Minggu, 03 April 2011

KADAR NAFKAH SUAMI KEPADA ISTERI

Soalan; Assalamualaikum..Saya ingin bertanya.Apakah maksud terperinci nafkah suami kepada isterinya? Adakah kerana dia telah membeli barangan keperluan seperti makanan sudah cukup dinamakan nafkah? Adakah salah jika isteri meminta wang kepada suaminya untuk dirinya sendiri sedangkan suaminya tidak pernah memberi wang,asalannya dia telah membeli barangan keperluan semua. Adakah wajib suami memberi keluarga mertua sedikit sumbangan seperti wang ringgit atau sebagainya?Dan apakah hukumnya jikalau keperluan yang dibeli oleh si suami menjadi ungkitannya semula.Disini saya terlalu musykil, harap dapatlah memberi penjelasan. 
Sekian terima kasih...

Jawapan;

Wajib suami memberi nafkah[1] kepada isteri mengikut kemampuannya dan juga dengan meraikan keperluan isteri. Firman Allah (bermaksud); "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7).

Di dalam hadis yang menceritakan Hindun (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya), Rasulullah berkata kepada Hindun; "Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya"[2] (HR al-Jamaah kecuali Imam at-Tirmizi. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi...). Hadis ini menunjukkan bahawa keperluan isteri juga diambil kira dalam kewajipan memberi nafkah kerana Nabi menyebutkan "ambillah kadar yang mencukupi". Kecualilah jika suami miskin, maka ia dituntut memberi nafkah mengikut kemampuannya dan isteri hendaklah redha dengan keadaan suami dan berpada dengan apa yang diberikan.

Ada ulamak menetapkan kadar tetap harian bagi nafkah yang wajib disempurnakan oleh suami untuk isterinya. Antaranya Imam Syafiie yang menetapkan; jika suami kaya; ia hendaklah memberikan 2 cupak sehari untuk makanan isterinya, suami sederhana; 1 1/2 cupak dan suami miskin; 1 cupak. Adapun jumhur (majoriti) ulamak, mereka tidaklah menentukan kadar tetap, akan tetapi dirujuk kepada kemampuan suami dan juga keperluan isteri.[3] Kemampuan suami boleh berubah, begitu juga keperluan isteri. Pada ketika suami melihat keadaanya lebih senang, ia hendaklah melebihkan sedikit belanjanya untuk isteri dan isteri pula berhak menuntut peruntukan yang lebih. Begitu juga jika keperluan isteri bertambah kerana sesuatu sebab, pertambahan itu juga perlu berada dalam penilaian suami jika ia mampu meraikannya. Di dalam al-Quran, Allah amat menekan para suami agar melayani isteri dengan baik untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Firman Allah (bermaksud); "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik" (Surah an-Nisa', ayat 19). 

Mungkin kita boleh meletakkan tahap-tahap bagi perbelanjaan dengan merujuk kepada tahap-tahap maslahah manusia yang diputuskan ulamak iaitu tiga peringkat;
Pertama; (tahap keperluan paling atas); iaitu keperluan daruriyat.
Kedua; keperluan hajiyat.
Ketiga; keperluan tahsiniyat.

Keperluan daruriyat ialah yang boleh menyebabkan kerosakan hidup jika tidak diberikan. Ini merangkumi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang asas. termasuk juga keperluan ilmu khususnya ilmu agama kerana tanpanya akan rosak kehidupan di akhirat. Keperluan hajiyat ialah yang bawah dari daruriyat, iaitu yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan hidup, tetapi membawa kepada kehidupan yang susah, sukar dan menderita. Contohnya; perabot-perabot rumah yang asas, peralatan dapur, pakaian yang lebih sedikit dari keperluan daruriyat tadi dan sebagainya. keperluan Tahsiniyat ialah yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan dan tidak juga membawa kesusahan hidup, cuma kewujudannya boleh menambah keselesaan hidup. 

Balik kepada soalan yang ditanya, jika suami puan miskin, puan hendaklah berpada dengan apa yang diberinya untuk keperluan pertama (daruriyat) atau keperluan kedua (hajiyat). Jika suami puan berada, bolehlah puan meminta lebih dari itu. Suami pula hendaklah meraikan isteri jika ia mampu demi mengekalkan keharmonian rumah tangga. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda (bermaksud); "Allah mengasihi seorang lelaki yang bertolak ansur bila menjual, bila membeli dan bila menuntut (hutangnya)" (HR Imam al-Bukhari dari Jabir). Dalam riwayat lain; "...bertolak ansur ketika membayar hutang dan menuntut hutan" (HR Imam at-Thabrani dari Jabir). Walaupu hadis ini menyentuh jual-beli dan hutang-piutang, tetapi ruh tolak ansur yang disarankan Nabi tidak ada salahnya untuk kita amalkan di mana-mana sahaja dalam kehidupan terutamanya dalam perkongsian hidup suami isteri. Maksudnya, suami bertolak ansur dalam melayani permintaan isteri dan isteri pula bertolak ansur dalam menuntut haknya.  

Mengenai pemberian kepada mertua, tidaklah wajib suami memberi nafkah atau belanja untuk mertua sekalipun mertua miskin, kecualilah atas ihsan darinya sahaja. Jika ia mampu, eloklah ia memberinya kerana itu juga boleh mengukuhkan lagi kasih-sayang dengan isteri. Mertua yang miskin dan tidak mampu berkerja, ia wajib dinafkahi oleh keluarganya sendiri (iaitu bapa atau anak-anaknya), bukan menantunya. Jika mertua terpaksa bergantung hidup dengan anak perempuannya yang telah berkahwin, suami hendaklah memberi izin kepada isteri untuk menziarahi dan berkhidmat kepada ibu-bapanya (tanpa menjejaskan hak suami) dan begitu juga untuk menafkahi mereka. Jika ia tidak memberi izin tanpa sebab yang munasabah, ia berdosa dan jika isteri melanggarnya sebahagian ulamak berpandangan isteri tidak dikira nusyuz ketika itu. Adalah harus isteri memberi belanja dari duitnya sendiri kepada ibu-bapanya sekalipun tanpa izin suami, namun eloklah ia meminta izin sebagai tanda menghormati suami. Jika suami menghalang tanpa sebab, tidak dikira nusyuz jika isteri melanggarinya.

Mengenai suami mengungkit pemberiannya kepada isteri, jika dengan niat yang baik seperti untuk memperingatkan isteri supaya taat kepadanya kerana ia telah pun melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami (iaitu memberi nafkah mengikut yang termampu) supaya isteri membalasnya dengan melaksanakan tanggungjawabnya pula (iaitu taat dan melayani suami), ungkitan sebegitu tidaklah dilarang, malah ada ketikanya perlu dilakukan. Adapun jika ungkitan semata-mata untuk menyakiti hati isteri, tidaklah harus dilakukan kerana ia menyalahi pergaulan yang yang disuruh oleh Allah dalam ayat tadi.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Memberi nafkah bermaksud mencukupkan keperluan hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[2] Lafaz bahasa Arabnya ialah "Bil-Ma'ruf", al-makruf bermaksud; mengikut kebiasaan masyarakat setempat iaitu berdasarkan pengamalan yang diterima oleh orang ramai di sesuatu tempat selama ia tidak bercanggah dengan ketetapan Syariat (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[3] Sebenarnya terdapat tiga pandangan ulamak dalam menetapkan ukuran yang hendak dipakai bagi menentukan kadar nafkah yang sewajarnya bagi isteri;
A) Pandangan pertama; hendaklah dilihat kepada keadaan suami (kaya, miskin atau sederhana). Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafiie dengan berdalilkan ayat di atas.
B) Pandangan kedua; dengan melihat keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dengan berdalilkan hadis Hindun di atas.
C) Pandangan ketiga; dengan mengambil kira kedua-dua sekali iaitu keadaan suami dan juga keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Ahmad berdalilkan ayat dan juga hadis di atas iaitu dengan memadankan kedua-duanya. Pandangan inilah yang kita pilih di atas kerana ia meraikan kedua-dua dalil di atas.
(al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat).        

Rujukan;

1. Tafsir al-Qurtubi, Surah at-Talaq, ayat 7.
2. At-Tahwir wa at-Tanwir, Syeikh Muhammad at-Tahir ibnu Asyur, Surah at-Talaq, ayat 7.
3. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat.
4. Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi..
thumbnail
Judul: KADAR NAFKAH SUAMI KEPADA ISTERI
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Keluarga) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz