Rabu, 30 Juli 2008

TIDAK MAMPU MELAKSANAKAN NAZAR

Soalan; Saya ingin bertanya; saya telah berniat untuk berpuasa nazar untuk sekian tempoh, dan saya agak keberatan untuk melakukannya. Soalan saya, bolehkah puasa nazar itu disekalikan dengan puasa Ramadhan? Saya pernah mendengar ianya boleh dilakukan, tetapi tiada kepastian. Diharap ustaz boleh membantu saya. Terima kasih.

Jawapan;

Ibadah yang wajib kerana nazar dan ibadah yang wajib kerana nas khusus Syarak kedua-duanya adalah kewajipan yang berasingan yang sabit dengan perintah yang bersaingan, serta maksud/tujuan dari perintah itu juga berbeza antara satu sama lain. Kerana itu tidak harus dicampur-adukkan, sebaliknya wajib ditunaikan kedua-duanya secara berasingan sama seperti tidak harus mencampurkan solat zohor dan solat asar dalam satu solat sahaja.

Wajib ke atas orang yang bernazar menunaikan nazarnya selagi ia mampu menunaikannya. Allah berfirman di dalam al-Quran (yang bermaksud); “…dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka…”. (al-Haj: 29). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah ia mentaatiNya (yakni menunaikan nazarnya)…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan at-Tirmizi dari Saidatina ‘Aisyah r.a.).

Adapun jika ia tidak mampu, hendaklah ia membayar kaffarah (bayaran denda) ke atas nazarnya sebagaimana kaffarah sumpah dan membebaskan diri dari nazar tersebut. Terdapat hadis Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kaffarah bagi nazar menyamai kaffarah bagi sumpah” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.). Baginda juga bersabda; “Siapa bernazar dengan suatu nazar dan ia tidak menamainya[1], maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah. Sesiapa bernazar dengan suatu nazar yang tidak mampu ditunainya, maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah” (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang soheh dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lihat; Nailul-Autar, juz. 9, kitab an-Nazr. Lihat juga; Ad-Darari al-Madhiyyah Syarh ad-Durar al-Bahiyyah, Imam as-Syaukani, hlm. 357).

Kaffarah sumpah ialah dengan memilih salah satu dari tiga perkara;
1. Memberi makan sepuluh orang miskin, atau;
2. Memberi pakaian untuk mereka, atau;
3. Membebaskan seorang hamba.
Jika tidak berupaya melakukan satupun darinya, hendaklah berpuasa tiga hari. Sila rujuk surah al-Maidah, ayat 89.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah.
2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-Aziz, Dr. Abdul ‘Adziem al-Badawi.
3. Al-Wajiz Fi Syarhi al-Qaw’id al-Fiqhiyyah, Dr. Abdul-Karim Zaidan.

Nota;
[1] Yakni bernazar mutlak, iaitu tidak menentukan bentuk nazar seperti seseorang berkata; ‘Tertanggung atasku nazar (tanpa ia menentukan nazar apa)’. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9057).
thumbnail
Judul: TIDAK MAMPU MELAKSANAKAN NAZAR
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Ibadah :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz