Minggu, 11 Juli 2010

“DUIT POKET”; PERLUKAH SAMA RATA ANTARA ISTERI?

Soalan; As Salam. Saya isteri kedua dan telah beberapa tahun berkahwin. Suami berpangkat dan bergaji Alhamdulillah. Soalan saya :-
1. Saya musykil tentang ‘Duit poket’ (duit untuk kegunaan peribadi isteri seperti membeli baju, simpanan tabung haji, alat solek, kasut dsbgnya) dari suami. Adakah perlu berbeza atau sama adil.
2. Suami saya memberi duit poket (duit untuk kegunaan peribadi) kami berbeza dengan dilebihkan pada isteri pertama, suami saya mengambil pendekatan bahawa kerana saya bekerja
dan gaji saya lebih tinggi manakala isteri pertama bekerja tetapi dengan gaji yang rendah.
Sekian, Terima Kasih

Jawapan;

1) Suami wajib memastikan semua isteri mendapat hak-hak yang asas sebagai isteri merangkumi;
a) Makan-minum
b) Tempat tinggal
c) Pakaian
d) Pembahagian malam (sama rata)
e) Layanan yang baik

Yang perlu diberikan ialah dengan kadar yang mencukupi dan memenuhi keperluan setiap isteri dengan mengambil kira kemampuan suami dan juga situasi isteri serta anak-anak.

2) Itu adalah keadilan minima yang dituntut oleh Syarak dari suami untuk semua isterinya. Adapun yang selebih dari hak-hak yang asas tadi, harus berlaku kurang-lebih dalam pemberian yang diberikan suami kepada isteri-isterinya terutamanya apabila ada alasan untuk ia berbuat demikian seperti sebahagian isteri berkerja dan sebahagian yang lain tidak berkerja, atau sebahagiannya dari golongan berada dan sebahagiannya miskin. Berkata Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; “Apabila suami telah menyempurnakan untuk setiap seorang dari isteri-isterinya keperluan pakaian, nafkah dan tempat tinggal mereka, maka tidaklah menjadi kesalahan kepadanya (jika tidak menyamaratakan) apa yang selebih dari itu sama ada yang berupa kecenderungan hati atau pemberian” (Fathul-Bari, 9/313). Berkata Imam Ibnu Qudamah; “Tidaklah wajib ke atas suami memastikan penyamarataan pada nafkah dan pakaian (untuk isteri-isterinya) apabila ia telah melaksanakan kadar yang wajib untuk setiap dari mereka” (al-Mughni, 7/32).

3) Al-Quran sendiri mengakui bahawa suami tidak akan mampu berlaku adil sepenuhnya kepada semua isterinya. Pasti akan wujud ketidaksamarataan pada mana-mana aspek, namun sekali-kali suami tidak boleh membiarkan ada isterinya yang terabai sepenuhnya. Firman Allah (bermaksud); “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka Sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani”. (an-Nisa’, ayat 129).

Wanita yang bersetuju untuk hidup bermadu seharusnya memahami hakikat tersebut iaitu hakikat bahawa mustahil suaminya dapat menyamaratakan isteri-isterinya dalam segenap aspek. Ia boleh berusaha untuk memenangi hati suaminya agar ia paling dikasihi suaminya, namun tidak harus ia menghasut suaminya supaya hanya mengasihinya sahaja dan mengabaikan isteri-isteri yang lain. Perbuatan tersebut bermakna ia mengajak suaminya melakukan dosa yang ditegah dalam ayat di atas.

4) Berbalik kepada soalan puan, tidak menjadi kesalahan bagi suami puan untuk memberikan belanja poket yang tidak sama antara puan dan madu puan setelah ia memenuhi semua keperluan asas di atas kepada semua isterinya. Jika puan tidak berpuas hati dengan tindakannya itu, berbincanglah dengannya secara baik dan elok. Jika puan dapat meredhainya itulah yang sebaik-baiknya. Adakalanya Allah tidak mengurniakan kelebihan harta kepada kita, tetapi dikurniakan kelebihan-kelebihan yang lain.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Ta’addud az-Zaujaat, hlm. Sadinah Idris Abdul-Karim az-Zawiyy, hlm. 15.
2. Kitab Ta’addud az-Zaujaat Fi al-Islam, Muhammad bin Misfar at-Tawil, hlm. 17.
3. Al-‘Adl Fi at-Ta’addud, Dr. ‘Abdullah at-Tayyar, hlm. 59.
thumbnail
Judul: “DUIT POKET”; PERLUKAH SAMA RATA ANTARA ISTERI?
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Keluarga) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz