Sabtu, 02 Agustus 2008

KELUAR ANGIN MELALUI KEMALUAN HADAPAN

Soalan; saya menghadapi masalah sering mengeluarkan angin bahagian depan. Adakah ia membatalkan wudhuk saya? Bagaimana kiranya ia berlaku waktu solat? Kerana apabila rukuk atau sujud yg mana memberi tekanan pada bahagian ari-ari, angin itu akan keluar keluar. Adakah saya perlu perbaharui wudu dan sembahyang saya? Buat masa ni saya teruskan juga sembahyang saya. Kerana saya kira ia satu penyakit. Kalau tidak, mcmana? Saya mulai was-was dlm solat saya. Kiranya tidak sah solat saya, kenalah saya qada ya?

Jawapan;

Telah disepakati oleh ulamak bahawa batal wudhuk jika yang keluar dari kemaluan itu (sama ada depan atau belakang) adalah benda-benda yang biasa keluar iaitu tahi, air kencing, air madi, air mazi dan kentut. Adapun jika yang keluar ialah yang luar biasa (yakni jarang berlaku) seperti batu, darah atau sebagainya, para ulamak berbeza pandangan;
Pertama; menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Syafi'ie, Abu Hanifah dan Ahmad); batal wudhuk.
Kedua; menurut mazhab Maliki; tidak batal wudhuk.
Dinisbah kepada kemaluan hadapan, keluar angin darinya merupakan suatu yang luar biasa (jarang berlaku). Maka mengikut pandangan jumhur, ia tetap membatalkan wudhuk. Bagi Imam Malik pula; tidaklah membatalkan wudhuk kerana bagi beliau; perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan tidak membatalkan wudhuk.

Merujuk masalah puan, jika pandangan jumhur ulamak yang dijadikan panduan, maka wajiblah puan berhenti dari solat dan mengambil wudhuk semula dan kemudian mengulangi semula solat. Itu sekiranya masalah tersebut berlaku sekali-sekala kepada puan. Adapun jika ia menjadi masalah berterusan kepada puan -yakni keluar angin itu tanpa menentu termasuk adakalanya waktu solat-, maka puan menghadapi keuzuran yang sama seperti wanita istihadhah (yakni wanita yang keluar darah penyakit dari kemaluannya tanpa henti) dan orang yang menghadapi masalah sulasul-baul (kencing tak putus). Apa yang perlu puan lakukan ialah;
1) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu
2) Apabila masuk waktu solat, ambil wudhuk sebagaimana biasa. Jika tengah mengambil wudhuk angin keluar dari kemaluan, jangan hiraukan dan teruskan wudhuk hingga selesai.
3) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.4) Jika semasa solat itu puan merasakan angin keluar dari kemaluan, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana puan dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.
5) Setiap kali hendak solat fardhu, hendaklah puan memperbaharui wudhuk puan. Tidak harus memakai wudhuk yang sama kecuali untuk mengerjakan ibadah-ibadah sunat sahaja (iaitu solat-solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya). Untuk ibadah wajib, hendaklah diulangi semula wudhuk.

Firman Allah (bermaksud); "Bertakwalah kepada Allah sehabis yang kamu mampu" (al-Quran). Maka, apabila puan telah melakukan ibadah mengikut yang termampu oleh puan, tidak perlulah puan merasa syak atau was-was lagi. Begitu juga, tidak perlu puan mengqadha semula solat yang dilakukan kerana puan telah berusaha melakukan apa yang terdaya dilakukan. Dalam kaedah fiqh ada disebutkan; "Orang dalam kepayahan harus baginya mengambil kemudahan". Untuk tambahan, baca juga; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/kencing-tak-lawas.html)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 1.
2. at-Tahzib Fi al-Fiqh as-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, jil. 1.
3. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/138.
thumbnail
Judul: KELUAR ANGIN MELALUI KEMALUAN HADAPAN
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Ibadah :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz