Senin, 05 Juli 2010

TURUN SUJUD; LUTUT DULU ATAU TANGAN DULU?

Soalan; Assalamualaikum, Terima kasih atas maklum balas ustaz ke atas soala saya tempoh hari. Ini ada beberapa kemusykilan yang memerlukan pandangan ustaz.
1. Dalam solat ketika mahu sujud, bahagian badan mana yang perlu menyentuh sejadah dahulu? tangan atau lutut?
Terima kasih.

Jawapan;

Perkara tersebut terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Syafi’ie, Imam Ahmad, ); disunatkan turun sujud dengan mula meletakkan dua lutut, diikuti dua tangan dan akhirnya muka atau dahi. Ini berdasarkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang menceritakan;

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَجَدَ يَضَعُ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ وَإِذَا نَهَضَ رَفَعَ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ
“Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya” (Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kedua; pandangan sebahagian ulamak (antaranya Imam Malik, al-Auza’ie, Ibnu Hazm dan sebagainya); sunat mendahulukan dua tangan dari dua lutut tatkala turun sujud. Ini berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi –sallallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Jika seseorang dari kamu sujud, janganlah ia berteleku sebagaimana telekunya unta (iaitu dengan meletakkan dua lututnya terlebih dahulu sebelum dua tangan-pent.), sebaliknya hendaklah ia meletakkan dua tangannya terlebih dahulu sebelum dua lututnya” (Riwayat Abu Daud, at-Nasai dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Begitu juga, berdalilkan hadis dari Nafi’ yang menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar r.a. semasa sujud, beliau meletakkan dua tangannya sebelum dua lututnya. Kata beliau (yakni Ibnu ‘Umar); “Nabi telah melakukan sedemikian” (Riwayat Imam al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat; Zadul-Ma’ad, 1/228).

Menurut ahli-ahli hadis; hadis Wail bin Hujrin –radhiyallahu ‘anhu- yang dijadikan hujjah oleh jumhur ulamak adalah dhaif. Kerana itu, ulamak-ulamak hadis berpegang dengan pandangan kedua sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Abi Daud (lihat; Tuhfah al-Ahwazi). Imam Ibnu Hajar sendiri dalam Bulughul-Maram menegaskan; hadis Abu Hurairah (yang menjadi pegangan golongan kedua) lebih kuat dari hadis Wail bin Hujrin (yang menjadi pegangan golongan pertama).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi, Syarah Sunan at-Tirmizi, jil. 1, bab Ma Ja-a Fi Wad’ie ar-Rukbataini Qabla al-Yadaini fi as-Sujud.
2. Bulughul-Maram, Kitab as-Solah, hadis 308 dan 309.
thumbnail
Judul: TURUN SUJUD; LUTUT DULU ATAU TANGAN DULU?
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Ibadah :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz