Selasa, 13 Juli 2010

MENGENDALI AL-QURAN LAMA

Soalan; salam...ingin bertanya andai Al-quran yang lama sudah tidak digunakan kerana sudah digantikan dengan yang baru..bagaimana cara terbaik untuk mengendalikannya...tq

Jawapan;

Mushaf al-Quran (dan begitu juga kertas-kertas yang bertulis ayat al-Quran, nama-nama Allah, zikir-zikir, hadis-hadis Nabi dan seumpamanya) wajib dijaga kemuliaan dan kehormatannya. Hendaklah disimpan ditempat yang baik dan bersih. Jika dijumpai terjatuh di atas lantai atau berada di tempat yang tidak sepatutnya, wajiblah dipungut. Jika sudah tidak dapat digunakan lagi, hendaklah dilupuskan sama ada dengan menanamnya di tempat yang bersih dan jauh dari laluan manusia (untuk mengelak dari ia dipijak atau dilangkahi) atau boleh juga dibakar dan kemudian abunya ditanam di tempat yang bersih. Ini sebagai mengambil contoh dari tindakan yang dilakukan oleh para sahabat.

Dalam kitab Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Saidina Usman bin ‘Affan –radhiyallahi ‘anhu- telah mengarahkan beberapa orang sahabat supaya menyalin beberapa mushaf al-Quran, kemudian ia menghantar ke setiap pelusuk (negara umat Islam) satu salinan. Dan ia memerintahkan semua lembaran dan mushaf yang lain hendaklah dibakar”. (Juz. 15, bab jam’ie al-Quran, hadis no. 4604).

Berkata Ibnu Battal; hadis ini menunjukkan bahawa diharuskan membakar kitab-kitab/buku-buku yang terdapat di dalamnya nama-nama Allah (yang tidak digunakan lagi). Tindakan itu sebagai memuliakannya dan menjaganya dari dipijak oleh kaki-kaki manusia. Ada diceritakan bahawa Tawus membakar kertas-kertasnya yang terdapat tulisan Bismillah, begitu juga yang dilakukan oleh Urwah. (Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran. Lihat juga; Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah).

Diharamkan sama sekali mushaf al-Quran yang lama itu dibuang ke tempat sampah atau dibiarkan tanpa terurus di tempat yang tidak sepatutnya. Begitu juga, tidak harus kertas al-Quran lama di kitar semula untuk kegunaan lain dari al-Quran (seperti menjadi kertas biasa, tisu atau sebagainya) kerana itu juga satu jenis penghinaan kepada al-Quran. Ini sebagaiman fatwa yang yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80. Lihat; al-Maktabah asy-Syamilah) dan beberapa fatwa yang lain. Jadi, jalan yang ada ialah sama ada menanamnya atau membakarnya atau terus menyimpannya dengan baik.

Rujukan;

1. Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 126206.
4. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80, al-Maktabah asy-Syamilah.

MEMBUAT BINAAN DI ATAS KUBUR DAN TULISAN DI KUBUR

Soalan; Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanyakan perkara2 berikut yang berkaitan dgn kubur dan kematian;
1- hukum membina petak kubur dengan menggunakan simen
2- hukum menulis nama si mati, tarikh kematiannya pada petak simen tersebut
3- hukum menulis al-fatihah di atasnya dan doa semoga allah mengampunkan dosa si mati
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1) Terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang hukum membuat binaan di atas kubur di antara haram dan makruh;

a) Pandangan pertama; ia haram secara mutlaknya. Antara ulamak yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Hafidz al-‘Iraqi, asy-Syaukani dan as-Shon’ani. Mereka berpegang dengan makna zahir dari arahan Nabi supaya meratakan kubur dan larangan baginda dari membuat binaan di atas kubur.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُبْنَى عَلَى الْقَبْرِ
“Sesungguhnya Nabi–sallallahu ‘alaihi wasallam- menegah dari membuat binaan di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

عن جابر رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال: نهى رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu-).

Dalam kitab Soheh Muslim, Sunan at-Tirmizi, Abu Daud dan sebagainya; terdapat hadis dari Saidina ‘Ali –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa beliau telah disuruh oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- agar memusnahkan semua patung-patung dan meratakan semua kubur-kubur yang ditinggikan. (Soheh Muslim, Kitab al-Janaiz, bab al-Amr bitaswiyati al-Qabr (hadis no. 969)).

b) Pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); membuat binaan di atas kubur adalah makruh. Mereka memahami larangan Nabi dalam hadis di atas sebagai larangan makruh, bukan larangan haram. Kecualilah jika tanah perkuburan tersebut adalah tanah wakaf awam (yakni bukan milik persendirian), maka haramlah membuat binaan di atas kubur kerana akan menghalang orang lain dari menggunakannya di kemudian hari sedangkan tanah perkuburan itu adalah milik bersama. Begitu juga, haram membuat binaan jika dengan tujuan berbangga-bangga dan menghias-hias kubur. Hukum haram ini telah disepakati oleh ulamak. Jadi, hukum makruh yang dimaksudkan oleh jumhur itu ialah apabila binaan dibuat hanya bertujuan memperkemaskan kubur atau memperelokkannya.

Bagi kubur milik persendirian, sebahagian ulamak (iaitulah ulamak-ulamak mazhab Malik) mengharuskan membuat binaan sederhana di keliling kubur (bukan di atasnya) iaitu sekadar untuk membezakan satu kubur dari satu kubur yang lain. Adapun kubur wakaf tidak diharuskan sebarang binaan (sama ada di atasnya atau di sekelilingnya) atas alasan tadi.

Apa yang menjadi Sunnah Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- ialah kubur tidak ditinggikan melainkan sekadar satu hasta sahaja iaitu untuk dikenali bahawa itu adalah kubur supaya dijaga kehormatannya dari dipijak, dibuang najis atau sebagainya. Dalam kitab Soheh Imam al-Bukhari, terdapat riwayat dari Sufyan at-Tammar yang menceritakan;

أنه رأى قبر النبي صلى الله عليه وسلم مسنما.
“Ia melihat kubur Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- tingginya hanya sekadar tinggi bonggol unta sahaja” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, bab Ma Ja-a Fi Qabr an-Nabiy wa Abi Bakr wa ‘Umar).

Ketika Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- mengkebumikan jenazah seorang sahabat bernama Usman bin Madz’un –radhiyallahu ‘anhu-, baginda hanya meletakkan tanda di kuburnya dengan seketul batu sahaja di bahagian kepalanya dan baginda bersabda;

"أتعلم بها قبر أخي، وأدفن إليه من مات من أهلي"
“Supaya aku mengenali dengan tanda batu ini kubur saudaraku dan agar aku dapat mengkebumikan di tepinya sesiapa yang mati dari ahli keluargaku” (Sunan Abi Daud, kitab al-Janaiz, bab Fi Jam’ie al-Mauta Fi al-Qabr wa al-Qabr yu’allam).

Berkata Imam as-Syafi’ie; bagi aku makruh meninggikan kubur melainkan sekadar untuk diketahui bahawa itu adalah kubur yakni supaya ia tidak dilangkahi dan tidak diduduki di atasnya. (Sunan at-Tirmizi, Abwab al-Janaiz ‘an Rasulullah, bab Ma Ja-a Fi Taswiyati al-Qabr).

2) Mengenai tulisan di kubur, pandangan ulamak juga sebagaimana di atas iaitu ada ulamak yang mengharamkannya dan jumhur ulamak memakruhkannya. Terdapat hadis dari Jabir bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;

نهى رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ أن يكتب على القبر شيء.
“Rasulullah menegah dari menulis sesuatu di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Di dalam hadis yang lain;

نهى رسول الله - صلى الله عليه وسلم - عن تجصيص القبور، والكتابة فيها، والبناء عليها، والجلوس عليها
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, membuat tulisan padanya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atasnya” (Riwayat al-Hakim darim Jabir).

Menurut jumhur; larangan (yakni makruh) menulis sebarang tulisan atas kubur itu merangkumi semua tulisan termasuklah menulis nama si mati, ukiran-ukiran dan sebagainya. Dalam kitab al-Majmu’, pengarangnya (Imam an-Nawawi) menegaskan; menurut Imam as-Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; ‘Dimakruhkan melapisi kubur dengan kapur putih, menulis di atas kubur nama penghuni kubur atau tulisan lainnya dan membuat binaan di atas kubur’. Hukum ini tidak ada khilaf di sisi kami (mazhab Syaf’ie). (al-Majmu’, 5/163).

Namun demikian, ulamak-ulamak mazhab al-Hadawiyah mengecualikan larangan tersebut dari nama si mati (yakni menurut mereka; diharuskan menulis nama si mati di atas kubur). Mereka mengkiaskannya dengan tindakan Nabi meletakkan batu tanda di atas kubur sahabat bernama Usman bin Madzun tadi untuk mengenali kuburnya. Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Sa’aduddin Hilali (Pensyarah di Universiti al-Azhar) dalam bukunya “Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim” di mana beliau menegaskan; “Pandangan yang terpilih ialah pandangan jumhur ulamak –iaitu makruh membuat tulisan di kubur- kerana kekuatan hujah mereka dan dikecuali dari hukum makruh itu tulisan nama khususnya bagi kubur-kubur milik persendirian supaya tidak ada sesiapa mencerobohnya” (halaman 216).

Adapun menulis ayat-ayat al-Quran di kubur, ulamak-ulamak mazhab Malik menegaskan; selayaknya perbuatan tersebut diharamkan kerana ia membawa kepada merendah-rendahkan al-Quran lama kelamaan dan terjatuh ayat-ayat al-Quran ke tempat berpijak kaki manusia.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim, Dr. Saaduddin Mus’ad Hilali (hlm. 215-233).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Janaiz, bab an-Nahyi ‘an Tajsis al-Qabr, wa al-Bina’ ‘Alaihi wa al-Julus ‘alaihi.
3. Ahkam al-Mayyit wa ‘Adaat al-Maatim, as-Sadiq bin ‘Abd Rahman al-Gharyani, hlm. 44.
4. Nailul-Autar, juz. 4, Tabi’ Kitab as-Solah, bab Taslim al-Qabr wa rasysyihi bil-Ma-a wa ta’limuhu li yu’rafa…