Rabu, 18 Maret 2009

DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN

Soalan: Assalamualaikum ustaz.Saya ada satu persoalan.Apakah pandangan Islam berkaitan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan?



Jawapan ;



Diantara benda yang dilarang keras oleh Islam memakan atau mengambilnya ialah al-mukhaddirat iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan khayal atau tidak sedarkan diri seperti dadah, candu (opium), ganja, pil-pil khayal dan sebagainya. Larangan ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada aqal dan badan serta boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit dan kesan-kesan negatif yang lain.[1]

Semua jenis bahan yang mengkhayalkan di atas diharamkan oleh Syara’ dalam apa saja bentuk atau cara pengambilannya (sama ada melalui suntikan, menghisap, meminum dan sebagainya). Pengharamannya termasuk dalam hukum benda-benda yang memabukkan (المسكرات) yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya tadi iaitu;

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ ، وَ كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ

“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)[2]

Saidina Umar r.a. tatkala menjelas tentang hakikat khamar (arak) yang diharamkan Syara’, beliau menyatakan;

اَلْخَمْرُ مَاْ خَاْمَرَ الْعَقْلَ

“Khamar itu ialah semua bahan yang dapat menutupi aqal”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)[3]

Dalam kitab Subulussalam, pengarangnya iaitu Imam As-Sonani menjelaskan; “Dan diharamkan apa yang boleh memabukkan dari apa jenis sekalipun, walaupun ia bukan dari minuman, contohnya ialah al-hasyisyah (ganja)”.[4]

Terdapat riwayat dari isteri Nabi s.a.w. iaitu Ummu Salamah r.a. yang menyatakan;

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ مُفْتِرٍ

“Rasulullah s.a.w. menegah daripada semua yang memabukkan lagi melemahkan”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Menurut Imam al-Khathabi; maksud al-Mufthir dalam hadis ini ialah segala jenis minuman yang boleh melesukan dan melemahkan anggota badan. Imam al-‘Iraqi dan Ibnu Taimiah telah menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ (sepakat) atas haramnya al-hasyisyah (sejenis tumbuhan yang memabukkan) dan sesiapa yang menganggapnya halal adalah kafir.[5]

Berkata Imam Ibnul-Qayyim dalam kitabnya “زاد المعاد”; “Sesungguhnya pengharaman khamar tergolong di dalam pengertiannya setiap yang boleh memabukkan (menghilangkan aqal) sama ada ianya cair atau pejal, perahan atau dimasak….”.[6]



Wallahualam




[1] Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusof al-Qardhawi, hlm. 76-77 dan al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 84.

[2] Bulughul Maram, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, bab Haddu asy-Syarib wa bayan al-muskir, hadis no. 1160.

[3] Al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusof al-Qaradhawi, hlm. 72.

[4] Subulussalam, Imam Muhammad Ibn. Ismail an-Son’ani, jil. 4, hlm. 46.

[5] Subulussalam, Imam Muhammad Ibn. Ismail an-Son’ani, jil. 4, hlm. 46.

[6] Zadul Ma’ad, Imam Ibnul Qayyim al-Jauziah, jil. 5, hlm. 747.

NAZAR

Soalan:salam ustaz.
saya ada soalan yang hendak ditanyakan pada ustaz ni saya pernah bernazar jika saya dapt kerja saya akan berhenti merokok namun saya hanya dapat bertahan selama setahun je.
jadi dalam masa selepas 2 saya merokok semula.apa hukumnya ustaz dan apa yang saya perlu lakukan.

Jawapan:

Yang dikatakan nazar ialah; mewajibkan ke atas diri suatu amalan taqarrub ilallah (yakni amalan mendekatkan diri kepada Allah) yang mana amalan itu status asalnya adalah sunat, kemudian diwajibkan oleh seseorang ke atas dirinya dengan bernazar. Suatu yang telah wajib tidak boleh dinazarkan kerana ia sememangnya mesti dilakukan sekalipun tidak dinazarkan. Cthnya; bernazar untuk melakukan solat lima waktu atau bernazar untuk meninggalkan zina. Nazar tersebut adalah tidak sah kerana mengerjakan solat dan meninggalkan zina sememangnya telah wajib dari awal lagi.
Para ulamak rata-rata telah memfatwakan bahawa merokok adalah haram. Kerana itu saudara wajib berusaha meninggalkannya sekalipun tanpa bernazar. Melihat kepada hukum di atas, nazar saudara untuk meninggalkan rokok itu adalah tidak sah kerana saudara bernazar sesuatu yang wajib saudara lakukan.
Menurut ulamak; seorang yang bernazar dan nazarnya tidak sah, dia hendaklah menggantikan nazarnya itu dengan membayar kifarat sumpah kerana Nabi s.a.w. bersabda; "Kifarat bagi nazar adalah sama seperti kifarat bagi sumpah". Untuk mengetahui tentang kifarat sumpah, sila baca di dalam blog saya (ilmudanulamak.blogspot.com) dan gunakan enjin carian dengan menaip "sumpah" atau "nazar".
Wallahu a'lam.