Rabu, 29 Agustus 2012

JIMAK DENGAN HAMBA

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, adakah benar yang Islam membenarkan tuan kepada hamba berjimak dengan hamba perempuannya tanpa nikah? Jika ya, mengapakah ia dibolehkan? Terima Kasih

Jawapan;

Ya, Islam membenarkan seorang tuan beristimta' dengan hamba perempuan yang dimilikinya berdalilkan firman Allah (bermaksud); "Dan (di antara sifat orang-orang mukmin ialah)  mereka yang menjaga kemaluan mereka (dari syahwat yang haram, iaitu zina dan sebagainya), kecuali kepada isteri mereka atau hamba (perempuan) yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela(apabila melepaskan syahwat itu kepada isteri atau hamba yang dimiliki)” (Surah al-Mukminun, ayat 5-6).

Berdasarkan ayat ini, jimak yang dihalalkan Syariat adalah melalui dua ikatan;
1. Ikatan perkahwinan
2. Ikatan milki yamin (pemilikan hamba).

Kedua-dua jimak tersebut jika menghasilkan anak, maka anak itu dinasabkan kepada suami atau tuan dengan nasad yang sah dan boleh mewarisi. Milki yamin (pemilikan hamba) tidak memerlukan lagi akad perkahwinan kerana dengan milki yamin tersebut seorang wanita hamba itu menjadi milik tuannya secara sepenuhnya dan harus tuannya memanfaatkannya termasuk beristimta' dengannya.

Pada zaman awal kemunculan Islam, pemilikan hamba merupakan fenomena yang berleluasa ketika itu. Untuk menghapuskannya Syariat Islam mengambil langkah berhikmah dan secara tadarruj (peringkat demi peringkat)kerana penghapusan secara drastik akan menyusahkan masyarakat yang terbiasa dengan amalan tersebut di samping mungkin akan memudaratkan hamba itu sendiri kerana terpaksa hidup berdikari dalam keadaan belum bersedia kerana sebelumnya ia bergantung hidup kepada tuannya.  

Islam telah membuka ruang yang banyak untuk pembebasan hamba melalui hukum-hakam Syariatnya. Pembebasan hamba dijadikan sebagai salah satu denda yang ditetapkan Syariat bagi kes bunuh, pelanggaran sumpah, zihar dan persetubuhan di siang hari dalam bulan Ramadhan. Nabi SAW sendiri menggalakkan sahabat-sahabatnya membebaskan hamba. Ia merupakan ibadah yang besar pahalanya sebagaimana sabda Nabi SAW; "Sesiapa membebaskan seorang hamba beriman, Allah akan membebaskan dengan setiap anggota dari hamba itu setiap anggotanya dari api neraka" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA).

Demi menjaga hak-hak hamba, Syariat Islam mewajibkan pemilik hamba melayani hamba-hambanya dengan baik, menjaga kebajikan dan keperluan mereka dan tidak membebani mereka melebihi kemampuan mereka. Sabda Nabi SAW; "Hamba-hamba kamu itu adalah saudara-saudara kamu. Allah meletakkan mereka di bawah jagaan kamu. Maka sesiapa yang Allah meletakkan saudaranya di bawah jagaannya, hendaklah ia memberi makan kepadanya sebagaimana makanan yang ia makan, memberi pakaian kepadanya sebagaimana yang ia pakai dan tidak membebaninya kerja yang melebihi kemampuannya. Tatkala ia membebaninya, hendaklah ia membantunya" (HR Imam al-Bukhari).

Keharusan yang diberikan oleh Syariat kepada tuan untuk mensetubuhi hamba perempuannya merupakan satu perhormatan kepada hamba itu dan juga satu langkah kepada pembebasannya. Seorang hamba wanita yang disetubuhi tuannya, apabila ia mengandung tidak harus lagi untuk tuannya menjualnya atau menghadiahkannya kepada sesiapa. Apabila ia melahirkan anak, anak itu akan dinasabkan kepada tuannya (dan menjadi seorang yang merdeka) dan hamba itu akan bergelar ummu walad. Sebaik tuannya meninggal, ia akan terbebas dengan sendirinya (yakni menjadi wanita merdeka tanpa dapat dihalang oleh sesiapapun). Wallahu a'lam.
thumbnail
Judul: JIMAK DENGAN HAMBA
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Keluarga) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz