Sabtu, 22 Maret 2008

WASIAT KEPADA WARIS

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,

Saya ada persoalan tentang arwah yang mempunyai sebidang tanah yang dikongsi oleh rakan kongsinya sama rata iaitu masing-masing misalnya 10 ekar. Arwah sebelum meninggal telah berpesan supaya bahagiannya 10 ekar itu dibahagi sama rata antara isteri pertama dan isteri kedua iaitu isteri pertama mendapat 5 ekar dan isteri kedua mendapat 5 ekar.

Sebelum arwah isteri pertama meninggal, dia berpesan supaya tanah bahagiannya diberi kepada anaknya A.

Persoalannya sekarang, anak-anak isteri kedua tidak mahu mengikut perkiraan begini dan mahu keseluruhan harta diberi antara semua anak-anak isteri pertama, isteri kedua dan anak-anak isteri kedua. Dan ini juga menjadi masalah kerana arwah berpesan dan tidak menulis wasiat.
Bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini?

Jawapan:

Di dalam satu hadis, Nabi s.a.w. telah menegaskan; “Tidak ada wasiat untuk ahli waris (yakni orang yang dapat mewarisi dari si mati)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Umamah al-Bahili r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan). Oleh kerana isteri (sama ada seorang atau lebih) termasuk dalam senarai ahli waris (iaitu ia akan mewarisi 1/8 dari harta si mati), maka tidak harus ia menerima wasiat dari arwah (si mati). Maka harta arwah (si mati) hendaklah dibahagikan mengikut kadar yang ditetapkan oleh Syarak dalam ilmu Faraid. Adapun wasiatnya kepada dua isterinya itu hendaklah diabaikan kecuali jika mendapat persetujuan dari ahli-ahli waris yang lain, barulah dilaksanakan.

Kecualilah jika arwah (si mati) semasa hayatnya telah menghibahkan tanah tersebut kepada dua isterinya itu, maka tanah tersebut menjadi milik dua isterinya melalui akad hibah dan tidak ada ada hak lagi untuk ahli-ahli waris yang lain menuntutnya selepas kematian arwah kerana arwah telah menghibah (menghadiahnya) kepada orang yang dikehendakinya.

Wallahu a’lam

thumbnail
Judul: WASIAT KEPADA WARIS
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz