Selasa, 28 Agustus 2012

BILANGAN PENYUSUAN

Soalan; Assalamualaikum..Saya menyusukan anak kawan saya.Tapi sekali penyusuan sahaja.Adakah anak
itu jadi anak susuan saya?

Jawapan;

Belum menjadi anak susuan kerana bilangan penyusuan yang ditetapkan Syariat ialah 5 kali penyusuan barulah anak itu menjadi anak susuan.Dalil mereka ialah hadis dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Pada permulaannya diturunkan di dalam al-Quran; sepuluh kali penyusuan yang diketahui (yakni berasingan) barulah akan mengharamkan (yakni menimbulkan ikatan mahram). Kemudian dinasakhkan bilangan sepuluh kali itu dengan lima kali penyusuan yang diketahui. Rasulullah wafat dalam keadaan bilangan penyusuan itu masih merupakan ayat yang dibaca dari al-Quran”. (HR Imam Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai).

Wallahu a'lam.

HUKUM ISTERI MINTA CERAI

Soalan; asmkwbt Ustaz; apakah hukumnya seorang wanita meminta "dilepaskan" daripada suaminya.
(berdosa atau haram?). semoga jawapan ustaz dapat menenangkan hati dan perasaan saya. terima kasih

Jawapan;

Terdapat sabda Nabi SAW (bermaksud); "Mana-mana wanita (isteri) meminta cerai dari suaminya tanpa ada suatu desakan, haram ke atasnya mencium bau Syurga(yakni akan ditegah dari mencium bau Syurga)" (HR Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Tsauban RA. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan. al-Jami' as-Saghier, no. hadis; 2944).

Dari hadis di atas kita memahami bahawa; sengaja meminta penceraian dari suami hukumnya adalah haram dan berdosa. Namun jika ada ada desakan atau sebab yang munasabah, hukumnya adalah harus. Menurut ulamak; contoh desakan ialah; suami yang zalim, suka mendera isteri, tidak memberi nafkah dan mengabaikan tanggungjawab atau sebagainya. Atau isteri merasakan tidak upaya lagi menunaikan tanggungjawab kepada suami jika kekal bersama. Kerana itu, diharuskan khulu' (tebus talak) iaitu isteri meminta suami menceraikannya dan berjanji memberinya suatu bayaran atau mengembalikan mas kahwinnya.

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; Isteri kepada Tsabit bin Qies telah datang kepada Nabi SAW (untuk menyatakan hasratnya meminta cerai dari suaminya). Ia berkata kepada Nabi SAW; "Ya Rasulullah SAW, aku ingin meminta cerai dari Tsabit (suamiku) bukan kerana aku mencela agamanya dan akhlaknya, akan tetapi aku bimbang menjadi kufur (engkar)(*yakni kufur dalam pengertian engkar hak/kewajipan terhadap suami atau memilih untuk kufur (murtad) supaya terfasakhnya nikah)". Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya; "Sanggupkah kamu mengembalikan tanah kebun yang ia berikan kepadamu sebagai mas kawin ketika perkahwinan kamu dulu?". Ia menjawab; "Ya, aku sanggup". Ia pun mengembalikan tanah kebun itu. Rasulullah lalu berkata kepada Tsabit; "Ceraikanlah dia". (HR Imam al-Bukhari. Soheh al-Bukhari, 5276).

Wallahu a'lam.