Selasa, 25 November 2008

ADAKAH MEREKA SYAHID?

Soalan; Dah hampir 3 minggu cerita tentang hukumam mati Imam Samuder, Amrozi dan Muklaz.... dari pengamatan saya melalui laman web, mencari cerita tentang mereka... kematian meraka.... ditanggisi oleh ratusan ribu umat islam islam Indonesia... tanda2 kematian meraka memang seperti mati syahid seperti yang diceritakan oleh meraka...1. Apakah mereka syahid dan jalan perjuagan yang mereka ambil itu betul pada pandangan Islam?2. Mufti Perlis tidak bersetuju jalan mereka ambil....dan malah megambil CONTOH yahudi dalam membangun.... mereka tidak megebom... dan megambil contoh kekuatan ekonomi yahudi jalan yang sepatutnya diambil.... saya cukup tidak puas hati dengan kenyataan beliau Dlm berita Astro Awani, tanpa ambil kira sensitiviti umat Islam. Apa pandangan Ustz?

Jawapan;

1. Sebutan syahid yang diberikan oleh kaum muslimin kepada mana-mana tokoh (seperti asy-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Syahid Sayyid Qutb dan sebagainya) hanyalah sebagai doa untuk mereka, yakni semoga Allah mengurniakan syahid untuk mereka memandangkan jasa mereka yang sanggup mengorbankan nyawa untuk agama Allah. Sebutan itu bukanlah suatu kepastian dari kita, kerana kita tidak mengetahui realiti yang sebenarnya di alam sana. Kita hanya berhukum berdasarkan apa yang zahir, adapun yang tersembunyi hanya Allah mengetahuinya. Para Nabi dan Rasul mereka semua telah pasti menjadi ahli syurga kerana diberitahu Allah kepada kita. Begitu juga, sahabat-sahabat yang dijamin syurga (telah diberitahu oleh Nabi tentang mereka). Adapun manusia-manusia lain, tidak ada nas yang menjamin mereka sebagai ahli syurga. Kerana itu sebarang pujian atau panggilan yang baik untuk mereka hanyalah berupa doa dan harapan, bukan suatu kepastian.[1]

2. Merujuk kepada amalan pengeboman berani mati, para ulamak masih berbahas tentangnya. Ada yang menyetujuinya dan yang tidak menyetujuinya. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi (dan ulamak-ulamak lain yang sependapat dengannya), amalan itu hanya harus bagi situasi terdesak di mana tidak ada cara lain lagi untuk umat Islam mempertahankan diri, keluarga dan tanah air melainkan cara itu. Kerana itu beliau menyokong amalan pengeboman berani mati yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Palestin secara khususnya. Beliau mengistilahkan amalan tersebut sebagainya Istisyhadiyah (mencari syahid).

3. Kalau mengikut hukum Islam, sekalipun dalam situasi peperangan diharamkan tentera-tentera Islam membunuh orang awam (yang tidak terlibat sebagai ahli perang atau tentera), kanak-kanak, ahli-ahli ibadat, memusnahkan pokok-pokok, bangunan-bangunan kediaman kecuali jika terpaksa dilakukan. Hukum ini perlu diambil kira oleh kaum muslimin.

4. Orang yang telah meninggal, urusan mereka terserah kepada Allah. Kita yang masih tinggal di dunia, jika kita merasakan mereka ada jasa pada kita dan umat Islam, maka berdoalah kepada Allah agar Allah menerima amalan dan jasa mereka semasa hayat mereka di dunia.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, juz. 9, bab La Yaqulu Fulan Syahid.

Nota kaki;

[1] Terdapat riwayat menceritakan bahawa Umar r.a. pernah menegur di dalam khutbahnya; “Kamu sekelian selalu berkata semasa peperangan bahawa “Si Fulan adalah syahid” dan “Si Fulan telah mati sebagai seorang syahid”…Janganlah sekali-kali kamu berkata seperti itu, akan tetapi ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan Rasulullah s.a.w.;
مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ
“Sesiapa yang gugur di jalan Allah atau terbunh (di jalan Allah), maka dia adalah syahid”.
(Hadis hasan, riwayat Imam Ahmad. Lihat; Fathul-Bari, juz. 9, bab La Yaqul Fulan Syahid).

MEMBAYAR ZAKAT KEPADA ADIK-BERADIK DAN KEPADA ISTERI

Soalan; ust, saya ada dua soalan:
1- Bolehkah bayar zakat kepada sanak saudara yang hampir seperti adik beradik sendiri?
2- Bolehkah ister bayar zakat kepada suami atau sebaliknya?

Jawapan;

Menurut pandangan yang paling masyhur di kalangan ulamak; orang-orang yang wajib kita menanggung nafkah mereka, tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka. Menurut mazhab Syafi’ie; orang-orang yang wajib dinafkahi terdiri dari;
1. Zuriat kita; merangkumi anak, cucu dan cicit.
2. Asal kita; merangkumi bapa, ibu, datuk, nenek dan sebagainya
3. Isteri

Ahli-ahli keluarga di atas tidak harus kita memberi zakat kepada mereka. Adapun ahli-ahli keluarga yang lain yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka seperti saudara-saudara (yakni adik, abang atau kakak), bapa saudara, ibu saudara, anak saudara dan sebagainya harus kita memberi zakat kita kepada mereka dengan syarat mereka termasuk dalam lapan golongan yang layak terima zakat. Sila baca juga jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/zakat-kepada-adik-beradik-yang.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/bayar-zakat-kepada-ibubapa.html).

Adapun seorang wanita memberi zakat kepada suaminya (yang fakir atau miskin), terdapat tiga pandangan dari ulamak;

1. Menurut mazhab Syafi’ie, Ibnu al-Munzir dan as-Sauri; harus kerana isteri tidak wajib menanggung nafkah suaminya. Malah pahala yang ia perolehi dengan memberi zakat kepada suami lebih besar dari ia memberinya kepada orang lain berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; “Zainab isteri Ibnu Mas’ud r.a. datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Wahai Nabi Allah, engkau telah memerintahkan hari ini agar kami bersedekah. Aku mempunyai satu perhiasan milikku, maka aku ingin bersedekah dengannya’. Ibnu Mas’ud (suaminya) mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia dan anaknya paling layak untuk memberi sedekah isterinya itu. Lalu Nabi berkata kepada Zainab; “Benarlah Ibnu Mas’id. Suami kamu dan anak kamu lebih berhak dengan sedekah kamu itu”. (HR Imam al-Bukhari).

2. Imam Abu Hanifah berpandangan; tidak harus kerana besar kemungkinan zakat itu akan kembali kepadanya apabila suaminya menggunakan wang zakat itu untuk membeli makanan, pakaian atau sebagainya lagi dari perbelanjaan keluarga. Berkenaan hadis tadi, Imam Abu Hanifah menganggap sedekah yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah sedekah sunat, bukan zakat yang diwajib.

3. Menurut kebanyakan ulamak mazhab Maliki pula; membayar zakat kepada suami adalah makruh.

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/512.
2. Fiqh az-Zakah, Syeikh ‘Abdurrazzaq Nashir Muhammad, hlm. 150.

HUKUM KENDURI BERSUNAT

Soalan; ustad, saya ingin melakukan majlis berkhatan untuk dua orang anak lelaki saya yang berusia 6 dan 4 tahun pada akhir tahun ini, adakah kita diwajibkan buat kenduri. Jika ya saya ingin tahu bila kenduri tu harus dibuat sebelum atau hari keberapa khatan? Saya juga tidak pasti adat atau cara untuk kita melakukan khatan tolong terangkan pada saya ustad.

Jawapan;

Melakukan kenduri sempena khatan anak tidaklah wajib. Menurut mazhab Syafi'ie; semua jenis kenduri -selain kenduri kahwin- hukumnya sunat sahaja, tidak wajib. Adapun hukum kenduri kahwin, terdapat khilaf di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi'ie sendiri; ada yang kata wajib dan ada yang kata sunat sahaja. Yang rajih ialah sunat.

Hukum memenuhi jemputan kenduri pula; bagi kenduri kahwin hukumnya adalah wajib. Adapun kenduri-kenduri yang lain, hukum sunat sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, hlm. 374.