Kamis, 17 Februari 2011

BOLEHKAH NAZAR DIHENTIKAN?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ada sedikit pertanyaan mengenai puasa nazar. Hujung bulan Januari lepas, anak saya dimasukkan ke ICU. Bimbang dengan keselamatan anak, saya telah bernazar untuk puasa selama sebulan berturut-turut sekiranya anak saya sihat walafiat selepas keluar dari hospital. Sebelum memulakan puasa nazar, saya telah meminta kebenaran suami dan dia mengizinkan tetapi setelah beberapa hari, suami menyuarakan rasa tidak berpuas hati kerana disebabkan berpuasa ini, permintaan nya utk bersama di waktu siang tidak dapat saya turuti dan berturutan berpuasa. Di waktu malam pula, saya sudah terlalu letih akibat kerja-kerja rumah, menjahit utk menambah pendapatan dan menjaga anak2. Adakah saya berdosa kerana tidak menuruti kehendak suami? Bolehkah puasa nazar itu diberhentikan seketika kerana menurut kehendak suami? Mohon penjelasan ustaz mengenai perkara ini. Terima kasih
 
Jawapan;

1. Nazar untuk melakukan ketaatan -sama ada muqayyad atau mutlak- (yakni diikat dengan sesuatu atau secara bebas), wajiblah dilaksanakan. Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah, hendaklah ia mentaatiNya (yakni menunaikan nazarnya)" (HR Imam al-Bukhari). Jika nazar itu ditentukan waktunya, wajiblah dilaksanakan pada waktu yang dinazarkan itu. Jika gagal dilaksanakan pada waktu itu, wajiblah diqadha (diganti) pada waktu lain. Jika kegalalan itu bersebab -yakni kerana suatu keuzuran yang diakui Syarak -iaitu sakit, musafir, kepayahan mengandung, menyusu dan sebagainya- tidaklah berdosa. Jika tanpa keuzuran, berdosalah dan wajib memohon ampun kepada Allah di samping Qadha tadi.

2. Seorang perempuan yang mewajibkan ke atas dirinya suatu ibadat dengan nazar, jika tanpa keizinan suaminya, harus suaminya menegahnya dari melaksanakan nazar itu (jika mengganggu haknya).[1] Jika nazar itu dibuat dengan izin suami, sekiranya ibadah itu dinazarkan pada hari yang tertentu, tidak harus suami menghalangnya dari melaksanakan nazarnya pada hari tersebut. Jika ibadah itu tidak ditentukan harinya, harus suami menghalangnya menunaikan nazar pada hari yang dikehendakinya (seperti hari ia memerlukan layanan isterinya atau sebagainya). Namun tidak harus ia menghalangnya dari menunaikan nazar secara sepenuhnya. Suami berhak menghalang isteri dari ibadah yang sunat. Adapun ibadah yang wajib, suami tiada hak menghalang isterinya kerana kewajipan kepada Allah lebih besar dari kewajipan kepada makhluk. Sebagaimana kita ketahui suatu ibadah yang asalnya sunat, apabila dinazarkan ia akan jadi wajib dan tidak harus diabaikan walaupun dengan permintaan suami.   

Bagi kes puan, oleh kerana puan bernazar dengan keizinan suami dan nazar puan adalah nazar yang diikat dengan hari-hati tertentu, tidak harus suami puan menghalang puan dari melaksanakam nazar puan. Jadi, tidak harus puan berhenti berpuasa nazar itu atas alasan rungutan suami atau tidak mendapat keizinannya. Adapun jika kerana faktor lain yang berupa keuzuran Syarak -iaitu sakit, musafir dan kepayahan yang menyukarkan puasa- haruslah puan meninggalkan puasa nazar pada hari berlaku keuzuran tersebut, namun wajiblah puan menggantinya pada hari-hari yang lain. Menurut Syeikh Abdul-Aziz bin Baz (bekas mufti Arab Saudi); Seorang yang menghadapi kerja-kerja berat, harus ia berbuka puasa tetapi dengan syarat; ia hendaklah memulakan hari dengan berpuasa (yakni berniat puasa pada malamnya dan berpuasa di sebelah paginya), kemudian jika tiba tengahari atau petang ia merasa sukar/payah untuk meneruskan puasa dan terpaksa berbuka, haruslah ia berbuka dan wajib atasnya menggantikannya pada hari lain" (Majmu' Fatawa Syeikh Bin Baz, 3/233-234).

3. Nazar untuk taat harus ditangguhkan bila ada keuzuran sebagaimana tadi. Adapun untuk menamatnya (yakni menarik kembali nazar), tidak harus. Kecualilah jika hilang kemampuan sepenuhnya untuk melaksanakan nazar, gugurlah nazar pada ketika itu dan menurut sebahagian ulamak; hendaklah diganti dengan kaffarah sumpah berdalilkan hadis Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesiapa bernazar dengan suatu nazar, lalu ia tidak mampu menunaikannya, hendaklah ia membayar kaffarah sumpah" (HR Imam Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ibnu 'Abbas). Jika ditakdirkan Allah kemampuannya kembali ada, wajiblah ia menunaikan semula nazarnya.     

3. Untuk akan datang, jika ingin bernazar, bernazarlah dengan ibadah yang terdaya ditunaikan. Jangan memberatkan diri melebihi dari kemampuan. Sabda Nabi (bermaksud); "Tidak ada orang yang melampau dalam agama melainkan ia akan dikalahkan oleh agama" (Sunan Abi Daud). Selain itu, jika kita ada kaitan dengan orang lain atau ada tanggungjawab kita terhadap orang lain, hendaklah diambil kira perkara tersebut sebelum kita bernazar agar tidak berlaku pertembungan hak yang akhirnya menyukarkan kita untuk menunaikan kesemuanya.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Namun tetap wajib menunaikan nazarnya, iaitu ia hendaklah menunggu ketika ia dapat menunaikannya dan tiada lagi halangan dari suami. Kesimpulanya, walaupun nazar yang tidak didahului dengan izin suami, suami berhak menghalang, namun tanggunggan nazar itu tidak hilang. Ia tetap wajib dilaksanakan bila ada ruang menunaikannya dan tiada lagi halangan suami.

Rujukan;

1. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 3/32.
2. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil bin Yusuf al-'Azzazi, 2/159.
3. Fatwa laman As-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.com), no. 1339, 26871, 122381, 122101.
4. Fatwa laman Islam Online (http://mdarik.islamonline.net/servlet/Satellite%3Fcid%3D1122528622506%26pagename%3DIslamOnline-Arabic-Ask_Scholar%252FFatwaA%252FFatwaAAskTheScholar)
thumbnail
Judul: BOLEHKAH NAZAR DIHENTIKAN?
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Ibadah :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz