Rabu, 01 Juni 2011

HUKUM ANAK PATUNG

Soalan; assalamulaikum ustaz...saya ingin bertanya apakah hukum sbnr menyimpan anak patung....sebab saya pernah dengar orang kata kalau nak simpan anak patung boleh tapi kena cacatkan anggotanya....adakah itu benar ustaz...

Jawapan;

Patung makhluk yang bernyawa –iaitu manusia dan haiwan- menurut jumhur ulamak; haram dibuat dan haram juga memilikinya. Hukum haram ini berdalilkan hadis-hadis yang melarang peniruan terhadap makhluk-makhluk bernyawa sama ada melalui lukisan, patung atau sebagainya. Antaranya sabda Nabi (bermaksud); “Semua orang yang membuat peniruan adalah dalam neraka. Di akhirat nanti makhluk yang ditirunya akan dijelmakan menjadi satu jiwa yang akan mengazabnya di dalam neraka. Jika kamu perlu melakukannya, buatlah peniruan terhadap pokok atau benda yang tidak bernyawa” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar (Imam as-Syaukani), juzuk 2, kitab al-Libas, bab Hukmi Ma Fihi Shurah Min as-Siyab…).

Dikecualikan dari pengharaman patung makhluk bernyawa di atas, patung-patung yang mempunyai ciri berikut;
1. Patung yang dibuat untuk mainan kanak-kanak
2. Patung yang tidak dimuliakan iaitu yang diletakkan di atas tanah tanpa sebarang kebesaran. Adapun patung yang digantung didinding atau dijadikan perhiasan di atas meja dan sebagainya, diharamkan.
3. Patung yang tidak sempurna jasadnya iaitu terpotong anggotanya di mana bagi haiwan hidup dengan ketiadaan anggota itu ia tidak dapat hidup seperti patung yang tiada kepala, patung setakat dada atau seumpamanya.
4. Patung yang tidak kekal seperti patung dari coklat, tepung, ukiran dari buah atau seumpamanya.

Terdapat segolongan ulamak hanya mengharamkan patung yang dibuat untuk sembahan sahaja, iaitu patung-patung berhala. Adapun patung-patung yang lain, tidaklah diharamkan. Pandangan ini dinaqalkan oleh Imam an-Nuhhas, Makki bin Abi Thalib dan Ibnu al-Furs.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “tashwir”.

INGIN MEMBATALKAN NAZAR

Soalan; ASSALAMUALAIKUM, Saya Ridzuan dari Sepang, saya ingin bertanya tentang hukum menyempurnakan nazar?
1. Sekiranya saya telah berniat nazar (yang baik) tetapi saya ingin membatalkan/menukarkan niat nazar itu kepada yang lain, apakah yang saya perlu lakukan?
2. Untuk makluman pihak tuan saya telah bernazar untuk menyedekahkan 5% gaji saya selama saya berkerja kepada yang memerlukan sekiranya saya mendapat perkerjaaan.
3.Semasa saya membuat lafaz tersebut saya agak yakin yang saya mampu melaksanankannya, tetapi selepas difikirkan kembali saya menjadi gusar sekiranya saya tidak dapat menyempurnakan nazar saya tersebut.

Jawapan;

Wajib ke atas orang yang bernazar (dengan nazar ketaatan) menunaikan nazarnya selagi ia mampu menunaikannya. Allah berfirman di dalam al-Quran (yang bermaksud); “…dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka…”. (al-Haj: 29). Sabda Nabi –shallalahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah ia mentaatiNya (yakni menunaikan nazarnya)…” (HR Imam al-Bukhari dan at-Tirmizi dari Saidatina ‘Aisyah r.a.).

Jika ia tidak mampu menunaikan nazarnya, gugur nazar itu selama tempoh tidak mampu itu, namun apabila ia kembali mampu wajiblah ia menunaikan semula nazarnya. Oleh demikian, orang yang bernazar untuk bersedekah –seperti kes di atas-, kemudian ia ditimpa susah (tidak mampu bersedekah), gugur sedekah nazar itu darinya selama tempoh ia susah itu, kemudian jika ia senang (dilapangkan rezki oleh Allah), ia wajib melaksanakan semula nazarnya untuk bersedekah itu.

Jika ia meyakini keadaan kesusahannya itu tidak akan berubah –yakni ia tidak akan mampu melaksanakan nazarnya itu buat selamanya-, sebahagian ulamak berpandangan; ia hendaklah menggantikan nazarnya itu dengan membayar kaffarah sumpah dan dengan itu ia bebas dari nazarnya. Ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa bernazar dengan suatu nazar yang tidak mampu ditunainya, maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah” (HR Imam Abu Daud dengan sanad yang soheh dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Kaffarah sumpah ialah dengan memilih salah satu dari tiga perkara;
1. Memberi makan sepuluh orang miskin, atau;
2. Memberi pakaian untuk mereka, atau;
3. Membebaskan seorang hamba.
Jika tidak berupaya melakukan satupun darinya, hendaklah berpuasa tiga hari. Sila rujuk surah al-Maidah, ayat 89.

Kesimpulan; untuk membatalkan nazar dengan sengaja, tidak harus. Adapun jika tidak mampu melaksanakannya, harus menangguhnya sehingga mampu. Jika kemampuan untuk melaksanakannya hilang sepenuhnya, hendaklah diganti dengan kaffarah sumpah.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkaraan “Nazr”.