Kamis, 03 Juni 2010

VAKSIN DARI HAIWAN

Soalan; assalamualaikum ustaz, baru-baru ini kita di gemparkan dengan berita penemuan sepisis cicak gergasi di kepulauan borneo yang berharga jutaan ringgit yang mana reptilia tersebut dikatakan digunakan untuk membuat vaksin penyakit HIV dan Anti Tumor. Soalan saya ialah apa hukum orang Islam menggunakan vaksin tersebut?

Jawapan;

Islam tidak membenarkan penganutnya untuk memasukkan sebarang bahan ke dalam tubuh mereka (sama ada minuman, makanan, ubat-ubatan atau sebagainya) melainkan yang halal dan bersih (tidak najis). Khusus berkenaan ubat-ubatan, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (bermaksud); “Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan penyakit dan ubat. Ia menjadikan untuk setiap penyakit ada ubatnya. Maka hendaklah kamu sekelian berubat. Tetapi janganlah berubat dengan bahan yang haram” (HR Abu Daud dari Abi Dardak –radhiyallahu ‘anhu-). Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu- berkata; “Allah tidak menjadikan penyembuhan untuk kamu pada bahan yang Ia haramkan ke atas kamu” (HR Imam al-Bukhari). Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- berkata; “Rasulullah menegah ubat yang kotor/keji” (HR Imam Ahmad, Muslim, Ibnu Majah dan at-Tirmizi –rahimahumullah-).

Imam as-Syaukani mengulas; ungkapan Rasulullah “…janganlah berubat dengan bahan yang haram”, memberi pengertian; tidak harus berubat dengan bahan yang diharamkan Allah dari jenis-jenis najis dan juga bahan-bahan lain yang diharamkan sekalipun yang bukan najis. (Nailul-Autar). Dari ungkapan “…menegah ubat yang kotor/keji”, beliau mengulas; nyata dari ungkapan ini bahawa diharamkan berubat dengan segala bahan yang kotor/keji. (Nailul-Autar).

Memahami kenyataan Syarak dan Fiqh di atas, kita dapat memutuskan bahawa; penggunaan vaksin yang terkandung di dalamnya bahan yang haram atau dihasilkan dari bahan-bahan yang haram adalah dilarang oleh Islam. Vaksin tersebut haram disuntik ke dalam tubuh orang Islam. Ini merangkumi vaksin yang dibuat dari babi atau binatang-binatang lain yang tidak halal dimakan. Menurut mazhab Imam as-Syafi’ie; jenis-jenis binatang yang haram dimakan ialah;
1. Anjing dan babi.
2. Binatang-binatang buas dari jenis pemangsa iaitu yang mempunyai taring yang kuat yang digunakan untuk memburu, menerkam dan membunuh mangsanya seperti anjing, singa, serigala, kucing, harimau, musang, memerang dan sebagainya.
3. Burung-burung dari jenis yang mempunyai kuku yang kuat yang digunakan untuk menerkam dan mencederakan mangsanya seperti burung helang, burung nasar, burung rajawali dan sebagainya.
4. Binatang-binatang yang hidup dua alam seperti katak, ular, buaya, penyu, labi-labi dan sebagainya.
5. Binatang-binatang kecil yang merangkak atau melata di atas tanah seperti kala, kumbang, cicak, labah-labah, mengkarung, cacing, ulat, lintah, lipan dan sebagainya.
6. Serangga-serangga seperti semut, lebah, tebuan dan sebagainya.
7. Haiwan-haiwan yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. membunuhnya iaitu kala jengking, burung helang, tikus, burung gagak dan anjing buas. (Lihat Bulughul Maram, hadis no. 685, bab al-Ihram)
8. Haiwan-haiwan yang dilarang membunuhnya iaitu semut, lebah, burung hud-hud, burung suradi dan katak. (Lihat Bulughul Maram, bab al-Ath’imah, hadis no. 1229 dan 1236)
(al-Iqna’, Kifayatul Akhyar, al-Fiqhul Manhaji dan Furu’ al-Masail)

Ubat (termasuk vaksin) yang dibuat dari binatang-binatang tersebut adalah haram dimakan oleh orang-orang Islam dan haram disuntik ke dalam tubuh mereka. Kecualilah dalam keadaan darurat (terpaksa) di mana belum ada ubat/vaksin lain yang menggantikannya dan penggunaannya tidak dapat dielakkan untuk mencegah penyakit yang merbahaya yang boleh membawa maut atau mencederakan tubuh, atau untuk mengubati penyakit di mana tanpanya pesakit boleh maut atau rosak anggota atau menderita sakit yang tidak tertahan. Pada ketika itu haruslah digunakan atas dasar darurat. Dan pada masa yang sama, para saintis Islam hendaklah berusaha mencari alternative kepada ubat tersebut dari bahan yang halal kerana umat Islam tidak harus dibiarkan berterusan menggunakan bahan-bahan yang haram atas alasan darurat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani.
2. Fatwa Syeikh Solih al-Munajjid (islamqa.com)
3. Fatwa Islam Online (http://www.islamweb.net. Fatwa no;96527)
4. Perniagaan Produk Halal, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
5. al-Fatawa at-Thibbiyyah al-Mu’ashirah, Dr. Abdurrahman bin Ahmad al-Jar’ie.

AURAT PEMBANTU RUMAH DI HADAPAN MAJIKAN

Soalan; assalamualaikum ust. Bolehkah ust jelaskan bagaimana aurat seorang pembantu rumah wanita apabila berdepan dengan majikannya (lelaki) kerana pembantu rumah tersebut biasa melakukan kerja-kerja rumah dihadapan majikannya seperti membasuh pinggan dan menyapu/mop lantai dan sebagainya. Bolehkah ia membuka lengannya dan betisnya di hadapan majikannya kerana keperluan pekerjaannya itu?

Jawapan;

Seorang wanita Islam wajib menutup tubuhnya dari dilihat oleh lelaki yang tiada hubungan mahram dengannya iaitu yang dipanggil lelaki-lelaki ajnabi tidak kira sama ada lelaki itu majikannya atau orang lain. Dikecualikan anggota-anggota tertentu yang dibenarkan oleh Syarak untuk didedahkan, iaitu;
1) Muka dan tangan (hingga pergelangan tangan sahaja); mengikut pandangan jumhur ulamak.
2) Muka, tangan (hingga pergelangan tangan) dan dua kaki; mengikut pandangan Imam Abu Hanifah.
3) Muka, tangan (hingga tengah lengan) dan dua kaki; mengikut pandangan Imam Abu Yusuf (anak murid Imam Abu Hanifah).

Keharusan mendedahkan muka dan tangan adalah berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan; “Suatu hari Asma’ anak saidina Abu Bakar masuk untuk berjumpa Nabi s.a.w.. Kebetulan ketika itu ia memakai pakaian yang nipis (yang menampakkan bayangan kulitnya). Nabi s.a.w. lalu memalingkan pandangan darinya sambil bersabda (maksudnya): “Wahai Asma’, seorang wanita apabila telah datang haidh (yakni telah sampai umur baligh) tidak harus dilihat dari badannya melainkan ini dan ini sahaja”, sambil baginda menunjukkan kepada muka dan dua tangannya” (HR Imam Abu Daud).

Di dalam Tafsir al-Munir ada dinyatakan; “Diriwayatkan dari Imam Abu Hanifah bahawa ia berkata; Dua kaki juga tidaklah aurat kerana kesukaran untuk menutupnya adalah lebih kuat dari kesukaran menutup dua tangan terutama bagi penduduk kawasan pertanian. Dan diriwayatkan dari Imam Abu Yusuf; Dua lengan juga tidak aurat kerana untuk menutup keduanya terdapat kepayahan/kesukaran. (Tafsir al-Munir, Surah an-Nur)

Imam at-Thabari dalam tafsirnya ada menyebutkan dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang meriwayatkan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk ia mendedahkan tubuhnya kecuali mukanya dan dua tangannya hingga ke sini sambil baginda menggenggam tengah lengannya”. (Dinaqal dari Tafsir al-Qurtubi, surah an-Nur).

Perlu diambil perhatian bahawa; keharusan mendedahkan muka, tangan dan kaki itu ialah jika tidak dikhutiri menimbulkan fitnah. Jika tidak, wajiblah ditutup juga.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
2. al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Imam al-Qurtubi.

MENGGALI CERITA TENTANG GUNUNG MENANGIS TAKUT TERGOLONG BATU NERAKA

Pada suatu hari Uqa’il bin Abi Thalib telah pergi bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW.Pada waktu itu Uqa’il telah melihat berita ajaib yang menjadikan tetapi hatinya tetap bertambah kuat di dalam Islam dengan sebab tiga perkara tersebut. Peristiwa pertama adalah, bahwa Rasulullah SAW akan mendatangi hajat yakni mebuang air besar dan d hadapannya terdapat beberapa batang pohon. Maka baginda SAW berkata kepada Uqa’il,“Hai Uqa’il teruslah engkau berjalan sampai ke pohon itu, dan katakanlah kepadanya, bahwa sesungguhnya Rasulullah berkata; Agar kamu semua datang kepadanya untuk menjadi aling-aling atau penutup baginya, karena sesungguhnya baginda akan mengambil air wuduk dan buang air besar.”

Uqa’il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon-pohon itu dan sebelum dia menyelesaikan tugas itu ternyata po hon-pohon sudah tumbang dari akarnya serta sudah mengelilingi di sekitar baginda SAW selesai dari hajatnya. Maka Uqa’il kembali ke tempat pohon-pohon itu.

Peristiwa kedua adalah, bahawa Uqa’il berasa haus dan setelah mencari air ke mana pun juga, namun tidak di temui. Maka baginda SAW berkata kepada Uqa’il bin Abi Thalib, “Hai Uqa’il, dakilah gunung itu, dan sampaikanlah salamku kepadanya serta katakan, “Jika padamu ada air, berilah aku minum!”

Uqa’il lalu pergilah mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan baginda itu. Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dengan fasihnya,“Katakanlah kepada Rasulullah, bahwa aku sejak Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud : (”Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta ke luargamu dari (siksa) api neraka yang umpannya dari manusia dan batu).” “Aku menangis dari sebab takut kalau aku menjadi batu itu maka tidak ada lagi air padaku.”

Peristiwa yang ketiga ialah, bahwa ketika Uqa’il sedang berjalan dengan Nabi, tiba-tiba ada seekor unta yang meloncat dan lari ke hadapan Rasulullah, maka unta itu lalu berkata,“Ya Rasulullah, aku minta perlindungan darimu.” Unta masih belum selesai mengadukan halnya, tiba-tiba datanglah dari belakang seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus. Melihat orang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus. Melihat orang Arab kampung itu, Nabi Muhammad SAW berkata,“Hendak kamu apakan kamu terhadap unta itu ?”

Jawab orang kampungan itu,“Wahai Rasulullah, aku telah membelinya dengan harta yang mahal ,tetapi dia tidak mau taat atau tidak mau jinak, maka akan kupotong saja dan akan kumanfaatkan dagingnya (kuberikan kepada orang-orang yang memerlukan).”Rasulullah SAW bertanya,“Mengapa engkau mendurhakai dia ?”Jawab unta itu, “Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak menderhakainya dari satu pekerjaan, akan tetapi aku mendurhakainya dari sebab perbuatannya yang buruk.. Karena kabilah yang dia termasuk di dalam golongannya, semua tidur meninggal kan solat Isya’. Kalau sekiranya dia mau berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isay’ itu, maka aku berjanji tidak akan mendurhakainya lagi. Sebab aku takut kalau Allah menurunkan siksa-Nya kepada mereka sedang aku berada di antara mereka.”
Akhirnya Nabi Muhammad SAW mengambil perjanjian orang Arab kampung itu, bahwa dia tidak akan meninggalkan solat Isya’. Dan baginda Nabi Muhammad SAW me nyerahkan unta itu kepadanya. Dan dia pun kembali kepada keluarganya.