Selasa, 29 Juli 2008

FOREX

Soalan; salam ustaz. Saya nak tanya, perniagaan menukar mata wang asing yang dilakukan dalam internet macam forex adakah halal disisi agama?

Jawapan;

Saya belum mengkaji tentang FOREX. Jadi tidak dapat saya memberi jawapan yang spesifik sama ada harus atau tidak. Namun sebagai panduan untuk melabur, saudara hendaklah mengambil perhatian hal-hal berikut;

1. Jika urus-niaga mata wang yang dijalankan (sebagaimana yang didakwa dalam FOREX itu), ia wajib mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang yang ditetapkan Syarak, iaitu;
a) Sekiranya pertukaran dengan yang sama jenis seperti RM (Ringgit Malaysia) dengan RM (Ringgit Malaysia), wajib sama kadarnya dan wajib berlaku penyerahan secara tunai ketika akad dari kedua-dua pihak (penjual dan pembeli).

b) Sekiranya pertukaran dengan jenis yang tidak sama seperti RM (Ringgit Malaysia) dengan USD (Dolar Amerika), maka diharuskan berlaku perbezaan kadar tetapi wajib berlaku penyerahan secara tunai ketika aqad, yakni tidak harus ditangguhkan pembayaran dari mana-mana pihak.

c) Jika penjual dan pembeli berpisah tanpa menyerahkan tukaran wang masing-masing atau salah seorang dari mereka tidak menyerahnya, maka jual-beli matawang itu dikira batal atau tidak sah. Ini kerana berlaku tukaran secara tunai adalah antara syarat terpenting dalam as-Sarf (pertukaran matawang) dalam Syari’at Islam. Menurut Imam Ibnu al-Munzir; “Sekelian ulamak telah ijmak (sepakat) bahawa dua orang yang melakukan akad pertukaran matawang, jika mereka berpisah sebelum saling menerima wang pertukaran masing-masing, maka akad pertukaran itu adalah fasid (batal, tidak sah)”. Ijmak ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “(Pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, hendaklah sama timbangan dan sukatannya dan hendaklah timbal-terima (yakni tunai). Jika berlainan jenis, maka berjual-belilah mengikut yang kamu sukai dengan syarat timbal-terima (tunai)” (HR Imam Muslim dari ‘Ubadah bin Somit r.a.). Emas dan perak adalah matawang yang digunakan zaman dahulu. Sekarang ini, ia diambil-alih oleh wang-wang kertas. Kerana itu, para ulamak meletakkan hukum wang kertas menyamai hukum emas dan perak dalam masalah pertukaran, kewajipan zakat, permodalan dan sebagainya.

2. Jika ia berkait dengan pelaburan, hendaklah diperhatikan akad pelaburan yang mana digunakan mengikut Syarak; mudarabahkah, musyarakahkah atau lainnya. Juga perlu diperhatikan adakah sistem pelaburan itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Syarak mengikut jenis pelaburan tadi. Satu lagi, ke mana modal akan dilaburkan juga perlu diperhatikan; jika wang pelaburan disalurkan kepada perniagaan/pengeluaran yang haram (cth.nya; perniagaan arak, judi dan sebagainya) haramlah kita melibatkan diri dalam pelaburan tersebut walaupun akad mudarabah yang digunakan. Firman Allah; “…dan janganlah kamu saling bantu-membantu dalam dosa dan pelanggaran (Syari’at Allah)”.

3. Jika keuntungan melalui perniagaan; hendaklah dipastikan perniagaan memenuhi syarat-syarat jual-beli mengikut Islam dan bebas dari segala unsur-unsur yang dilarang Syari’at.

Untuk selamat, seboleh-bolehnya seorang muslim jangan menceburi satu pelaburan melainkan setelah jelas kedudukannya dari sudut Syari’at sama ada dengan bertanya alim-ulamak, merujuk panel Syari’ah atau sebagainya. Sebaik-baiknya, utamakan pelaburan dalam Syarikat Muslim kerana ia sedikit-sebanyak memberi sumbangan memartabatkan ekonomi ummah. Biar untung sederhana, tetapi hati tenang menikmati yang halal berbanding untung banyak tetapi hati sentiasa dihantui keraguan.

Wallahu a’lam.
thumbnail
Judul: FOREX
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Harta) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz