Kamis, 31 Maret 2011

SOLAT SUNAT BERJAMAAH

Soalan; Apa hukum mengerjakan solat hajat secara berjamaah?

Jawapan;

Solat sunat ada dua jenis;
(Pertama) Solat sunat yang disyariatkan untuk dilakukan secara berjamaah iaitu solat sunat hari raya, solat gerhana, solat istisqa' (minta hujan), solat terawih dan witir di bulan Ramadhan.
(Kedua) Solat sunat yang disyariatkan dilakukan bersendirian seperti solat tahajjud, solat dhuha, solat istikharah, solat hajat dan solat rawatib yang mengiringi solat fardhu.

Solat sunat yang disyariatkan berjamaah tiada keraguan lagi atas keharusan berjamaah dalam melakukannya malah ia afdhal dilakukan berjamaah. Persoalan yang timbul ialah; solat sunat yang disyariatkan bersendirian, adakah harus jika kita melakukannya secara berjamaah (termasuk solat hajat yang ditanya dalam soalan di atas). Jawapannya adalah harus berdalilkan berberapa hadis, antaranya;

1. Diriwayatkan dari Anas yang menceritakan; "Aku dan seorang anak yatim telah mengerjakan solat di belakang Nabi dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Solat jamaah yang dilakukan oleh Anas bersama Nabi ini adalah solat sunat, bukan solat fardhu.

2. Utban bin Malik menceritakan; Nabi datang ke rumahnya ketika matahari telah meninggi dan bersamanya Abu Bakar. Lalu Nabi bertanyaku; "Di mana ruang yang kamu ingini untuk aku solat di rumah kamu?". Aku pun menunjukkan ke tempat yang aku ingini untuk beliau solat di situ. Nabi berdiri dan kami semua membuat saf di belakangnya. Beliau solat dan kamu turut solat di belakangnya. Apabila beliau memberi salam, kami turut memberi salam. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). 

Sebahagian ulamak mensyaratkan hendaklah solat sunat yang dilakukan berjamaah itu bukan solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardhu (yakni qabliyah atau ba'diyah) dan jangan dijadikan kebiasaan hingga ia menyamai solat fardhu kerana ia menyalahi amalan Nabi dan sahabat (yakni Nabi ada melakukan solat sunat yang disyariatkan bersendirian itu secara berjamaah namun hanya sekali sekala sahaja, bukan sentiasa atau menjadi kebiasaan sebagaimana solat fardhu dan solat-solat sunat yang disyariatkan berjamaah tadi).

Imam Malik mensyaratkan; hendaklah jamaah itu beberapa orang sahaja. Adapun berjamaah dengan jumlah yang besar iaitu dengan menghimpun orang ramai untuk melakukan solat sunat yang tidak disyariatkan berjamaah itu, tidak harus kerana dikhuatiri orang yang jahil akan menganggap solat sunat itu sebagai fardhu. Tegahan ini termasuk dalam bab Saddu az-Zarai'. (Fathul-Bari).

Wallahu a'lam.    

Rujukan;

1. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 4/60, Kitab as-Solah, Bab Solat af-Tatawwu'.
2. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil Yusuf al-Azzazi, 1/356.
3. Fathul-Bari, Kitab At-Tahajjud, Bab Solati an-Nawafil Jamaatan.

HUKUM MEMBATALKAN PUASA SUNAT

Soalan; Salam Ustaz, Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan puasa sunat kerana jarang kita dengar ulasan berkenaan puasa ini.
1. Apakah hukum membatalkan puasa sunat dengan sengaja sama ada makan atau minum atau jimak?
2. Adakah perlu mengantikannya semula?
3. Jika melakukan jimak, adakah wajib kaffarah?
Secara keseluruhannya adakah hukum membatalkan puasa sama ada puasa sunat atau puasa dibulan ramadhan adalah sama? Harap ustaz dapat menjelaskan pertanyaan ini.
Sekian, wassalam.

Jawapan;

Terdapat hadis di mana Rasulullah –sallalahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya sendiri. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5122. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh).

Berdasarkan hadis ini, jumhur ulamak (Imam Syafiie, Imam Ahmad, Sufyan as-Sauri, Ishaq dan sebagainya) berpandangan; puasa sunat tidak wajib disempurnakan sebagaimana puasa fardhu (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau Nazar), yakni seorang yang berpuasa sunat harus ia membatalkannya mengikut kehendaknya. Namun jika ia membatalkannya tanpa sebarang keuzuran, hukumnya makruh dan tidaklah haram. Tidaklah wajib menggantikan/mengqadha puasa sunat yang dibatalkan itu, hanya disunatkan sahaja menggantinya. Dari Abi Sa’id menceritakan; Aku telah memasak makanan untuk Nabi. Apabila aku menghidangnya, seorang lelaki (yang datang bersama Nabi) berkata; ‘Aku berpuasa’. Nabi lantas berkata kepadanya; “Saudaramu telah menjemputmu dan bersusah payah (memasak) untukmu. Berbukalah dan gantilah puasamu itu pada hari lain jika kamu mahu” (HR Imam al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; sanadnya hasan. Dinaqalkan dari Tuhfah al-Ahwazi, juz. 2, bab Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’).

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berbeza pandangan dengan jumhur di mana menurut mereka; puasa sunat wajib disempurnakan apabila seseorang telah mula berpuasa berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33). Dan sesiapa membatalkannya, wajiblah ia mengganti/mengqadhanya. Namun jumhur ulamak menjawab; larangan ayat tersebut ialah khusus bagi ibadah-ibadah fardhu sahaja, yakni ditegah seseorang membatalkan pahala ibadah fardhunya. Adapun ibadah sunat tidaklah ditegah membatalkannya kerana ia tidaklah diwajibkan. Lagipun, terdapat hadis yang mengharuskannya. (Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 5122.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz 2, bab Ma Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’.
3. Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33.