Jumat, 25 Februari 2011

HUKUM LELAKI MEMAKAI SUASA

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Bolehkah ustaz berikan penerangan yang jelas mengenai hukum memakai cincin suasa bagi lelaki? Terima kasih

Jawapan;

Mengikut kaedah yang diputuskan ulamak dalam kitab-kitab Fiqh tentang ketulinan emas dan hukumnya, ia berada dalam tiga kategori;
1. Emas bersih; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia haram dipakai oleh lelaki.
2. Emas campuran; iaitu emas yang dicampur logam lain. Ia terdiri dari dua jenis;
A) Kandungan emas dominan; ia mengambil hukum emas walaupun warnanya berubah dari warna asal emas. Contohnya; emas putih, hukumnya adalah haram lelaki memakainya kerana kandungan emasnya banyak sekalipun warnanya putih. (Baca jawapan tentang emas putih dalam blog ini).
B) Kandungan emas sedikit; iaitu kurang dari 1/3 (34%).[1] Hukumnya hendaklah dilihat; 
- Jika kandungan emas tidak dapat dipisahkan lagi dengan apa cara sekalipun (sama ada meleburkannya atau cara lain), harus ia dipakai oleh lelaki kerana tidak lagi dianggap memakai emas.
- Adapun jika kandungan emas masih dapat dipisahkan, haram dipakai oleh lelaki kerana dianggap memakai emas.[2]

Melihat kepada suasa, untuk menentukan hukumnya, perlulah dilihat nisbah emas dalam suasa dan apakah kandungan itu dapat dipisahkan atau tidak? Dalam satu laman web (Nusantara Heritage), ada dinyatakan; suasa adalah hasil campuran tiga logam iaitu tembaga, perak dan emas. Nisbah emas berlegar antara 22% hingga 37.5%, bermakna; suasa terbaik ialah yang campuran emasnya 37.5%, sementara yang terbawah 22%. Jika maklumat ini tepat, maka kita tidak boleh meletakkan satu hukum sahaja bagi suasa dengan merujuk kepada standart tadi. Suasa yang kandungan emasnya 22%, hukumnya harus bagi lelaki. Adapun yang kandunganya 37.5%, hukumnya haram kerana melebihi had minima yang dianggap sedikit iaitu 1/3 (34%). 

Kesimpulannya, suasa ada yang harus dipakai lelaki dan ada yang haram melihat kepada nisbah kandungan emas di dalamnya. Apa yang terbaik ialah kita tidak memakainya kerana dibimbangi terpakai suasa yang diharamkan. Selain itu, ulamak yang mengharuskan suasa yang sedikit kandungan emasnya (yakni yang kurang dari 34%) mereka mengharuskannya dengan makruh (yakni walaupun tidak haram, akan tetapi makruh iaitu lebih baik ditinggalkan) kerana syubhah (disebabkan terdapat kandungan emas di dalamnya). Namun jika ingin memakainya juga, hendaklah benar-benar dipastikan kandungan emasnya di bawah kadar yang diharuskan tadi.   

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Meminjam pandangan mazhab Maliki yang menetapkan kadar campuran emas 1/3 ke bawah sebagai berada dalam lingkungan sedikit. Menurut ulamak-ulamak mutaakhir mazhab Maliki (dalam masalah percampuran emas dan perak); jika kadar emas melebihi 1/3, haram lelaki memakainya. Jika kadarnya 1/3 ke bawah, tidak haram lelaki memakainya, akan tetapi dimakruhkan.  (Lihat; Minah al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil (1/58), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).
[2] Dalam masalah menyadur logam dengan emas, pandangan mazhab-mazhab adalah seperti berikut;
A) Mazhab Hanafi; bekas yang disadur dengan emas dan perak harus digunakan jika kandungan emas itu tidak mungkin dipisahkan lagi dari bekas. 
B) Mazhab Syafiie; harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas. Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu (melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab Syafiie juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya.
C) Mazhab Hanbali; bekas yang disadur dengan emas dan perak haram digunakan sama seperti haramnya bekas emas dan perak itu sendiri. Namun jika berubah sifat emas setelah proses saduran iaitu warnanya tidak lagi kelihatan seperti emas, harus digunakan dengan syarat kandungan emas tidak lagi dapat dipisahkan dari bekas yang disadur itu.
D) Mazhab Maliki; Tidak haram menggunakan bekas yang disadur dengan emas kerana ia mengikut hukum bekas, bukan hukum emas.   
(al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/119, Aniyah), Mughni al-Muhtaj (1/129, kitab at-Toharah), al-Insaf (1/478, bab Sitr al-'Aurah), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).

Rujukan;

1. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Aniyah),
2. Mughni al-Muhtaj, Syeikh Khatib as-Syirbini, 1/129.
3. Minah al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil, Syeikh Muhammad bin Ahmad Ulaisyh, 1/58.
4. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
5. al-Fatawa al-Hindiyah, 42/200.
6. Islamweb.com (http://www.islamweb.net/ver2/fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Option=FatwaId&Id=47774).
7. (http://www.infad.usim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=1763&mode=thread&order=0&thold=0)
8. (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/2170).
9. (http://www.nusantaraheritage.com.my/logam/suasa.html).
thumbnail
Judul: HUKUM LELAKI MEMAKAI SUASA
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Harta) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz