Kamis, 01 Juli 2010

GINCU BIBIR DAN PUASA

Soalan; Assalamualaikum, terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu yang dapat saya manfaatkan. di sini saya ada sedikit kemusykilan. adakah benar pemakaian gincu akan menyebabkan puasa terbatal? bagaimana sekiranya menyapu pelembab bibir? terima kasih.

Jawapan;

1. Dari segi puasa, memakai gincu atau pelembab bibir tidaklah membatalkan puasa jika dapat dijaga jangan sampai bahan dari gincu itu bercampur dengan air liur dan tertelan ke dalam kerongkong. Hukumnya sama seperti menggunakan ubat gigi ketika sedang berpuasa. Jika bahan dari ubat gigi tidak masuk ke dalam kerongkong (yakni kita menggosok gigi dengan menjaga jangan sampai tertelan bahan dari ubat gigi itu) tidaklah membatalkan puasa kita.

2. Dari segi hukum berhias, tidak harus wanita Islam memakai gincu bibir yang terlalu menonjol warnanya yang menarik perhatian lelaki kepadanya. Itu termasuk dalam tabarruj yang dilarang agama. Sebaiknya gincu bibir berwarna hanya dipakai isteri untuk suami sahaja di rumah. Adapun yang sederhana yang sekadar mengekalkan warna asal bibir atau untuk melembabkan bibir sahaja, insya Allah diharuskan.

3. Satu lagi perlu dingatkan; bahan-bahan solekan yang digunakan (sama ada losyen, gincu, bedak muka dan sebagainya) wajib dipastikan ia bersih dan suci, iaitu bebas dari bahan-bahan najis seperti lemak babi, gelatin haiwan yang syubhah dan sebagainya. Di samping hendaklah dipastikan juga tidak mendatang mudarat kepada kulit atau badan kerana setiap yang memudaratkan adalah dilarang dalam Islam.

Wallahu a'lam.

WANITA MENGANDUNG DAN GERHANA BULAN

Soalan; Assalamualaikum, Apa pandangan ustaz berkenaan pantang larang melihat gerhana bulan semasa mengandung? Terima kasih.

Jawapan;

Jika pantang larang itu dikait dengan agama, wajib ke atas orang yang mendakwanya untuk membawa dalil dari al-Quran atau as-Sunnah. Jika dikaitkan dengan suatu alasan saintifik, logik atau sebagainya, ia perlulah mengemukakan pandangan mana-mana saintis yang dipercayai. Jika tidak dikaitkan dengan mana-mana darinya (yakni tiada hujah agama dan tiada pula hujah saintifik), dibimbangi ia hanyalah khurafat semata-mata. Kepercayaan khurafat wajib dijauhi umat Islam kerana ia menjadi jambatan kepada syirik dan kerosakan aqidah.

Pada zaman Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- pernah berlaku gerhana bulan pada hari yang sama berlaku kematian anak baginda bernama Ibrahim. Di kalangan sahabat ada yang cuba mengaitkan berlakunya gerhana bulan itu adalah kerana turut sedih atas kematian anak baginda. Lalu baginda bersabda membetulkan anggapan mereka;

إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله، لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته، فإذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينجلي
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah salah satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana lahirnya seseorang. Maka apabila kamu melihat berlakunya gerhana, berdoalah kepada Allah dan tunaikanlah solat hingga matahari/bulan terang kembali”. (HR Imam al-Bukhari dari al-Mughirah bin Syu’bah –radhiyallahu ‘anhu-).

Wallahu a'lam.

BERI MODAL DENGAN UNTUNG TETAP

Soalan; assalamualaikum,kwn sy memerlukan modal dari sy untuk perniagaan setiap bulan dia akan bg keuntungan pada sy rm 100 blh ustaz jelaskan hukumnya.

Jawapan;

Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap tanpa tertakluk dengan untung-rugi (yakni dalam apa-apa keadaan sekalipun pihak pemodal dijamin keuntungannya walaupun syarikat atau orang yang menguruskan modal mengalami kerugian), pelaburan sebegitu ditegah oleh Syarak kerana ia berkonsepkan riba. Dalam konsep riba, pemberi wang (yakni pemberi pinjaman) dalam apa keadaan sekalipun akan memperolehi wangnya berserta faedah/keuntungan yang ditetapkan tanpa tertakluk dengan untung-rugi pihak yang meminjam. Adapun konsep pelaburan dalam Islam adalah berdasarkan kaedah "al-Ghunmu bil-Ghurmi" (Keuntungan adalah bersama risiko). Maksudnya kedua-dua pihak (yakni pemodal dan pengurus) hendaklah sanggup untuk berkongsi risiko sebagaimana mereka sanggup berkongsi untung/faedah. Dalam bahasa lain; untung sama-sama untung dan rugi sama-sama rugi (pemodal mendapat untung kerana sumbangan modalnya, pengurus pula mendapat untung kerana kerja atau pengurusannya. Jika rugi, pemodal menanggung kerugian dari modalnya, pengurus pula menanggung kerugian dari masa dan kerjanya).

Selain itu, andaikan perniagaan hanya mendapat untung dengan jumlah yang ditetapkan itu sahaja, maka keseluruhannya akan dapat kepada pemodal. Akan berlakulah kezaliman kepada pengurus kerana ia tidak dapat apa-apa sedangkan ia telah berpenat dengan kerja dan pengurusannya. Dalam kes saudara, andaikan kawan saudara hanya mendapat untung dari perniagaannya RM100 sahaja (pada suatu bulan), sudah tentu keseluruhan untung untuk akan dapat kepada saudara, maka saudara telah menzaliminya.

Penetapan keuntungan yang menepati kaedah pelaburan Islam ialah secara peratusan atau nisbah. Tidak semestinya peratusan yang sama antara pemodal dan pengurus (yakni 50%-50%), akan tetapi bergantung kepada kesepakatan bersama seperti 70%-30% (iaitu 70 untuk pengurus, 30 untuk pemodal atau sebaliknya).

Satu lagi kaedah pemodalan dalam Islam yang digalakkan oleh al-Quran ialah al-Qardul-Hasan ialah memberi pinjaman tanpa faedah. Mengikut kaedah ini, saudara memberi modal kepada kawan saudara itu untuk perniagaannya tanpa mengharapkan keuntungan di dunia, tetapi mengharapkan keuntungan di akhirat iaitu pahala yang dijanjikan Allah kepada orang yang membantu saudaranya seagama. Namun hendaklah pemberian pinjaman itu diikat dengan perjanjian secara bertulis sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam surah al-Baqarah (ayat 282).

Wallahu a'lam.