Senin, 17 November 2008

MAKNA TOMANINAH

Soalan; ustaz,saya ingin bertanyakan tentang tomaninah ustaz.boleh ustaz tolong jelaskan lebih teperin ci apakah itu tomaninah.?

Jawapan;

Tomaninah bermakna memastikan diri tetap, tenang dan tidak tergesa-gesa dalam sesuatu posisi solat sebelum berpindah ke posisi yang lain. Dalam pengertian lain; tomaninah ialah memastikan anggota-anggota badan yang terbabit berada tetap dalam posisinya sebelum berpindah ke rukun yang lain. Contohnya; tomaninah ketika sujud ialah dengan memastikan angota-angota sujud iaitu dahi (beserta hidung bagi sebahagian ulamak), dua tangan, dua lulut dan dua kaki (yakni hujung-hujung jarinya) berada tetap di atas lantai sebelum bangkit dari sujud itu. Sekurang-kurang kadar masa bagi tomaninah ialah kadar masa sekali tasbih. Hukum tomaninah adalah wajib semasa ruku’, I’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Sabda Nabi s.a.w. (tatkala baginda mengajar solat kepada seorang lelaki yang salah dalam mengerjakan solatnya); “…..kemudian (setelah membaca al-Quran) ruku’lah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan ruku’ itu, kemudian bangkitlah dari ruku’ hingga badan kamu lurus/tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud itu, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk (antara dua sujud) itu. Seterusnya kamu lakukanlah sedemikian pada (rakaat-rakaat) solat kamu keseluruhannya” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak sah solat seorang lelaki yang tidak menetapkan tulang sulbinya semasa ruku’ dan sujud” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Mas’ud al-Badari r.a.. Hadis ini menurut beliau; hasan soheh).

Berkata Imam al-Harrani; “Penyebab paling banyak bagi kerosakan solat kebanyakan orang ialah kerana mereka mengambil mudah dalam mempelajari ilmu tentang tomaninah dan dalam melaksanakannya semasa melakukan rukun-rukun solat” (Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 1040).

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 154 dan 1040.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 163.

BILA WAJIB TUNAI NAZAR?

Soalan; Soalan saya;
1: Berapa lamakah nazar perlu disempurnakan selepas hajat diperkenankan?
2: Apakah syarat2 untuk menukar bayaran nazar kepada sama nilai?
Huraian kes: Saya pernah bernazar dengan jelas apa yg perlu saya tunaikan sekiranya hajat saya tercapai iaitu:
1. Bayaran tambahan kepada tukang urut sebanyak RM50 (telah ditunaikan)
2. Belanja makan kepada kawan yg recommend tukang urut
3. Sedekah kepada madjid tertentu (nama masjid dirahsiakan)
4. Hasil tambah perkara ke-2 dan ke-3 ialah RMXXX. Bermakna, jika belanja makan bersamaan RM100, maka saya akan sedekahkan kepada masjid tersebut sebanyak RMXXX - RM100.
Beberapa bulan selepas berubat, sakit tu semakin sembuh. Jadi saya pun bayar laa tambahan RM50 kepada tukang urut. Tapi disebabkan kesempitan wang, saya tangguh dulu perlaksanaan perkara 2 dan 3.
Sekarang ekonomi dah stabil balik tetapi saya agak keberatan (tidak selesa) utk menunaikan perkara ke-2 disebabkan hubungan kami tidak laa terlalu rapat (ada laa kes). Jadi bolehkah saya mengabaikan perkara ke-2 dan terus menyedekahkan kesemua bahagian RMXXX kepada masjid tersebut? Bukanlah mustahil utk menyempurnakan perkara ke-2 cuma saya kurang selesa. Saya pernah dengar yg kita boleh menukar bayaran nazar dengan benda yg sama nilai.

Jawapan;

1. Bila wajib ditunaikan nazar bergantung kepada kandungan nazar saudara. Jika saudara kaitkan nazar saudara dengan hari atau tarikh tertentu, maka wajiblah saudara tunaikan pada hari tersebut. Jika saudara bernazar secara umum tanpa mengaitkannya dengan hari atau tarikh tertentu, maka masa untuk saudara tunaikan nazar itu ialah seumur hidup (yakni hendaklah saudara tunaikannya sebelum kematian saudara). Namun demikian, menyegerakannya adalah disunatkan sebagaimana disunatkan menyegerakan ibadah sebaik sahaja masuk waktunya.

2. Nazar hendaklah ditunaikan mengikut sebagaimana yang dinazarkan selagi ia tidak bercanggah dengan Syarak. Jika tidak dapat ditunaikan barulah berpindah kepada yang lain yang setara atau yang lebih baik dari yang dinazarkan.

Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya menceritakan; seorang wanita berkata kepada Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah, aku bernazar untuk menyembelih binatang di tempat sekian sekian di mana tempat itu dahulunya orang jahiliyah menyembelih di situ”. Rasulullah bertanya; “Adakah menyembelih untuk berhala?”. Ia menjawab; “Tidak”. Kata Nabi; “Jika begitu, tunaikanlah nazar kamu (di situ)”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

Dalam menunaikan kewajipan, ketepikan kepentingan atau perasaan peribadi, sebaliknya fokuskan kepada melaksanakan kewajipan itu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/512.
2. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 8/152.
3. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 2/374.

MASALAH KHATAN DAN NIFAS

Soalan; Saya ada soalan berkaitan dengan berkhatan dan nifas.
1)Apakah hukum berkhatan keatas kaum perempuan dan bilakah waktu/umur yang sesuai melaksanakannya?Seperti bayi perempuan baru lahir pada usia berapa yang sesuai berkhatan?Bagaimana pula dengan saudara baru?
2)Bagaimana dengan solat yang ditinggalkan perempuan ketika dalam nifas?Perlukah mereka menggantikan solat tersebut selepas suci dari nifas sepertimana menggantikan puasa dibulan ramadhan?
Terima kasih....

Jawapan;

1. Hukum berkhatan bagi wanita telah saya jawab sebelum ini. Sila baca di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/hukum-berkhitan-atau-bersunat-bagi-anak.html). Mengenai waktu berkhatan, jumhur (majoriti) ulamak berpandangan; tidaklah ditetapkan waktu tertentu dan tidaklah wajib berkhatan semasa kecil. Ini kerana Nabi Ibrahim sendiri berkhatan ketika berumur 80 tahun (Riwayat Imam al-Bukhari). Namun jika seorang bayi dapat dikhatankan ketika masih kecil itulah yang paling baik. Paling baik lagi ialah dikhatankan ketika umurnya tujuh hari kerana Rasulullah s.a.w. mengkhatankan dua cucunya al-Hasan dan al-Husain ketika usia mereka tujuh hari (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari 'Aisyah r.a.). Apapun bergantunglah kepada keadaan bayi dan nasihat doktor. Adapun saudara baru, jika berkhatan itu tidak mendatangkan kesukaran eloklah berkhatan kerana ia adalah fitrah (sunnah). Namun jika mendatangkan kesukaran baginya tidak mengapa jika ia tidak berkhatan kerana menurut jumhur ulamak; hukum berkhatan adalah sunat sahaja.

2. Solat yang ditinggalkan oleh wanita semasa ia kedatangan haid dan nifas tidak dituntut oleh Syarak (Allah dan Rasul) untuk diqadha' (diganti). Hukum ini telah ijmak (disepakati) oleh ulamak berdalilkan hadis dari Mu’azah yang menceritakan; aku bertanya Aisyah; kenapakah wanita yang haid wajib mengqadha puasa tetapi tidak wajib mengqadha solat. Aisyah menjawab; adakah kamu wanita Haruriyah (Khawarij)? Aku menjawab; aku bukan Haruriyah, akan tetapi sekadar bertanya. Aisyah menjawab; kami kedatangan haid (pada zaman Nabi s.a.w.) lalu kami disuruh mengqadha puasa, tetapi tidak disuruh mengqadha solat. (Riwayat Imam Muslim). Walaupun hadis ini menyentuh tentang haid, tetapi para ulamak telah mensepakati bahawa hukum nifas sama seperti hukum haid.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 21-22.

SOLAT MUSAFIR KETIKA BALIK KAMPUNG

Soalan; ust. saya ada 1 soalan.1. saya kerja di K.L dan balik kg di kelantan. saya cuti beberapa hari dikelantan boleh tak saya jamak sembahyang.

Jawapan;

Jika saudara telah bermastautin (yakni tinggal menetap) di Kuala Lumpur, haruslah saudara melakukan solat musafir (jamak dan qasar) apabila saudara keluar bermusafir dari tempat tinggal saudara itu jika jaraknya melebihi jarak yang mengharuskan solat musafir iaitu dua marhalah (atau 85-90km) mengikut jumhur ulamak. Untuk keterangan lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/jarak-untuk-harus-solat-qasar-dan-jamak.html), (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/tempoh-harus-solat-musafir.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/10/solat-musafir-ketika-balik-kampung.html).

Wallahu a'lam.