Kamis, 08 Juli 2010

HUKUM KERINTING RAMBUT DAN MEWARNAKANNYA

Soalan; Assalamualaikum ustaz..
1. Apakah hukum sebagai seorang isteri yang bertudung, mengkerintingkan rambut untuk tatapan suaminya sahaja memandangkan ia adalah permintaan suaminya.
2. Adakah boleh untuk menggunakan pewarna rambut yang telah dicop halal oleh jakim digunakan selain daripada Inai.
sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Mengkerinting rambut untuk suami adalah harus, begitu juga mewarnakan rambut. Tidak ada dalil yang melarangnya dan perbuatan tersebut tidaklah dapat dikatakan sebagai mengubah ciptaan Allah kerana ia tidak kekal. Keadaannya sama seperti memakai celak, inai dan sebagainya. Adapun mengkerinting rambut atau mewarnakannya untuk diperlihatkan kepada lelaki-lelaki ajnabi, hukumnya haram kerana rambut adalah aurat dan tidak harus didedahkan melainkan kepada suami, mahram atau sesama wanita.

2. Namun dalam mewarnakan rambut, hendaklah dijauhi warna hitam kerana terdapat larangan khusus dari Nabi. Adapun warna lain, diharuskan. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Ubahlah warna uban (di janggut dan rambut kamu) dengan sesuatu, akan tetapi jauhilah warna hitam” (HR Imam Muslim dari Jabir bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu-). Berkata Imam an-Nawawi; “Menurut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie) digalakkan mencelup uban dengan warna kuning dan merah sama ada bagi lelaki atau perempuan dan haram mencelupnya dengan warna hitam mengikut pandangan yang paling benar” (Syarah Soheh Muslim, juz. 14).

Seperkara lagi, orang yang berkhidmat menguruskan rambut wanita (sama ada menggunting, mendandan, mencuci, mengkerinting, mewarna dan sebagainya) hendaklah di kalangan wanita juga. Tidak harus lelaki ajnabi melihat rambut wanita yang bukan mahramnya, apatahlagi hendak menyentuh dan membelainya. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Ma’qal bin Yasar –radhiyallahi ‘anhu-. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216).

2. Mengenai bahan pewarna rambut; jika diyakini suci dan halal (termasuk bersandar kepada logo halal yang diiktiraf) serta tidak mendatangkan mudarat pada rambut, haruslah digunakan. Satu lagi, pastikan bahan itu dari jenis yang telap air supaya tidak menimbulkan masalah apabila mengambil wudhuk. Di antara syarat sah wudhuk ialah; hendaklah anggota wudhuk tidak dilapisi bahan yang menghalang air dari mengenai anggota wudhuk. Jika ada, wajib ia ditanggalkan sebelum mengambil wudhuk.

Rujukan;

1. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, (فتاوى الشبكة الإسلامية), NO. 102055
2. Fatawa Nur ‘Ala ad-Darb, Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin.
3. Fatwa al-Lujnah ad-Daimah, Arab Saudi, 5/168.
4. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 14, Kitab al-Libas wa az-Ziinah, bab Istihbab Khitdhab as-Syaib..

AQAD DUA KALI DAN NIKAH DI LUAR NEGARA

Soalan; assalamualaikum...sy ada 1 pertanyaan mengenai akad nikah. adakah akad nikah boleh dilakukan dua kali dengan pasangan yang sama. contohnya begini; jika saya dan pasangan telah bernikah di luar negara dan perkara ini tidak diketahui oleh keluarga kami akan pernikahan kami dan masih anggap yang kami masih lagi single. jd, kami telah bernikah sekali lagi di tanah air agar rahsia kami tidak diketahui oleh keluarga kami. adakah kami boleh melakukan akad nikah dua kali. sy amat berharap agar pertanyaan ini dpt dijawab. sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Menurut fatwa ulamak; tidak ada tegahan untuk mengulangi aqad yang telah sah sama ada untuk tujuan pengisytiharan, memenuhi prosedur rasmi atau sebagainya. Para fuqahak dalam kitab-kitab Fiqh, dalam bab mahar; mereka membahaskan mahar yang mana yang akan dipakai jika ada dua mahar berbeza yang disebut; satu dalam aqad yang dibuat secara tertutup dan satu dalam dalam aqad secara terbuka. Sebagai contohnya, pandangan dalam mazhab Syafi’ie; jika kali pertama ‘aqad dijalankan secara tertutup dengan menyebut mahar RM1000 dan kemudian diulangi aqad secara terbuka (untuk pengisytiharan) dengan menyebut mahar RM2000, mahar yang dipakai ialah yang disebut dalam aqad pertama iaitu RM1000”. (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, 4/161). Para fuqahak dalam perbahasan tersebut tidak mempersoalkan tentang pengulangan aqad, tetapi mempersoalkan tentang mahar mana yang hendak dipakai. Seolah-olah mereka mensepakati bahawa pengulangan aqad tidak dilarang atau ditegah oleh Syarak.

2. Mengenai pernikahan di luar Negara, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan; “Hukum nikah di luar negara adalah sah dengan syarat:
a) Pernikahan itu mengikut rukun nikah
b) Pernikahan itu melebihi dua marhalah
c) Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.
d) Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim”.
(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kahwin-lari-di-selatan-thailand-0)

3. Walaupun sah dengan berwalikan hakim, namun sebaik-baiknya pasangan yang ingin berkahwin janganlah mengenepikan keluarga kedua-dua belah pihak tertutamanya ibu-bapa kerana akan mengundang banyak masalah di belakang hari. Perkara-perkara penting dalam hidup memerlukan restu dua ibu apatah lagi ikatan perkahwinan yang natijahnya akan menghasilkan zuriat yang merupakan kesinambungan keluarga kedua-dua belah pihak. Maka tidak wajarlah ibu-bapa diketepikan. Di dalam hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

رضا الرب في رضا الوالدين و سخطه في سخطهما
“Redha Tuhan (Allah) berada pada redha dua ibu-bapa dan kemarahan Tuhan berada pada kemarahan mereka berdua” (HR Imam at-Thabrani dari Abdullah bin ‘Amru –radhiyallahu ‘anhu-).

Pada hari ini, kemudahan perhubungan (telefon, internet dan sebagainya) memungkinkan anak-anak untuk menghubungi ibu-bapa walau jauh mana sekalipun mereka berada. Oleh itu, berada berjauhan tidak lagi boleh menjadi alasan untuk anak-anak tidak memohon keizinan dan restu dua ibu-bapa untuk berkahwin. Jika bapa si wanita tidak dapat hadir untuk mengaqadkan perkahwinan anaknya, ia boleh mewakilkan kepada seseorang di luar Negara (wakil kedutaan atau sebagainya). Walaupun tanpa kehadirannya, akad berlaku dengan restu dan persetujuannya dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah keluarga di belakang hari.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyyah (http://www.islamweb.net), no. 58340, 79768, 54620.
2. E-FATWA, JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/ ).
3. Fatawa Wa Istisyaraat al-Islam al-Yaum (http://www.islamtoday.net), no. 11/250
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Abdurrahman al-Jazairi, kitab an-Nikah, 4/161.