Jumat, 02 Juli 2010

BAYI YANG DISUSUI ANAK SAUDARA

Soalan; assalamualaikum ustaz.saya ada mengambil anak angkat lelaki yang kini berusia 5 bulan. saya telah mencuba pelbagai cara untuk menyusukan anak angkat saya tetapi tidak berhasil. semasa saya mengambil anak angkat kebetulan anak saudara saya melahirkan anak. saya telah meminta anak saudara menyusukan anak angkat saya melebihi 5 kali kenyang. Adakah anak angkat menjadi mahram saya dan tidak batal air sembahyang antara kami. sekian, terima kasih.

Jawapan;

Bayi tersebut menjadi cucu saudara puan kerana susuan. Antara puan dengan beliau mempunyai ikatan mahram kerana susuan sama seperti ikatan antara puan dengan cucu-cucu saudara puan yang lain (yang sabit kerana nasab/keturunan). Harus puan membuka aurat di hadapannya sebagaimana yang diharuskan sesama mahram, harus puan tinggal serumah dengannya, harus bersalaman dengannya, bermusafir dengannya dan sebagainya lagi yang diharuskan antara sesama mahram.

Wallahu a'lam.

BAYI YANG DISUSUI OLEH KAKAK

Soalan; salam, ustaz, saya ingin bertanya berkenaan aurat...
Untuk makluman ustaz, saya telah berkahwin selama 5 tahun, dan masih belum dikurniakan cahaya mata. kami telah mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat seorang bayi perempuan. Saya telah bercadang untuk menyusukan bayi angkat saya itu dengan mengambil pil horman untuk mengeluarkan susu. Akibat daripada pengambilan pil tersebut, kitaran haid sy menjadi tidak teratur dan pihak doktor meminta saya untuk berhenti daripada memakannya. Dalam masa yang sama, saya telah meminta kakak kandung saya utuk menyusukan bayi tersebut kerana tiada setitik pun air susu yang sempat saya keluarkan. Penyusuan tersebut juga sudah lebih 5 kali kenyang dan telah menjadi anak susuan kakak saya.
Bolehkah ustaz jelaskan aurat diantara saya, suami dan bayi berkenaan.
Terima kasih.

Jawapan;

Oleh kerana bayi itu telah menjadi anak susuan kepada kakak puan, maka puan adalah ibu saudaranya kerana susuan. Suami puan pula adalah bapa saudaranya atas sifat beliau sebagai suami puan sahaja (yakni bapa saudara sabit). Kerana itu, hanya puan sahaja yang mempunyai ikatan mahram dengan bayi itu. Adapun suami puan, ia tetap tidak mempunyai ikatan mahram dengan bayi ini sama seperti tiada ikatan mahram antara beliau dengan anak-anak saudara puan.

Jalan penyelesaian yang ada bagi puan dan suami puan ialah dengan mencari penyusu dari kalangan saudara-saudara perempuan suami puan (yakni kakak atau adik perempuan beliau) di mana bayi perempuan itu nantinya akan menjadi anak saudaranya kerana susuan dan antara mereka mempunyai ikatan mahram muabbad (yakni mahram yang haram dikawini buat selamanya dan harus mendedahkan aurat sebagaimana mahram kerana nasab/keluarga). Pada lain kalinya, jika puan ingin mengambil bayi untuk disusui oleh kakak puan, ambillah bayi lelaki.

Wallahu a'lam.

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah:
1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas)
2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya
3. Saudara-saudara lelakinya
4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya
5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya
6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya
7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya.
Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat?
a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu)
b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu)
c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik)
Terima kasih Ustaz.
Wassalam

Jawapan;

1. Adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu); Mereka adalah datuk-datuk saudara puan dan merupakan mahram puan dan adik-beradik puan (ia termasuk dalam istilah "bapa-bapa saudara sebelah bapa dan sebelah ibu" kerana istilah bapa (abun) dalam bahasa Arab merangkumi bapa dekat dan bapa-bapa jauh (iaitu datuk dan ke atas)).

2. Adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu); Mereka juga adalah datuk-datuk saudara puan dan merupakan mahram puan dan adik-beradik puan. Mereka juga termasuk dalam istilah "bapa-bapa saudara sebelah bapa dan sebelah ibu".

3. Anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik); sepupu-sepupu lelaki tidak termasuk dalam senarai mahram kerana puan (dan adik-beradik puan yang perempuan) boleh berkahwin dengan mereka. Kerana itu mereka tidak terdapat dalam senarai mahram yang diberikan.

Dengan datuk-datuk saudara (atau datuk-datuk penakan) di atas harus puan berjabat tangan dengan mereka, membuka aurat dan sebagainya lagi yang diharuskan bersama mahram. Adapun dengan sepupu lelaki, tidak harus puan berjabat tangan dan membuka aurat kerana mereka bukan mahram puan.

Wallahu a'lam.