Kamis, 10 Juli 2008

MENCARI REZKI MELALUI NYANYIAN

Soalan; Assalamu'alaikum wr. wb. Ustaz. Apakah hukum menyanyi dalam Islam dengan tujuan utk mencari rezeki?

Jawapan;

Hukum nyanyian telah menjadi khilaf di kalangan ulamak. Ada yang mengharamkannya secara keseluruhannya dan ada yang mengharuskannya dengan bersyarat. Tidak ada ulamak yang mengharuskan nyanyian secara mutlak tanpa bersyarat. Jumhur ulamak silam mengharamkan nyanyian atau memakruhkannya. Namun tidak sedikit juga ulamak silam yang mengharuskannya –dengan syarat tidak bercampur dengan perkara-perkara yang haram-, antara mereka Sa’id bin al-Musayyab, Qadhi Syuraih, Imam ‘Atho bin Abi Rabah, Umar bin Abdil-Aziz, az-Zuhri, Imam al-Ghazali, Imam Daud dan Ibnu Hazm.

Di kalangan ulamak-ulamak semasa hari ini, ulamak-ulamak aliran Salafiyyah amat keras menentang nyanyian, antara mereka ialah Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Bin Baz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Usaimin dan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Hujah mereka –antaranya- ialah;

1. Firman Allah (bermaksud); “Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu/pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan”. (Surah Luqman, ayat 6).

Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a.; maksud lahwal-Hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian. Berkata Imam Hasan al-Basri; ayat di atas diturunkan kepada nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulamak berpendapat; lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi dari kalangan jariyah (hamba perempuan).

2. Sabda Nabi s.a.w.; “Akan ada di kalangan umatku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. Dalam riwayat yang lain (baginda bersabda); “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” (Riwayat Imam Bukhari dan Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari).

Namun tokoh-tokoh ulamak al-Azhar (Mesir) –antaranya Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail dan Dr. ‘Ali Jum’ah Muhammad (Mufti Mesir sekarang)- cenderung kepada pandangan kedua iaitu mengharuskannya dengan bersyarat. Ini kerana menurut mereka asal sesuatu menurut hukum Syarak –termasuk nyanyian- adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menegaskan sebaliknya iaitu haram. Setakat ini tidak ada dalil secara soreh (terang tanpa berselindung) yang mengharamkan nyanyian secara mutlaknya. Yang ada adalah dalil umum yang menyentuh tentang lahwal-hadis, al-laghwa dan al-bathil yang kemudiannya dikaitkan dengan nyanyian. Sedangkan menurut mereka bukan semua nyanyian dapat dikatakan sebagai lagha dan batil. Ada nyanyian yang bebas dari unsur-unsur tersebut seperti nyanyian nasyid dan sebagainya. Nanyian sama seperti perkara-perkara harus yang lain; ia boleh dibawa ke arah yang halal dan boleh ke arah yang haram. Pisau contohnya, sememangnya ia boleh menjadi senjata membunuh, tetapi pada masa yang sama ia juga boleh menjadi alat penyembelih binatang korban dan sebagainya yang halal-halal. Jadi yang haram itu bukan pisau, tetapi cara penggunaannya. Begitu juga nyanyian; yang haram itu bukan semata-mata nyanyian, tetapi lirik dan cara nyanyian itu dipersembahkan.

Mengenai dalil-dalil yang dikemukakan oleh golongan pertama di atas, mereka menjawab;

1. Mengenai pengertian Lahwal-Hadith dalam ayat 6 dari surah Luqman di atas, bukan semua ulamak mentafsirkannya dengan maksud nyanyian sebagaimana tafsiran Abdullah bin Mas’ud. Imam ad-Dhahhak mentafsirkannya dengan makna Syirik. Tafsiran beliau disetujui oleh Imam Ibnu Aslam. Imam Ibnu Jarir mengemukakan tafsiran yang lebih umum di mana menurut beliau Lahwal-Hadith yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah segala ucapan yang memalingkan manusia dari ayat-ayat Allah dan dari jalanNya. Jadi, jika kita memakai tafsiran Imam ad-Dhahhak, nyanyian yang tidak terkandung di dalamnya ungkapan-ungkapan syirik bukanlah lahwal-Hadith yang dicela oleh Allah di dalam ayat di atas. Jika tafsiran Ibnu Jarir pula yang dijadikan rujukan, maka sekiranya nyanyian yang didendangkan tidak memalingkan manusia dari ayat Allah atau jalanNya, ia juga tidak dicela. Kesimpulannya, nyanyian semata-mata tidaklah dicela walaupun tidak dinafikan ia adalah lahwu (hiburan). Ia hanya akan dicela jika mengandungi unsur syirik atau unsur yang menyesatkan manusia. Kesimpulan ini menjadi lebih jelas apabila kita perhatikan struktur ayat di mana Allah mengaitkan Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) itu dengan ungkapan “…untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah..”, menunjukkan bahawa jika tanpa niat atau tujuan tersebut, ia tidaklah dicela oleh Allah. Jika kita menganggap keseluruhan al-Lahwu (hiburan) adalah haram dan tercela, maka seluruh hidup duniawi ini adalah haram dan tercela kerana Allah berfirman (bermaksud); “Sesungguhnya kehidupan dunia ini (tidak lebih dari) mainan dan hiburan (lahwu)” (Surah Muhammad, ayat 36). Namun tidak ada ulamak yang pernah berkata sedemikian.

2. Mengenai hadis pula, amat jelas di dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. mengaitkan nyanyian dan alat-alat bunyian dengan arak dan zina, menunjukkan bahawa yang menjadi masalah bukanlah pada nyanyian atau muzik semata-mata, akan tetapi pada percampurannya dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Syarak. Jika nyanyian itu bersih dari sebarang unsur yang diharamkan Syarak dan orang yang mendengarnya tidak sampai lalai dari kewajipannya, maka ia kekal pada hukum asalnya ialah harus. Di antara dalil yang menunjukan keharusan nyanyian ialah hadis yang yang menceritakan; satu hari Saidina Abu Bakar r.a. masuk untuk bertemu Nabi s.a.w. di rumah ‘Aisyah r.a.. Beliau melihat ada dua orang hamba wanita sedang menyanyi berhampiran ‘Aisyah. Beliau menengking mereka dengan berkata; “Apakah seruling Syaitan dibenarkan berkumandang dalam rumah Rasulullah s.a.w.?”. Lalu Nabi s.a.w. berkata beliau; “Biarkanlah mereka wahai Abu Bakar. Hari ini adalah hari raya” (HR Bukhari dan Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.).

Sebagaimana yang kita sebutkan di awal tadi bahawa tidak ada ulamak yang mengharuskan nyanyian secara mutlaknya. Keharusan nyanyian adalah bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang telah ditetapkan ulamak bagi nyanyian yang diharuskan ialah;

1. Hendaklah apa yang diperkatakan di dalam nyanyian itu (yakni lirik atau senikatanya) menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.

2. Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting untuk diperhatikan. Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya penyanyi mempersembahkan nyanyian menimbul ghairah orang yang melihatnya atau membangkitkan nafsu mereka –seperti penyanyi perempuan yang tidak menutup aurat dan dengan suara menggoda-, maka nyanyian sebegitu adalah diharamkan walaupun senikatanya baik.

3. Tidak berlebihan hingga melalaikan dari kewajipan hidup yang sebenar dan lebih utama.

Merujuk kepada soalan saudara “adakah harus mencari rezki dengan menyanyi?”, jawapannya adalah kembali kepada khilaf di atas. Jika kita memilih pandangan kedua, maka mencari rezki melalui bidang nyanyian adalah harus tetapi wajiblah orang yang terlibat menjaga semua syarat-syarat di atas.

Wallahu a’lam.

Jawapan berkaitan; masalah berkaitan muzik (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/06/masalah-berkaitan-muzik.html)


Rujukan;

1. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram.
2. Fatawa Dr. Yusuf al-Qaradhawi (jil. 1)
3. Fiqh al-Usrah al-Muslimah (Syeikh Hasan Ayyub).
4. Yasalunaka ‘an ad-Din Wa al-Hayah (Fatawa Syeikh Ahmad as-Syirbasi, jil 1).
5. al-Kalim at-Thaiyyib (Fatawa Dr. ‘Ali Jum’ah Muhammad).
6. Baina as-Sail Wa al-Faqih (Fatawa Dr. Muhammad Bakar Ismail).
7. Tafsir Ibnu Kathir.

[1] Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 784.
thumbnail
Judul: MENCARI REZKI MELALUI NYANYIAN
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Harta) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz