Jawapan;
Ada dua masalah dalam soalan di atas;
a) Jimak sebelum mandi wajib.
b) Berhimpun dua sebab yang mewajibkan mandi; adakah perlu mandi dua kali atau cukup sekali sahaja?
1. Masalah pertama (Jimak sebelum mandi)
Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Syafiie, Maliki dan Hanbali); Tidak harus suami mensetubuhi isterinya yang telah kering haid melainkan setelah ia mandi terlebih dahulu. Firman Allah (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum ) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikan dan) mendatangkan mudarat’, Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci” (Surah al-Baqarah, ayat 222). Maksud “sebelum mereka suci” dalam ayat ini –menurut jumhur ulamak- ialah; “Sebelum mereka bersuci dengan mandi wajib”.
Sebahagian ulamak (iaitu Imam Mujahid, Ikrimah, Tawus dan Abu Hanifah) mengharuskan jimak apabila sahaja kering darah haid (yakni sekalipun belum mandi wajib). Imam Mujahid, Ikimah dan Tawus mensyaratkan; hendaklah isteri mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum jimak. Adapun Imam Abu Hanifah; ia mengharuskan jimak sebelum mandi jika haid itu berhenti setelah tempoh haid paling lama (iaitu 10 hari menurut pandangannya). Jika haid datang kurang dari 10 hari, tidak harus jimak melainkan setelah mandi terlebih dahulu atau dengan masuk waktu solat.
2. Masalah kedua )(berhimpun dua sebab mandi; janabah dan haid
Jika berhimpun beberapa sebab yang mewajibkan mandi seperti haid, janabah (yakni bersetubuh atau keluar mani) dan mati (yakni seorang yang mati ketika sedang haid atau berjunub), memadai dengan sekali mandi sahaja untuk menghilangkan hadas besar pada badannya, yakni tidak perlu mengulangi dua atau tiga kali mandi. Ia sama seperti seorang yang berlaku kepadanya pelbagai perkara yang membatalkan wudhuk (seperti keluar angin dari punggungnya, kemudian ia kencing dan tidur), memadai dengan sekali wudhuk sahaja untuk menghilangkan hadas kecilnya, tidak perlu berulang kali wudhuk.
Berkata Imam as-Syafiie; “Apabila seorang wanita berlaku janabah padanya, kemudian ia didatangi haid sebelum sempat mandi kerana jabanah…apabila haidnya habis, memadai baginya dengan sekali mandi sahaja. Begitu juga, jika ia bermimpi semasa sedang haid, memadai dengan sekali mandi sahaja (setelah habis haidnya)” (Kitab al-Umm, 1/61).
Menurut kaedah Fiqh yang disimpulkan oleh para ulamak; “Jika berhimpun dua perkara dari jenis yang sama dan tujuan kedua-duanya tidak berbeza (yakni sama), maka salah satu darinya akan masuk ke dalam yang satu lagi pada kebiasaannya”. Menurut Imam as-Suyuti; antara cabang bagi kaedah ini ialah “Jika berhimpun hadas kecil dan janabah, memadai dengan mandi sahaja mengikut pandangan yang menjadi mazhab (Syafiie), sebagaimana jika berhimpun janabah dan haid (memadai dengan sekali mandi sahaja)” (al-Ashbah wa an-Nazair, hlm. 163, kaedah ke 9).
Imam an-Nawawi menjelaskan di dalam kitabnya al-Majmu’; “Menurut mazhab kami (yakni mazhab Syafiie); seorang yang berjunub atau yang kedatangan haid, jika mereka berdua mati, memadai dengan sekali mandi sahaja. Itulah pandangan sekelian ulamak, kecuali Hasan al-Basri sahaja yang berpandangan; wajib dua kali mandi. Berkata Imam Ibnu al-Munzir; tidak ada yang berpandangan begitu melainkan dia seorang sahaja” (al-Majmu’, 5/152, bab Ghuslu al-Mayyit).
Rujukan;
1. Tafsir Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani, Surah al-Baqarah, ayat 222.
2. Tafsir al-Munir, Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili, Surah al-Baqarah, ayat 222.
3. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/152, bab Ghuslu al-Mayyit.
4. al-Ashbah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 163, kaedah ke 9.
5. Kitab al-Umm, Imam as-Syafiie, 1/61.
6. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 97098.
Judul: JIMAK SEBELUM MANDI & BERHIMPUN JANABAH DAN HAID (ADAKAH WAJIB DUA KALI MANDI?)
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh 07.20
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh 07.20
0 comments:
Posting Komentar