Jumat, 04 Februari 2011

TALAK DENGAN HATI

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ada satu kemusykilan dan mohon penjelasan tentangnya. Apakah beza antara niat dan lintasan hati ? Permasalahan ini merujuk kepada masalah rakan baik saya yang sering dibisikkan dorongan talak terhadap isterinya yang datang terlintas di hati tidak kira masa dan sukar untuk dikawal. Sedangkan dia tidak mempunyai niat untuk menceraikan isterinya. Sehinggakan baginya segala perkataan yang keluar daripadanya dikira sebagai kinayah cerai. Sebagai contoh, dia memberitahu saya bahawa dia amat takut bila nak ucapkan " bye-bye " kepada isterinya pada setiap kali selepas telefon. Ini adalah kerana dia khuatir akan terlintas perkataan " cerai " dalam hatinya. Saya menasihatinya supaya perbanyakkan membaca Al-Quran dan berzikir. Adakah penyakit batin yang dihidapi rakan saya ini boleh membawa kepada jatuhnya talak ? Harap Ustaz dapat memberi panduan supaya saya dapat membantu rakan saya ini. Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Dalam masalah talak, sama ada niat atau lintasan hati, kedua-duanya tidak akan menyebabkan terjadinya talak. Talak hanya akan berlaku apabila seseorang itu melafazkan ucapan talak (atau yang memberi makna talak) dengan lidahnya. Adapun jika ia hanya berniat di dalam hati sahaja atau terlintas dalam hati (ingin menceraikan isterinya), tanpa ia melafazkannya dengan lidah, tidaklah akan menjatuhkan talak. Terdapat hadis dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- menegaskan; “Sesungguhnya Allah tidak mengira suara hati selama tidak diucapkan (oleh lidah) atau dilakukan (oleh anggota)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Imran bin Hudhain).

2. Kinayah talak bermaksud seorang melafazkan satu ucapan yang boleh diertikan cerai dan boleh juga diertikan selain cerai. Sebagai contoh, ia berkata kepada isterinya; “Hubungan kita hanya setakat ini sahaja”. Oleh kerana ia boleh difahami dengan pengertian cerai dan boleh juga dengan pengertian selain cerai, maka ia bergantung kepada niat suami ketika melafazkannya. Jadi perlu ditanya kepada suami apa niat atau maksudnya ketika mengucapkan ucapan tersebut. Jika ia mengakui bahawa niatnya sememangnya cerai, jatuhlah talak. Jika tidak, tidak jatuhlah talak. Niat itu diambil kira kerana telah ada lafaz/ucapan yang boleh difahami sebagai talak/cerai. Adapun jika tidak ada sebarang ucapan/lafaz, niat talak/cerai itu tidaklah diambil kira kerana talak/cerai tidak berlaku semata-mata dengan niat atau lintasan hati (tanpa lafaz/ucapan) sebagai yang kita nyatakan tadi.

3. Maksud niat ialah apa yang terdetik di dalam hati ketika melafazkan sesuatu atau melakukan sesuatu. Adapun lintasan hati, ia bukanlah niat. Ia hanyalah melintas di dalam hati, kemudian berlalu pergi. Berbeza dengan niat di mana ia bukan sekadar melintas, akan tetapi menetap di dalam hati (yakni hati menerima dan menghendakinya) dan darinya melahirkan tindakan atau ucapan.

Rujukan;

1. at-Thalaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 55.
thumbnail
Judul: TALAK DENGAN HATI
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Keluarga) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz