia melakukannya sambil duduk. Bagi kiblat pula, jika ia dapat mengadap ke arah kiblat, wajiblah ia mengadap ke arahnya. Jika di tengah solat, kapal/kenderaan beralih dari arah kiblat, dimaafkan. Jika ia tidak mampu mengadap ke arah kiblat, hendaklah ia mengadap ke arah mana yang boleh. Begitu juga dengan rukun-rukun yang lain, hendaklah dilakukan mengikut kemampuan. Di dalam kaedah fiqh ada ditegaskan al-Masyaqqah tajlibu at-Taisir (kepayahan akan mendapat kemudahan), yakni orang yang dalam kepayahan diberi kemudahan atau kelonggaran oleh Syarak. Dalil bagi kelonggaran tersebut ialah beberapa hadis Nabi s.a.w., antaranya;
1. Sabda Nabi s.a.w.; “Hendaklah kamu tunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan duduk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan isyarat” (HR Imam al-Bukhari dari ‘Imran bin Hushain r.a.)
2. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang lelaki; “Bagaimana hendak saya tunaikan solat di dalam perahu/kapal laut?”. Baginda menjawab; “Tunaikan dengan berdiri kecuali jika kamu bimbang akan tenggelam” (HR Imam ad-Daruqutni dan al-Hakim. Menurut al-Baihaqi; hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5009).
Adakah solat yang dilakukan dengan rukhsah (yakni dengan mengambil kemudahan dan kelongaran) tadi perlu diulangi semula? Jawapannya; tidak perlu. Ibadah yang wajib, jika telah dilaksanakan mengikut yang termampu dilakukan (walaupun dengan meninggalkan sebahagian syarat atau rukunnya kerana tidak berupaya dilakukan, bukan kerana sengaja untuk bermain-main atau mempermudah-mudahkan agama), sahlah ibadah itu dan tidak perlu lagi diulangi. Inilah pandangan Imam al-Muzani (seorang murid terkenal Imam Syafi’ie)[1] dan di sokong oleh Imam an-Nawawi kerana menurut beliau; pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah berfirman; “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (at-Taghabun; 16). Dan Nabi s.a.w. pula bersabda; “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Jadi berdasarkan pandangan Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang dikatakan solat hormat waktu (yakni solat yang dilakukan semata-mata untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat) kerana solat yang dilakukan dengan rukhsah itu telahpun sah dan dikira oleh Syarak kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 322.
Nota kaki;
[1] Khusus mengenai solat fardhu, Imam al-Muzani berkata; “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib diulangi semula”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum).
Wanita adalah sumber mata air terpenting yang mengalirkan ketenangan, kebahagian, dan Kelembutan, diciptakan dengan keindahan dan tampil sebagai makhluk terindah
Kamis, 16 Oktober 2008
WAKTU MULA PUASA DAN BERBUKA
Soalan; saya menemui artikel ini di internet. boleh ustaz jelaskan.
"Quran mengajar umat Islam berpuasa dari permulaan waktu fajar hingga masuk waktu malam. Akan tetapi mereka yang menuruti ajaran ulama berpuasa dari waktu subuh hingga ke waktu maghrib. Kedua-dua waktu ini dengan sebutan namanya saja menunjukkan kelainan dengan waktu fajar dan malam seperti yang diajar oleh Tuhan. dengan itu, puasa bermula pada waktu fajar dan berakhir kira-kira 15 - 20 minit selepas masuk waktu "maghrib" iaitu apabila sudah gelap malam (lail). Contoh puasa sunat rekaan ulama adalah "puasa enam" pada bulan Syawal".
terima kasih
Jawapan;
Kalau tidak silap saya, pandangan tersebut terbit dari Syiah atau golongan anti hadis. Dari sudut ilmu, pandangan itu jelas batil. Ketetapan waktu puasa yang bermula dari waktu mula subuh hingga terbenam matahari bukan mengikut ajaran ulamak –sebagaimana di dakwa itu- tetapi mengikut petunjuk hadis Nabi s.a.w..
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Janganlah berhenti dari bersahur kerana mendengar azan Bilal kerana ia melaung azan ketika masih malam. Teruskan makan dan minum hinggalah kamu mendengar azan Ibnu Ummi Maktum kerana ia tidak melaungkan azan melainkan setelah terbit fajar (yakni tiba subuh)”. Kita dapat memahami dengan amat jelas dari hadis ini bahawa puasa bermula apabila terbitnya fajar yang menunjukkan masuknya waktu solat subuh. Fajar itu dinamakan fajar sodiq, yakni fajar yang kedua. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa fajar ada dua; pertama, fajar kazib dan kedua, fajar sodiq. Fajar kedua yang menandakan masuknya waktu subuh. Fajar inilah yang dimaksudkan oleh Nabi dengan azan Ibnu Ummi Maktum kerana azan tidak dilaungkan oleh Ibnu Ummi Maktum itu melainkan sebagai pemberitahuan masuknya waktu subuh dan pada waktu itulah disuruh oleh Nabi kita berpuasa.
Mengenai waktu berbuka pula, Nabi s.a.w. bersabda; “Apabila malam telah tiba dari sana (yakni dari sebelah timur) dan siang telah berlalu dari sana (yakni dari sebelah barat) dan matahari telah terbenam, maka orang berpuasa sudah benar-benar (boleh) berbuka” (HR al-Bukhari dan Muslim dari Umar r.a.). Jelas dari hadis ini bahawa waktu berbuka ialah sebaik sahaja terbenam matahari. Malah kita disuruh segera berbuka (iaitu sebaik sahaja matahari terbenam) tanpa menunggu lagi. Anas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. berbuka dengan beberapa butir tamar basar sebelum baginda menunaikan solat maghrib. Jika tidak ada tamar basah, baginda berbuka dengan tamar kering. Jika tidak ada sebarang tamar, baginda berbuka dengan meminum beberapa teguk air” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh). Jadi, menetapkan waktu berbuka 15 atau 20 selepas terbenam matahari bercanggah dengan sunnah Nabi –sama ada sunnah qauliyah atau sunnah fi’liyah-.
Lebih batil lagi ialah anggapan puasa 6 merupakan rekaan ulamak, walhal terdapat hadis yang jelas dari Nabi s.a.w. yang bersabda; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.).
Semoga Allah menyelamatkan kita dari golongan kebatilan yang cuba menyesatkan ummah dan manusia.