Selasa, 25 September 2012

ANAK 8 TAHUN MASIH TIDUR BERSAMA IBU DAN BAPA

Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.

Jawapan;

Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri  berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 58).

Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a)      Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b)      Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c)       Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-; “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).

Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).

Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).

Rujukan;

1.       az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2.       al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3.       Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4.       al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178

PENAMA, AMBIL INSURANS UNTUK TAMPUNG HUTANG & HUTANG BANK

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, mohon penjelasan ustaz;

1. Harta yg kita miliki dan isteri kita sekarang, contohnya kereta, rumah, wang atau tanah perlukah diletakkan penama atau org yg akan mewarisinya kelak jika kita meninggal dunia. Jika diletakkan, adakah ia akan dikira sebagai hibah, atau ianya dikira harta pusaka yg wajib dibahagi mengikut hukum faraid setelah peninggalan kita. Jika tidak diletakkan penama, apakah risiko yg akan kita hadapi setelah meninggal nanti. Untuk kereta dan rumah yang dibeli secara loan, wajibkah kita mengambil insurans hayat untuk diri kita bagi keperluan jika ketiadaan kita nanti, baki pinjaman tersebut ditanggung oleh pihak insurans dan kita tidak lagi menanggung hutangnya setelah berada di alam sana.

2- Jika kita telah memiliki loan untuk membeli keperluan berbentuk hajiyat atau dharuriat seperti rumah dan kereta, haruskah kita membuat loan ketiga, contohnya loan peribadi untuk membeli rumah bg disewakan atau untuk keperluan bisnes2 yg lain, kerana loan ketiga ini bukan lagi dharuriat, cuma sebagai menambah pendapatan sahaja, di mana dengan menambah pendapatan itu kita dapat menderma dan sebagainya. Ini kerana, walaupun sistem pinjaman Islam yg ada pada hari ini dan diamalkan oleh kebanyakan bank, kita dapati unsur2 penindasan masih lagi wujud, di mana pinjaman yg berjumlah besar dan memakan tempoh yg lama contohnya rm200 ribu untuk tempoh selama 20 tahun, pihak bank mengenakan keuntungan hampir sama dengan jumlah pinjaman yg dipohon (walaupun pinjaman tersebut islamik). Jadi, adakah harus menurut pendapat ustaz sendiri dan menurut pendangan islam kita membuat loan ketiga dalam keadaan seperti ini dan bukan untuk perkara yg dharuriat atau hajiyat seperti yg dinyatakan tadi.
Sekian.
 
Jawapan;
 
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah,

1. Perlu atau tidak meletakkan penama pada harta adalah bergantung kepada maslahah pemilik harta dan waris-warisnya. Namun menurut fatwa ulamak; Penama tidak lebih dari pemegang amanah sahaja. Apabila berlaku kematian pemilik harta, penama wajib menguruskan harta tersebut dengan membahagikannya kepada waris-waris si mati. Ia tidak boleh dianggap hibah kerana hibah ialah pemberian ketika hidup dan hibah hanya dikira sah apabila telah diterima/dipegang oleh penerima hibah (yakni telah bertukar nama/milik kepadanya). Oleh kerana harta/wang yang ditinggalkan itu masih atas nama si mati, maka harta itu dianggap harta peninggalan si mati dan mesti diagihkan kepada waris-warisnya setelah ditolak hutang-hutang dan wasiatnya (jika ada).

2. Mengambil insuran (yang islamic; takaful atau sebagainya) untuk menampung hutang apabila mati kelak suatu yang baik untuk mengelak kita dari masih menanggung hutang apabila mati kelak. Mati dengan menanggung hutang dan tidak ada orang/pihak yang sanggup mengambil alih hutang tetsebut, menyebabkan berlaku apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadisnya;

 نفس المؤمن معلقة بدينه حتى يقضى عنه
"Roh orang beriman tergantung dengan hutangnya hinggalah dilunaskan bagi pihaknya" (HR Imam at-Tirmizi. hadis hasan). 
 
Maksud "tergantung dengan hutangnya' ialah; darjat kemuliaan yang hendak diberikan kepadanya tertahan dengan sebab hutangnya di dunia yang belum dilunaskan hinggalah apabila hutang itu dilunaskan barulah darjah kemuliaan itu diberikan kepadanya" (Faidhul-Qadier, no. 9281).
 
3. Berhutang dengan bank hari ini tidak digalakkan kerana sistem yang dipakai ialah Bai' al-'Inah. Ia ditolak oleh jumhur ulamak kerana mirip kepada riba dan dilarang oleh Nabi SAW dalam hadisnya;

إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِينَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمْ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ ذُلًّا لَا يَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ
“Jika kamu saling berakad jual beli secara ‘Inah dan kamu sibuk dengan ternakan lembu dan tanaman kamu sehingga kamu meninggalkan jihad, nescaya Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu yang tidak akan hilang kehinaan itu selama kamu tidak kembali kepada agama kamu” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu 'Umar RA).

Bai’ al-‘Inah ialah seseorang menjual suatu barang kepada seorang yang lain dengan harga bertangguh, kemudian ia membeli semula barang itu dari pembeli tadi dengan bayaran tunai tetapi dengan harga yang lebih bawah dari harga jualannya tadi. Contohnya; Ali menjual kepada Ahmad sebuah kereka dengan harga RM20 ribu dan dibayar tangguh. Kemudian Ali membeli semula kereta dari Ahmad dengan membayar tunai tetapi harganya RM 15 000 sahaja.

Jual beli di atas menurut jumhur ulamak (termasuk Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad) adalah haram kerana ia adalah helah untuk menghalalkan riba iaitu pinjaman dengan syarat pembayaran lebih. Dalam kes di atas, seolah-olah Ali meminjamkan RM 15 000 kepada Ahmad dengan mengenakan pembayaran RM 20 000. Penjualan barang dimasukkan hanya sebagai helah untuk menghalalkan pinjaman riba tersebut bukan menjadi maksud akad.

Wallahu a'lam.