Kamis, 07 April 2011

BERUBAT DENGAN BOMOH SIAM

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Apakah salah dan dianggap syirik jika seseorang itu telah berusaha banyak kali dengan cara Islam untuk berubat membuang sihir  tetapi tidak sembuh. Dia ambil keputusan untuk melalui cara Siam untuk membuang sihir tersebut dan mendapatkan bantuan seorang yang bukan Islam yang berubat dengan cara Siam setelah dia mengetahui sihir ke atasnya adalah menggunakan cara Siam TETAPI yakin dan percaya sepenuh hati  perawatan yang beliau akan lalui dan alami adalah Allah yang akan membantu dan mengizinkan. 
 
Jawapan;
 
Keyakinan kepada Allah mesti diterjemahkan melalui keyakinan hati, lidah dan juga anggota (yakni amalan, perbuatan dan tindakan). Yakinlah kepada Allah dan berikhtiarlah tanpa mendatangkan kemurkaan Allah dengan bertandang ke tempat yang tidak diredhaiNya.
 
Rasulullah pernah ditanya tentang hukum berubat dengan arak. Lalu baginda menjawab; “Arak bukan ubat, tetapi penyakit” (HR Imam Muslim dari Wail al-Hadrami). Perhatikan, walaupun di sisi manusia arak mungkin boleh menjadi ubat menyembuhkan setengah penyakit, namun kerana ia di sisi Allah adalah haram, maka Rasulullah bertegas mengatakan; Ia bukan ibat tetapi penyakit.
 
Jika benar kita yakin kepada Allah, kita perlu yakin juga bahawa Allah tidak akan menjadikan penyembuhan ada pada perkara yang Ia murkai apatahlagi yang mensyirikkanNya. Berikhtiyarlah dengan cara yang halal, jangan berputus asa, Insya Allah kesembuhan akan diberi Allah; kesembuhan badan dan pada masa yang sama aqidah juga selamat. Tiada guna tubuh sihat tetapi aqidah kita sakit.
 
Wallahu a'lam.

SOLAT TAUBAT; BOLEHKAH DILAKUKAN SETIAP MALAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz...saya ada persoalan berkaitan solat taubat...Bolehkah melakukan solat sunat taubat setiap malam walaupun kita telah yakin Allah mengampunkan dosa - dosa kita pada solat sunat taubat yang lepas? saya amat berharap penjelasan dari ustaz....semoga ustaz dapat membantu saya. terima kasih.

Jawapan;

1. Telah sepakat para ulamak bahawa solat Taubat adalah solat sunat yang disyariatkan. Ia termasuk dalam solat sunat bersebab, kerana itu harus ditunaikan bila-bila masa -termasuk pada waktu-waktu dilarang solat- apabila sebabnya ada iaitu melakukan dosa -sama ada dosa besar atau kecil-. Dalil bagi solat Taubat ini ialah hadis dari Saidina Abu Bakar -radhiyallahu anhu- yang menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah -sallalahu 'alaihi wasallam-bersabda; "Tidak ada seorang hamba yang melakukan suatu dosa, lalu ia mengambil wudhuk dengan elok, kemudian ia bangun mengerjakan solat dua rakaat dan beristighfar kepada Allah selepasnya melainkan Allah akan mengampunkannya". Kemudian Rasulullah membaca ayat Allah (bermaksud);

"Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka -dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah-, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)" (Surah Ali Imran, ayat 135). (HR Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Diriwayatkan dari Buraidah menceritakan; Suatu hari di pagi hari Rasulullah memanggil Bilal, lalu bertanya beliau; "Wahai Bilal, apa yang menjadikanmu mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya aku masuk ke dalam Syurga kelmarin, lalu aku mendengar bunyi kamu berjalan di hadapanku". Bilal lalu menjawab: "Ya Rasulullah, tidak aku melakukan suatu dosa melainkan aku akan solat dua rakaat selepasnya, dan tidak menimpaku akan hadas (yakni berlaku perkara yang membatalkan wudhuk) melainkan aku akan mengambil wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat" (HR Imam Ibnu Khuzaimah dalam Sohehnya. Lihat hadis ini dalam; Tuhfah al-Ahwazi).

2. Oleh kerana solat Taubat merupakan solat bersebab, maka tidaklah disyariatkan untuk dilakukan sentiasa tanpa didahului sebabnya iaitu melakukan dosa. Jika kita melakukan dosa, kita wajib segera bertaubat (dengan melaksanakan rukun-rukun taubat), kemudian kita disunatkan melakukan solat Taubat dan banyak beristighfar selepasnya sebagaimana dalam hadis tadi.

Selain solat Taubat, banyak lagi solat-solat sunat yang lain yang disyariatkan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, maka tidak perlulah kita terikat dengan solat Taubat sahaja. Sebenarnya dalam seharian, pada waktu-waktu yang kita lalui terdapat solat sunat yang paling baik kita tunaikan pada waktu tersebut. Sebagai contohnya;
- Waktu dhuha hingga sebelum matahari di tengah langit; Disyariatkan solat Dhuha. Maka pada waktu tersebut solat sunat terbaik ialah Solat Dhuha.
- Setiap kali masuk waktu solat fardhu (selepas azan); Disyariat solat Qabliyah.
- Selepas solat fardhu; Disyariatkan solat Ba'diyah (kecuali selepas Subuh dan Asar).
- Sebelum tidur; Disyariatkan solat witir.
- Di tengah malam atau dua pertiga malam hingga sebelum subuh; Disyariatkan solat Tahajjud.
- Apabila masuk ke masjid; Disyariatkan solat Tahiyyatul-Masjid.
- Setiap kali mengambil wudhuk; Disyariatkan solat sunat Wudhuk selepasnya.

3. Mengenai cara melakukan solat taubat;
a) Mulai dengan mengambil wudhuk dengan sempurna.
b) Niat di dalam hati ketika takbiratul-ihram bahawa solat yang hendak dilakukan itu adalah solat sunat taubat (yakni untuk memohon ampun kepada Allah). Contohnya menghadirkan dalam hati; “Sahaja aku menunaikan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah”.
b) Tiada ayat atau surah tertentu yang ditentukan oleh Nabi yang mesti dibaca selepas al-Fatihah. Oleh itu, harus dibaca mana-mana ayat atau surah dari al-Quran. Membaca surah secara penuh walaupun pendek lebih baik dari membaca potongan ayat al-Quran.
c) Selesai solat, hendaklah beristighfar sebanyak mungkin kepada Allah dengan menghadirkan penyesalan di dalam hati atas dosa yang dilakukan. Istighfar yang terbaik ialah penghulu istighfar yang diajar oleh Nabi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. 'Aunul-Ma'bud, Kitab as-Solah, Abwab al-Witr, bab al-Istighfar.
2. Tuhfah al-Ahwazi, Kitab as-Solah, bab Ma Ja-a Fi as-Solah 'Inda at-Taubah.
3. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 98030.
4. Fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.net), no. 133099.

KEDUDUKAN UNTUNG YANG DIAMBIL OLEH BROKER/AGEN/ORANG TENGAH

Soalan; Assalamu'alaikum w.b.t. Soalan saya...Contoh: Seorang pemilik tanah ingin menjual tanahnya yg berkeluasan 100ekar dgn harga RM30000/ekar. Dia telah melantik seorang broker/agen utk mencari pembeli bagi tanah tersebut.
Kes 1 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut maka pemilik tanah akan memberi komisyen spt 1% kpd broker tersebut.Pada saya ini tiada masalah.
Kes 2 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut, sedangkan pemilik tanah tidak berjanji utk memberi sebarang upah kpd broker, maka jika broker menaikan harga tanah tersebut kpd RM31000/ekar dgn alasan ingin mengambil upah iaitu RM1000/ekar dan hal ini telah dipersetujui oleh pemilik...apakah hukumnya? Perlukah broker/agen memberitahu harga sebenar pemilik (RM30000/ekar) kpd pembeli? Jika diberitahu dikhuatiri broker/agen tidak akan mendapat sebarang upah....
Harap ustaz dpt memberi jawapan yg memuaskan...Terima kasih.

Jawapan;

1. Soalan di atas berkait dengan hukum menjadi orang tengah di antara penjual dan pembeli dan mendapat upah atau komisyen dari khidmat jualan atau khidmat runding yang diberikan. Dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai as-Samsarah. Secara asasnya, ia tertakluk kepada persepakatan atau persetujuan kedua belah pihak iaitu antara pemilik barang dan juga orang tengah yang menjadi wakil jualannya. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama mana syarat itu menepati kebenaran (yakni Kitab Allah)”. (Riwayat al-Hakim dari ‘Aisyah dan Anas –radhiyallahu ‘anhuma- (al-Jami’ as-Saghier, Imam as-Suyuti, hadis no. 9214, soheh).

Dalam riwayat yang lain; Dan orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal dan yang menghalalkan yang haram”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani r.a. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Berdalil kepada hadis tersebut, Imam al-Bukhari dalam Sohehnya (bab as-Samsarah) mengemukakan beberapa bentuk akad as-Samsarah (orang tengah) yang diharuskan oleh para salafus-soleh, iaitu;

a) Imam Ibnu Sirin, ‘Ata’, Ibrahim dan al-Hasan berpandangan; upah/komisyen as-Samsarah adalah harus.

b) Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; Adalah harus seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian adalah milik kamu”. (*Akad ini mirip kepada yang ditanya dalam soalan di atas)

c) Berkata Imam Ibnu Sirin; Jika seorang berkata; “Juallah barang ini dengan harga sekian. Untungnya adalah milik kamu atau kita bahagi bersama”, hukumnya adalah harus.
(Soheh Imam al-Bukhari, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah)

Keharusan aktiviti orang tengah dengan akad seperti di atas menjadi pegangan Imam Ahmad. Namun di sisi Mazhab Syafiie dan Hanafi; akad seperti itu tidak harus kerana terdapat unsur gharar dan jahalah (yakni unsur ketidakpastian atau ketidakjelasan dalam akad) di mana orang tengah tidak pasti berapa upah/komisyen yang bakal diperolehinya kerana ia bergantung kepada terjual atau tidaknya barang tersebut. Ini kerana mazhab Syafiie meletakkan aktiviti as-Samsarah (orang tengah) sebagai akad ijarah (upah) dan dalam akad ijarah (upah), tidak harus berlaku gharar dan jahalah dengan sepakat para ulamak.

Adapun Imam Ahmad, akad di atas tidak dianggap sebagai akad ijarah (upah), akan tetapi akad yang mirip kepada mudharabah iaitu persepakatan antara pemodal dan orang yang menguruskan modal di mana untung yang diperolehi akan sama-sama dikecapi dan jika ditakdirkan rugi akan sama-sama ditanggung. Menyokong pandangan Imam Ahmad ini, Imam Ibnu Qudamah menegaskan dalam kitabnya al-Mughni; Jika seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini (untukku) dengan harga 10. Jika kamu menjual lebih dari harga itu, yang lebih itu adalah milikmu”, akad ini adalah sah dan orang yang menjual itu berhak terhadap lebihan tersebut…Dalil keharusan akad ini ialah; (pertama) Ibnu ‘Abbas berpandangan ia adalah harus, (kedua) penjual menjual dengan keizinan pemiliknya, maka sahlah syarat keuntungan tersebut untuknya sebagaimana sahnya keuntungan yang diperolehi oleh mudharib (pengurus modal) dan ‘amil (pekerja) dalam akad musaqah” . (al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Wakalah).

2. Namun sebagaimana dijelaskan oleh hadis tadi, persepakatan hanya harus jika tidak melanggar Kitab Allah dan hukum halal dan haram yang ditetapkan oleh Syariat. Kerana itu dalam aktiviti as-Samsarah (orang tengah), bukan persepakatan antara pemilik dan orang tengah sahaja yang perlu diperhatikan –untuk menentukan harus atau tidaknya aktiviti tersebut- tetapi juga kepatuhan kepada rukun dan syarat-syarat jual-beli dan memastikan tiada sebarang unsur yang ditegah Syarak dilakukan, antara yang utama ialah;
a) Barang yang dijual adalah halal. Tidak harus menjadi orang tengah untuk menjual atau mempromosi barang yang haram.
b) Tidak menipu pembeli dengan memberi maklumat palsu tentang barang yang dijual.
c) Tidak menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding dengan harga di pasaran bagi barang yang sama atau hampir sama. Sebahagian ulamak menetapkan beza harga di pasaran itu jangan melebihi 1/3 (atau 34%). Contohnya; jika suatu barang di pasaran biasa dijual dengan harga RM1000, jika kita menjualnya dengan harga RM1200 atau RM1300, tidak dianggap harga terlalu tinggi. Namun jika kita menjualnya lebih dari RM1340 –seperti menjualnya hingga RM1500 atau RM2000-, jualan kita dianggap terlalu tinggi.
d) Tidak melibatkan riba, perjudian, gharar, khidmat-khidmat yang haram dan sebagainya lagi yang ditegah Syarak.

3. Mengenai harga barang, tidaklah wajib kita memberi tahu pembeli berapa modal kita mendapatkan barang yang dijual (atau berapa untung yang kita ambil) sekalipun pembeli bertanya. Namun jika kita bersetuju memberitahunya, tidak harus kita memberi tahu melainkan yang sebenar. Menurut jumhur ulamak; tidak wajib penjual memberitahu pembeli kadar untung yang diambilnya. Sekalipun untung yang diambilnya tinggi dan pembeli tidak mengetahuinya, jual-beli atau perniagaan adalah sah selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan dalam aqad.

Berkata Imam al-Ghazali; “Selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan, maka mengambil untung tambahan tidaklah dikatakan zalim” (Ihya’ Ulumiddin). Berkata al-Jazairi; “Syarak tidak menegah dari mengambil untuk dalam jual-beli dan tidak menghadkan kadar tertentu bagi untung. Apa yang ditegah oleh Syarak ialah penipuan, pemalsuan, memuji barang/produk dengan keistimewaan yang sebenarnya tidak ada, menyembunyikan kecacatan barang dan sebagainya” (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).

Walaupun tiada batasan tertentu bagi untung yang harus diambil, hendaklah diraikan harga pasaran sebagaimana di atas tadi.

4. Merujuk kepada soalan di atas, bentuk akad yang ditanya itu adalah harus jika memenuhi syarat-syarat di bawah;
a) Dengan persetujuan pemilik tanah
b) Tidak ada sebarang penipuan dilakukan seperti menambah-nambah keterangan palsu tentang tanah tersebut supaya pembeli tertarik membelinya dengan harga tinggi.
c) Harga yang dijual tidak terlalu tinggi berbanding harga tanah di sekitarnya atau yang sebanding dengannya.
c) Jika ditanya tentang harga asal tanah, broker (orang tengah) boleh memilih sama ada ingin memberitahu atau tidak. Namun jika ia ingin memberitahu, hendaklah dengan maklumat sebenar, tidak harus menipu. Jika tidak, lebih baik ia senyap sahaja dan terserah kepada pembeli ingin meneruskan belian atau tidak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Soheh Imam al-Bukhari, juzuk 8, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 10, Kitab al-Wakalah.
3. Soal-Jawab MLM Syariah, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
4. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 121386.