Sabtu, 26 Februari 2011

HUKUM IKAN YU

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanyakan apakah hukum jika kite makan sup sirip ikan yu ( shark fin soup ), saya baru saja menceritakan pada kawan saya yg pada thun ini saya sudah beberapa kali mkn mknn ini, dan kawan saya mengatakan bahwa memakan ikan yu itu hukum nye haram, ini kerana jika ikan yg bernafas dengan paru2 kte tidak blh mkn, hanya ikan yg bernafas menggunakan insang sahaja yg blh di mkn. Saya harap ustaz dapat meleraikan kekeliruan yg saya alami. Terima kasih.

Jawapan;

Semua jenis binatang air (iaitu binatang yang tidak hidup melainkan di dalam air atau di dalam laut seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya), hukumnya halal dimakan selagi tidak beracun atau mendatang mudarat. Ini berdalilkan hadis yang menceritakan jawapan Nabi apabila ditanya tentang laut, baginda menjawab; "Laut; airnya bersih boleh dibuat bersuci dan bangkainya adalah halal" (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Maksud bangkai dari istilah al-Quran dan as-Sunnah ialah semua binatang yang mati tanpa disembelih. Maka berdasarkan hadis ini, semua binatang laut adalah halal tanpa perlu disembelih terlebih dahulu. Hadis ini adalah umum tanpa Nabi membataskan jenis haiwan tertentu yang hidup di dalam laut atau di dalam air. Jadi, ia termasuklah semua jenis ikan.

Menurut Imam Ibnu Hajar; “Tidak ada khilaf di kalangan ulamak pada halalnya ikan dalam semua jenisnya” (Fathul-Bari). Mereka (yakni para ulamak) hanya berikhtilaf pada selain ikan;
1. Menurut mazhab Hanafi; Hanya ikan sahaja yang halal dimakan. Adapun haiwan-haiwan laut/air lainnya haram dimakan.
2. Menurut Imam Ahmad; semua binatang laut/air halal dimakan kecuali dua sahaja iaitu; katak dan buaya.
3. Menurut mazhab Syafiie (mengikut qaul yang muktamad) dan mazhab Maliki; semua jenis binatang laut/air harus dimakan sekalipun rupanya menyerupai binatang darat (kuda laut, anjing laut, babi laut dan sebagainya).
4. Sebahagian ulamak berpandangan; bagi binatang laut/air yang rupanya menyerupai binatang darat, hendaklah dilihat; jika ia menyerupai binatang darat yang halal dimakan, halallah ia dimakan. Contohnya; kuda laut, lembu laut dan sebagainya (jika ada). Adapun jika ia menyerupai binatang darat yang haram dimakan, maka ia haram dimakan. Contohnya; anjing laut, singa laut, babi laut, gajah laut dan sebagainya. Pandangan ini menjadi pegangan sebilangan ulamak-ulamak mazhab Syafiie sendiri.

Sebagaimana disebutkan tadi, maksud binatang laut/air ialah yang tidak hidup melainkan di dalam laut atau air, di mana jika dikeluarkan dari laut/air akan menjadilah hidupnya seumpama binatang darat yang disembelih (yakni hidup yang amat singkat). Adapun binatang yang boleh kekal hidup di laut/air dan juga di darat, maka ia dinamakan sebagai binatang/haiwan dua alam. Menurut mazhab Syafiie; semua binatang dua alam haram dimakan. Contohnya; katak, ular, buaya, kura-kura, penyu, belangkas dan sebagainya. Mazhab Maliki menghalalkannya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi, 1/80 (bab Ma Ja-a Fi Ma’ al-Bahr).
2. al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/41 (bab al-Tahur Lil-Wudhu’).
3. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 3/506-510.
thumbnail
Judul: HUKUM IKAN YU
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Ibadah :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz