(1) Antara air mani dan air kencing yang mana lagi kotor (berat)? Kalau air kencing lebih berat, kenapa air kencing kita basuh di kawasan itu sahaja, tetapi keluarnya air mani mewajibkan kita mandi?
(2) Antara ibadah solat dan puasa, yang mana lebih utama? Kalau solat lebih utama, kenapa wanita yang tidak boleh solat yakni datang haid tidak wajib mengqada' solatnya? tetapi, jika wanita tersebut (datang haid) meninggalka fardhu puasa, wajib pula mengqada' puasanya..
Semoga al fadhil ustaz dapat menyelesaikan kemusykilan saya ini..terima kasih ya ustaz..assalamualaikum..
Jawapan;
1) Mandi kerana keluar mani bukanlah disebabkan faktor najisnya mani itu , tetapi kerana arahan dari Syarak. Arahan itu terkandung dalam firman Allah; "Dan jika kamu berjunub (berhadas besar kerana bersetubuh atau keluar mani) maka bersucilah (dengan mandi wajib)" (al-Maidah; 6). Dan dalam sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).
Antara hikmah kita disuruh mandi -menurut ulamak- ialah untuk mengembalikan kesegaran badan kerana kebiasaannya mani keluar dengan disusuli selepasnya keletihan badan. Para ulamak menjelaskan, ada tiga sifat mani yang membezakannya dengan air-air yang lain yang keluar dari kemaluan manusia;
1. Keluar dengan disertai syahwah dan diikuti dengan keletihan selepasnya.
2. Baunya seperti bau mayang tamar, iaitu hampir-hampir kepada bau tepung diuli.
3. Keluarnya adalah dengan memancut.(Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 3, kitab al-Haidh)
Jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi'ie) menegaskan; air mani tidaklah najis kerana ia adalah asal kejadian makhluk. Jika mengenai pakaian, tidaklah wajib dibasuh, cuma disunatkan sahaja membasuhnya kerana kelihatan kotor. Jika seseorang menunaikan solat dengan ada kesan mani di pakaiannya, tidak batal solatnya; tidak perlu ia berhenti solat atau mengulangi solatnya.
Adapun air kencing, telah ijmak ulamak menyatakan ia adalah najis kerana telah sabit dari Syarak atas kenajisannya. Dalam menangani najis, tidak ada nas yang menyuruh kita mandi. Yang ada hanyalah nas yang menyuruh kita membasuhnya sahaja. Itulah cara yang ditetapkan Syarak untuk membersih najis. Oleh kerana mani dan air kencing statusnya tidak sama, maka antara keduanya tidak boleh dibandingkan. Akan tetapi hendaklah kita merujuk ketetapan Syarak yang ada.
2) Masalah qadha puasa dan solat juga kembali kepada ketetapan Syarak (al-Quran dan as-Sunnah). Syarak menetapkan kedua-dua solat dan puasa adalah wajib ke atas lelaki dan juga wanita. Syarak juga menetapkan pengecualian bagi wanita-wanita yang kedatangan haid dan nifas untuk tidak melakukan dua ibadah tersebut sebagai keringanan untuk mereka memandang situasi yang mereka hadapi. Kewajipan mengqadha puasa dan tidak perlu mengqadha solat juga ditetapkan oleh Syarak. Ketetapan qadha itu tiada kaitan dengan ibadah yang paling baik/utama antara dua ibadah tersebut. Akan tetapi ia kembali kepada keringanan yang ingin diberikan Syarak untuk kaum wanita. Kewajipan puasa (Ramadhan) datang setahun sekali sahaja, jadi tidak banyak puasa yang perlu diqadha oleh wanita yang tidak dapat berpuasa di bulan Ramadhan kerana keuzuran semulajadinya itu. Lagipun tempoh qadha amat panjang iaitu selama 11 bulan (yakni sebelum datangnya Ramadhan tahun berikutnya). Adapun solat, ia berulang setiap hari. Tentu sukar jika hendak diqadha oleh wanita yang terpaksa meninggalkannya bukan dengan kehendak sendiri tetapi kerana ketetapan Syarak. Cuba bayangkan berapa banyak solat yang perlu diqadha oleh seorang wanita yang kedatangan haid selama 10 hari jika Syarak mewajibkannya mengqadha solatnya yang tertinggal sepanjang tempoh itu. Islam adalah agama yang mudah yang sentiasa memberi keringanan kepada umatnya. Firman Allah; "Dan Allah tidak membebankan ke atas kamu sebarang kepayahan dalam agama" (al-Hajj; 78).
3) Kesimpulannya, urusan ibadah dan hal-hal yang bersangkutan dengan ibadah, kita tertakluk sepenuhnya kepada arahan dan ketetapan Syarak (yakni Allah dan RasulNya melalui kitab al-Quran dan as-Sunnah). Ia bersifat ta'abbud (yakni dilakukan sebagai tanda kepatuhan kepada Allah) walaupun tidak sampai akal kita memikirkan tentang lojiknya. Contohnya; kenapa solat subuh dua rakaat sahaja, tidak tiga atau empat. Kenapa menyapu khuf diwajibkan di bahagian atas kasut bukan di bahagian bawahnya. Kenapa perlu berniat ketika mandi, ketika mengambil wudhuk dan sebagainay? Kenapa apabila kita batal wudhuk kerana terkentut kita membasuh muka, tangan, kepala dan kaki tetapi tidak pula membasuh tempat kentut. Kenapa di dalam solat kita merendah diri kepada Allah setakat sujud sahaja (yakni meletakkan dahi atas lantai), kenapa tidak sampai meniarap (yakni meletakkan semua anggota badan atas lantai)?
Sememangnya semua ibadah yang disyari’atkan ada hikmah dan rahsia disebaliknya, tetapi bukan hikmah itu yang menjadi ghayah atau matlamat asas kita dalam melakukan ibadah. Ghayah atau matlamat ibadah ialah untuk mencapai keredhaan Allah dengan menunjukkan kepatuhan kita sebagai hamba Allah. Apabila matlamat atau ghayah ini dapat kita capai, maka dengan sendirinya hikmah atau rahsia itu akan terdedah satu demi satu kepada kita. Adapun menunggu terdedahnya hikmah dan rahsia terlebih dahulu baru kita tergerak untuk beribadah kepada Allah, maka itu bukan tabi’at hamba yang sebenarnya.
Wallahu a’lam.
Judul: ANTARA AIR MANI DAN AIR KENCING, ANTARA SOLAT DAN PUASA
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh 15.30
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh 15.30
0 comments:
Posting Komentar