Rabu, 05 Agustus 2009

TANDA LAILATUL-QADAR

Soalan;

Assalamualaikom..benarkah malam lailatul qadar boleh dilihat tandanya?

Jawapan;

Antara tanda-tanda zahir yang dapat dilihat pada malam al-Qadar (Lailatul-Qadar) dan pada siangnya ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya; “Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan” (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Hadis ini menurut as-Suyuti; hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7728).

Namun para ulamak menjelaskan; Tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda (Lailatul-Qadar) ia tidak mendapat malam tersebut. Barangkali seorang yang bangun pada malam Lailatul-Qadar itu ia tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah dari orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadah pada malam itu)” (Lihat; Faidhul-Qadier, Imam al-Minawi, syarah hadis no. 7728).

Wallahu a'lam.

MENUNTUT BAYARAN HUTANG

Soalan;

Saya telah membantu seorang kawan membayar hutangnya. Adakah harus saya meminta dari beliau supaya membayar kembali kepada saya?

Sekian. Terima kasih.

Jawapan;

Menurut kaedah yang ditetapkan ulamak; “Sesiapa melaksanakan kewajipan bagi pihak orang lain dengan niat akan menuntut darinya, harus ia menuntutnya”. Contohnya, seorang yang membantu memberi belanja/nafkah kepada anak orang lain (dengan nafkah/belanja yang diperlukannya) dengan niat akan menuntut kembali dari bapa atau penjaganya, harus ia menuntutnya. Begitu juga, seorang yang membantu membayar hutang orang lain (dan berniat menuntutnya kembali).

Secara amnya, orang yang membantu untuk melaksanakan kewajipan bagi pihak orang lain ada dalam tiga kategori;
1. Ia membantu dengan niat untuk menuntut kembali. Harus ia menuntut kembali.
2. Ia membantu dengan niat sedekah atau pemberian (yakni tanpa niat akan menuntut kembali). Tidak harus ia menuntut kembali selepas itu.
3. Ia membantu tanpa sebarang niat di atas (iaitu tanpa niat untuk menuntut kembali, tidak juga dengan niat sedekah atau hibah). Ia juga tidak harus menuntut kembali.

Kesimpulannya, menuntut kembali hanya harus bagi satu kadaan sahaja dari tiga keadaan di atas iaitu jika disertai dengan niat menuntut.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Qawa’id Wa al-Ushul al-Jami’ah, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, hlm. 148.