Jumat, 08 April 2011

PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?

Soalan; Assalammualaikum ustaz, saya ada soalan tentang perhiasan;
1. Adakah wajib kita keluarkan zakat bagi perhiasan emas yang kita pakai?
2. Sekiranya kita wajib keluarkan zakat, adakah untuk sekali sahaja atau setiap tahun untuk barang kemas perhiasan yang sama.
terima kasih.

Jawapan;

1. Perhiasan yang membabitkan logam berharga ada yang harus dan ada yang diharamkan oleh Syariat. Perhiasan yang haram ialah;

a) Perhiasan emas yang dipakai atau dimiliki oleh lelaki untuk dirinya[1] (*Adapun yang dimiliki oleh lelaki bukan untuk dirinya, tetapi untuk dipakai oleh isterinya atau anak perempuannya, hukumnya harus –tidak haram-).

b) Perhiasan perak yang dipakai oleh lelaki melebihi kadar yang diharuskan untuk lelaki iaitu sekadar cincin sahaja.[2]

c) Bekas-bekas atau perkakas-perkakas yang dibuat dari emas dan perak seperti cawan emas atau perak, pinggan emas atau perak dan sebagainya.[3]

d) Patung-patung manusia atau binatang yang dibuat dari emas atau perak.[4]

Adapun perhiasan-perhiasan yang diharuskan ialah seperti;

a) Perhiasan emas dan perak yang dipakai oleh perempuan

b) Logam-logam lain selain emas (seperti dari tembaga, besi, nikel, platinum atau sebagainya) yang dipakai oleh lelaki atau perempuan. Adapun perak, ia hanya diharuskan kepada lelaki sekadar cincin sahaja. Bagi wanita, ia sama seperti emas.

2. Mengenai kewajipan zakat, telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa; perhiasan yang haram tadi wajib dikeluarkan zakat. Jadi, sesiapa yang memiliki perkakas-perakas emas dan perak, lelaki yang ada memiliki perhiasan emas untuk dirinya atau sesiapa memiliki patung dari emas atau pereka, mereka berdosa kerana melakukan larangan Allah dan pada masa yang sama wajib mengeluarkan zakat ke atas perkakasan dan perhiasan emas dan perak yang dimiliki itu sebagaimana cara mengeluarkan zakat emas dan perak.

Mengenai perhiasan yang harus, telah disepakati juga oleh ulamak bahawa perhiasan yang dibuat dari logam yang lain dari emas dan perak sekalipun harganya lebih mahal dari emas dan perak (seperti nikel, platinum, tembaga dan sebagainya, begitu juga perhiasan dari batu-batu berharga seperti permata, zamrud dan sebagainya) tidak wajib dikeluarkan zakat sama ada yang dipakai oleh lelaki atau wanita.

Khilaf hanya berlaku kepada perhiasan yang diperbuat dari emas dan perak yang dipakai oleh wanita; apakah wajib dikeluarkan zakat atau tidak? Terdapat dua pandangan di sana;

a) Menurut Imam Abu Hanifah; zakat diwajibkan ke atas semua jenis emas dan perak sekalipun yang dijadikan perhiasan yang harus dipakai oleh wanita (gelang, rantai, anting-anting dan sebagainya). Mereka berdalilkan keumuman ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi yang mewajibkan zakat ke atas emas dan perak di mana ayat-ayat dan hadis tersebut tidak mengecualikan mana-mana jenis emas dan perak.

b) Menurut jumhur ulamak (Imam Malik, Syafiie dan Ahmad); zakat tidak diwajibkan ke atas emas dan perak yang dijadikan perhiasan oleh wanita. Hujjah mereka ialah tiada dalil yang memerintah supaya para wanita mengeluarkan zakat bagi perhiasan yang mereka pakai, di samping isteri-isteri Nabi dan isteri para sahabat sendiri tidak pernah mengeluarkan zakat ke atas barang perhiasan mereka. Dalam kitab Muwatta’ Imam Malik, terdapat riwayat dari al-Qasim bin Muhammad yang menceritakan; Saidatina ‘Aisyah –isteri Nabi- membela beberapa orang anak yatim di rumahnya (iaitu anak-anak saudaranya). Mereka memakai perhiasan-perhiasan dan Aisyah tidak pernah mengeluarkan zakat untuk perhiasan-perhiasan tersebut”. Diceritakan juga oleh Nafi’; Abdullah bin Umar –seorang sahabat terkenal- memberi pakai perhiasan-perhiasan emas kepada anak-anak perempuan dan hamba-hamba perempuannya, namun ia tidak pernah mengeluarkan zakat untuk perhiasan-perhiasan tersebut”. (al-Muwatta’, bab Ma La Zakaata Fihi min al-Huliyyi wa at-Tibr wa al-‘Anbar).

Pandangan yang rajih (kuat) ialah pandangan jumhur fuqahak dan pandangan ini yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku Fiqh Zakatnya, Majlis Fatwa Mesir dan Fatwa negeri-negeri di Malaysia.[5] Jadi, emas dan perak yang dipakai oleh kaum wanita sebagai perhiasan tidak wajib dikeluarkan zakat. Namun dikecuali dalam dua keadaan;

a) Perhiasan emas dan perak yang dibuat bukan untuk dipakai, tetapi untuk disimpan (yakni dijadikan aset simpanan), wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kerana tujuannya telah beralih dari perhiasan kepada simpanan. Berkata Said bin al-Musayyib (seorang Tabiin); “Perhiasan (emas dan perak) jika dipakai dan digunakan, tidak wajib zakat. Namun jika tidak dipakai dan tidak digunakan, wajib zakat” (Kitab al-Amwal). Berkata Imam an-Nawawi; Menurut mazhab Syafiie; Jika dibuat perhiasan (emas dan perak) bukan untuk tujuan digunakan…akan tetapi untuk dijadikan simpanan, maka mengikut mazhab yang soheh; wajib dikeluarkan zakat. Pandangan inilah yang diputuskan pegangan jumhur Ulamak. (al-Majmu’, Imam an-Nawawi).

b) Jika perhiasan yang dimiliki itu terlalu banyak sehingga masuk dalam kategori berlebihan (israf) dan melampaui kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), wajiblah dikeluarkan zakat. Ini kerana kadar yang berlebihan itu dilarang oleh Syariat dan sebagaimana kita nyatakan di awal tadi bahawa; perhiasan emas dan perak yang dilarang tidak menggugurkan kewajipan zakat.

Persoalan; di negara kita Malaysia ini berapa kadar yang boleh dianggap berlebihan dan melebihi kebiasaan (uruf) tersebut? Berdasarkan fatwa dari Jawatankuasa Fatwa Selangor, kadarnya ialah 800 gram emas.[6] Jadi, berdasarkan fatwa ini; mana-mana wanita (khususnya di negeri Selangor) yang memiliki perhiasan emas yang menyamai atau melebihi 800 gram emas, wajiblah ia mengeluarkan zakat. Sesiapa yang memiliki kurang dari itu, tidaklah wajib ia mengeluarkan zakat.

3. Mengenai bila masanya untuk mengeluarkan zakat ke atas perhiasan emas dan perak tersebut (jika ia wajib)? Jawapannya; ia sama sebagaimana mengeluarkan zakat emas dan perak yang lain (jongkong emas, dinar emas dan dirham perak yang dibaru diperkenalkan akhir-akhir ini dan sebagainya), iaitu wajib dikeluarkan setiap tahun apabila genap haulnya (yakni genap tempoh setahun perhiasan itu dimiliki atau berada dalam simpanan). Kadar yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% dan disalurkan kepada mana-mana asnaf yang layak menerima zakat. Apabila zakat telah dikeluarkan tahun ini, kemudian apabila tiba tahun baru dan jumlah perhiasan yang dimiliki masih melebihi kadar yang dianggap berlebihan atau melampaui kebiasaan tadi, wajiblah dikeluarkan lagi zakat apabila genap haulnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Jilid 1, halaman 306-336.
2. Fiqh az-Zakah, Syeikh Abdurrazzaq Nasir Muhammad, hlm. 42.
3. Portal rasmi fatwa Malaysia, JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/).

Nota hujung;

[1] Sabda Nabi; “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

[2] Harus lelaki memakai cincin perak. Hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak. Adapun gelang perak, rantai perak, anting-anting dan sebagainya, tidak harus lelaki memakainya kerana ia adalah perhiasan-perhiasan yang khusus untuk wanitanya sahaja. Jika lelaki memakainya, ia adalah perbuatan menyerupai perempuan di mana ia dilaknat oleh Nabi dalam hadisnya. (Lihat; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, Kitab as-Solah, bab Ma Yukrahu Labsuhu).

[3] Sabda Nabi; “Janganlah kamu minum di dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan di dalam talam dari keduanya kerana ia adalah untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia”. (Riwayat Imam Muslim dari Huzaifah r.a.)

[4] Telah sepakat sekelian ulamak atas hukum haram membuat patung bagi makhluk bernyawa iaitu manusia dan binatang, begitu juga haram menyimpannya, menjual dan membelinya. Pengharaman ini berdalilkan banyak hadis, antaranya sabda Nabi; “Manusia yang paling berat siksaannya di hari kiamat ialah al-musawwirun” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud). Maksud al-musawwirun ialah orang-orang yang melakarkan penyerupaan kepada makhluk-makhluk bernyawa termasuklah yang membuat patung. (Rujuk; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Tawilah, hlm. 375).

[5] Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir; oleh Syeikh Hasan Makmun, jan. 1958 (lihat; al-Maktabah as-Syamilah, 1/147, tajuk; Zakat Huliyyi al-Mar-ah). Adapun fatwa beberapa negeri di Malaysia (Trengganu, Melaka, Selangor), lihat dalam portal rasmi fatwa Malaysia oleh JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/).

[6] Jawatankuasa Fatwa Trengganu menetapkan; 850 gram emas (200 misqal). Jawatankuasa Fatwa Melaka pula menetapkan; 200 gram emas sahaja. Lihat; portal rasmi fatwa Malaysia oleh JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/).
thumbnail
Judul: PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Ibadah :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz