Selasa, 18 Januari 2011

MENJUAL BARANG LAMA DENGAN HARGA BARU

Soalan; Assalamualaikum ust...disini ana ingin bertanya ust tentang khilaf ulama' dan dalil2 dr quran yang menerangkan tentang barang yang lama tp dijual dgn harga baru..sebagai contoh mcm handphone..ana beli handphone tu dgn harga rm200 kemudian ana jual dgn harga rm300..ape hukum die ust dan ape dalil2 dan khilaf ulama' berkaitan dgn ni...harap ust bleh bantu.

Jawapan;

Dalam blog ini, sila taipkan "harga" pada bahagian search. Insya Allah ada beberapa jawapan terdahulu yang dapat dijadikan panduan. Kesimpulan yang dapat saya berikan; Syariat tidaklah menetapkan kadar tertentu terhadap keuntungan yang harus di ambil dari jualan atau perniagaan. Ia terserah kepada permintaan dan factor lain yang memberi kesan kepada harga. Semakin tinggi permintaan terhadap suatu barang, biasanya harga akan semakin tinggi. Begitu juga, semakin sukar sesuatu barang diperolehi harganya juga akan tinggi kerana bayaran kepada kesukaran tersebut. Barangan antik sebagainya contohnya, harganya adakalanya berkali ganda lebih tinggi dari harga pada ketika ia dikeluarkan kerana nilai antiknya itu menyebabkan harganya naik di samping sukar didapati atau hanya sedikit sahaja yang masih tinggal. Jadi, penentuan harga barang terserah kepada penjual, namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur-unsur tersebut;

1. Penipuan. Jika harga tinggi kerana penipuan sama ada dengan membuat kulit luar yang cantik sedangkan bahagian dalam adalah lama/rosak/tidak berkualiti, perbuatan tersebut adakah haram dan pembeli berhak memulangkan barang yang dibeli. Dalam penjualan handphone lama sebagai contohnya, tidak harus penjual menukar kulit luarnya dan memperlihatkan seolah-olah ia handphone baru supaya dapat dijual mahal. Sebaliknya hendaklah diberitahu handphone itu adalah secondhand, cuma harganya mahal kerana factor sekian sekian (seperti kerana kualiti, barangan import dan sebagainya).

2. Harga tidak terlalu berbeza berbanding harga pasaran melihat kepada kualiti yang sama. Sebahagian ulamak menetapkan kadar tidak terlalu berbeza itu ialah tidak melebihi 1/3 (34%) dari harga pasaran. Contoh; jika suatu barang biasa dijual RM1000 di pasaran, jika kita menjualnya di bawah RM1340, ia masih dibenarkan. Namun jika lebih dari itu, beza harga itu dikira keterlaluan dan -mengikut sebahagian ulamak- pembeli boleh memulangkan barangan yang dibelinya itu apabila mengetahui harga yang dibayarnya terlalu tinggi. Sebahagian ulamak yang lain berpandangan; pembeli hanya boleh memulangkannya jika terdapat unsur penipuan dari penjual.

3. Tidak mengeksploit kejahilan pengguna terhadap nilai dan status barang untuk mengenakan harga tinggi ke atas mereka. Ini juga termasuk dalam penipuan di samping merupakan satu penganiayaan.

Wallahu a'lam.

CARA MEMBERSIHKAN ARAK YANG TERKENA PAKAIAN

Soalan; Assalamualaikum...Sekiranya pakaian terkena arak,
1) Adakah memadai pakaian dan bahagian badan itu dibasuh seperti biasa dengan sabun & dibilas.
2) Adakah arak juga seperti anjing jika tersentuh mesti disamak?
Wasalam, diharap penjelasan ustaz dapat membantu saya.

Jawapan;

Najis dibahagikan kepada tiga jenis;

1. Mukhaffafah; iaitu najis ringan. Hanya ada satu sahaja najis yang masuk dalam kategori ini iaitu air kencing bayi lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum memakan apa-apa makanan selain susu ibu. Cara mensucikan najis ini cukup mudah iaitu dengan hanya merenjiskan air ke tempat yang dikenai kencing bayi itu, kemudian dilap. Tidak perlu membasuh dan membilasnya. Kerana itu ia dinamakan najis mukhaffafah yang bermaksud yang diringankan cara membasuhnya.

2. Najis mughalladzah; iaitu najis berat. Najis ini ialah yang datang dari anjing. Cara mencucinya agak berat iaitu dengan dibasuh sebanyak tujuh kali iaitu basuhan pertama dengan air bercampur tanah dan dibilas dengan air biasa selepasnya sebanyak enam kali. Sebahagian ulamak (antaranya mazhab Syafi'ie) memasukkan juga dalam kategori najis ini najis yang datang dari babi iaitu dengan mengkiaskannya kepada anjing.

3. Najis mutawassitah; iaitu najis pertengahan, iaitu cara mencucinya pertengahan di antara yang mudah dan yang berat tadi. Najis ini merangkumi semua najis yang lain dari najis ringan dan najis berat tadi. Contohnya; air kencing, tahi, darah, arak dan sebagainya. Cara mensucikannya ialah; pertama, dengan membuang ain/zat najis jika nampak, kemudian membasuh tempat yang terkena najis itu dengan air serta membilasnya hingga hilang kesan-kesan najis (warna, bau dan rasanya). Bilangan cucian tidaklah ditetap bilangan tertentu, yang diambil kira ialah hilangnya kesan-kesan najis. Jika sukar menghilangkan warnanya setelah cucian dilakukan berulang kali, kesan warna itu dimaafkan.

Dari pembahagian di atas dapatlah kita mengetahui cara mencuci arak yang terkena pakaian. Oleh kerana arak adalah dari jenis najis mutawassitah, maka mencucinya ialah dengan membasuhnya dengan air dan membilasnya hingga hilang kesan-kesan arak itu pada pakaian. Tidak perlulah mensamaknya sebagaimana membersih najis anjing.

Wallahu a'lam.

ZAKAT WANG KWSP DAN HUTANG PTPTN

Soalan; Assalamualaikum, Saya ingin mandapatkan penjelasan mengenai masalah berikut:
Saya bakal mengeluarkan duit EPF saya pada bulan April ini untuk melangsaikan hutang tertunggak PTPTN saya. Hutang tertunggak ini disebabkan oleh saya tidak mampu untuk membayarnya pada masa yang lalu. soalannya, adakah duit ini perlu dikenekan zakat sedangkan saya ingin melangsaikan hutang? Saya sangat berharap untuk mendapatkan maklum balas tentang permasalah ini. Diharapkan pihak tuan dapat membantu saya. Terima kasih.

Jawapan;

Harta yang dikenakan zakat ialah yang memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Milik sempurna
2. Harta yang boleh berkembang
3. Cukup nisab
4. Lebihan dari keperluan-keperluan asasi
5. Bebas dari hutang
6. Cukup haul

Maksud “Bebas dari hutang” ialah; harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang pemiliknya tidak dibelenggu oleh hutang yang perlu dibayar segera. Maka merujuk kepada kes saudara, dengan wang EPF itu hendaklah saudara menyelesaikan terlebih dahulu tunggakan hutang PTPTN itu, kemudian bakinya barulah dikeluarkan zakat jika mencukupi nisab iaitu nilai semasa 85 gram emas. Kadar zakatnya ialah 2.5% dan dikeluarkan sebaik sahaja wang EPF itu diterima dan ditolak hutang tadi.[1]

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Lihat; al-Fiqhul Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 468.
2. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 177-178.

Nota hujung;

[1] Jawapan di atas diberikan berdasarkan pandangan jumhur Ulama’ iaitu orang yang dibelenggu oleh hutang, tidak wajib zakat atasnya kerana ia adalah orang yang memerlukan, sedangkan zakat hanya wajib atas orang kaya (yakni memiliki harta melebihi keperluan utamanya). Walau bagaimanapun pandangan jumhur ini berbeza dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie iaitu; Hutang tidak menggugurkan kewajipan zakat. Ada juga di kalangan ulamak yang berpandangan; hutang menggugurkan kewajipan zakat dari harta-harta bathin sahaja iaitu emas, perak dan harta perniagaan, tidak dari harta-harta dzahir iaitu pertanian, buah-buahan, ternakan dan logam/galian. Perbezaan antara harta batin dan harta dzahir ialah; harta-harta dzahir subur dengan sendirinya, adapun harta-harta batin tidak subur dengan sendirinya. Pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur ulamak tadi yang menyatakan; hutang menggugurkan zakat tanpa membezakan antara harta dzahir dan harta batin. (Lihat; al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 468, Fiqh az-Zakah, 1/177-178)

TAHI LALAT DAN ALAMAT UNTUNG/SIAL

Soalan; Assalammualaikum ustaz, Saya ada kemusykilan tentang tahi lalat. Pertengahan tahun lalu saya ada berjumpa seorang tukang ubat tradisional dekat kampung tempat saya tinggal.Saya cuba ikhtiar untuk berubat cara tradisional.Semasa pada hari pertama tu Tok tu cuma tengok jer dia dah tau yang saya adaler terkena makhluk halus,Tok pun gtau saya kena dimandikan air bunga dan kena buat sikit urutan badan, semasa buat urutan badan Tok nampak dekat atas bahu kiri saya ada tahi lalat dia bagitau tahi lalat tu kena buang sebab maksud tahi lalat dekat bahu sebelah kiri tu baik 'membawa beban' dia juga minta saya buangkan tahi lalat tu, tapi sampai sekarang saya masih belum berbuat demikian.Jadi apa kah pandangan ustaz dengan makna yang tersirat pada tahi lalat yang tumbuh pada atas bahu sebelah kiri saya itu..sehingga hari ini saya masih mencari-cari jawapan samada mempercayainya atau tidak.. wslm..

Jawapan;

Jika tahi lalat itu mendatangkan mudarat atau kecacatan kepada badan, haruslah ia dibuang (lihat hukum membuang tahi lalat dalam nota kaki di bawah).[1] Jika tidak mendatangkan mudarat dan kecacatan, biarkanlah ia di situ. Untung atau rugi kita pada masa depan bukan bergantung kepada tahi lalat atau sebarang benda atau sempena tertentu, tetapi bergantung kepada takdir Allah dan undang-undang/peraturan alam yang ditetapkanNya. Lakukanlah mengikut yang diperintah oleh Allah iaitu dengan beriman, menuntut ilmu, beramal dengan ilmu serta bersungguh-sungguh dalam apa saja bidang yang diceburi dan disusuli dengan tawakkal kepadaNya, insya Allah hidup kita akan berjaya. Tidak perlu terpengaruh dengan sebarang dakwaan dan ramalan yang tiada dalil dan asas.

Akhir-akhir ini kita melihat dalam masyarakat Melayu telah mula meriah kembali amalan-amalan tilikan, ramalan dan kepercayaan kepada khurafat sedangkan dahulunya amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan sebegini telah menyepi. Mungkin puncanya kerana berleluasanya cerita-cerita hantu dan karut marut dalam televisyen dan juga golongan agama yang terlibat sama dalam amalan serta kepercayaan seumpama itu hingga menjadi ikutan orang lain.

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim dari beberapa orang isteri Nabi).

Sabda baginda juga; “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dari Abdullah bin Mas’ud).

Dari sahabat bernama Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. beliau menceritakan; Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya; Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab; Allah dan RasulNya lah yang paling tahu. Baginda berkata; Tuhanmu telah berkata; “Di kalangan hambaku ada yang berpagi dengan beriman kepadaku dan ia kufur. Adapun sesiapa yang berkata; kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya, maka orang itu adalah beriman denganKu dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata; kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuriKu dan ia beriman dengan bintang”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim. Lihat; Syarh as-Sunnah).

Perhatikan; jika bintang-bintang yang begitu besar telah dinafikan kesan atau pengaruhnya oleh Nabi terhadap peristiwa yang berlaku di alam ini (sama ada turun hujan atau sebagainya) dan orang yang mempercayai hal itu dikata oleh baginda sebagai kufur kepada Allah, apakah kita ingin percaya tahi lalat di badan kita boleh memberi kesan itu dan ini?

Allah apabila melarang sesuatu, Ia menggantikan untuk hambaNya amalan yang lebih baik dari yang dilarang itu. Apabila Ia melarang kita dari tilikan, sebagai gantinya Ia mensyariatkan untuk kita istikharah iaitu memohon petunjuk dariNya untuk membuat pilihan terbaik sama ada dengan terus berdoa kepadaNya atau dengan melakukan solat Istikharah dua rakaat dan disusuli dengan berdoa kepadaNya. (Rujuk; Cara-cara melakukan istikharah dalam blog ini (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/cara-melakukan-istikharah.html))

Wallahu a’lam.

Nota hujung;

[1] Harus hukumnya membuang dari badan benda-benda yang dilihat mencacatkan atau memburukkan rupa wajah dan tubuh seperti jerawat, bintil-bintil, ketumbuhan, tahi lalat, tanda-tanda/kesan-kesan hitam atau sebagainya dengan syarat proses membuangnya tidak membawa kepada mudarat yang lebih besar atau setara dengan kecacatan benda itu pada tubuh. Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah–sallallahu ‘alaihi wasallam- melarang wanita yang mencukur alisnya, wanita yang menipiskan giginya, yang menyambung rambutnya dan yang membuat tatu pada badannya, dikecualikan kerana suatu penyakit”. (Riwayat Imam Ahmad. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, juz 6, kitab al-Walimah…, bab Ma Yukrahu Min Tazayyun an-Nisa’ bihi Wa Ma La Yukrahu).

Berkata Imam as-Syaukani mengulas hadis ini; ungkapan dalam hadis tadi “..dikecualikan kerana suatu penyakit..” menunjukkan bahawa yang diharamkan dari perbuatan-perbuatan tersebut ialah yang semata-mata untuk tujuan perhiasan, bukan kerana penyakit atau suatu kecacatan. Jika dilakukan untuk menghilangkan suatu penyakit atau suatu kecacatan tidaklah ia diharamkan” (Nailul-Autar). Berkata Imam Ibnu Jauzi; “Adapun ubat-ubat untuk mengilangkan bintil-bintil pada wajah (jerawat) dan memperelokkan wajah untuk suami, aku berpandangan ia tidaklah dilarang” (Dinaqalkan oleh as-Safarini dalam Ghaza’ al-Albab). Rujukan; Syeikh Munajjid dalam laman as-Su-al wa al-Jawab (al-Maktabah as-Syamilah, 5/8245, fatwa no. 104920).

Wallahu a'lam.